Wednesday 30 December 2009

"BERPESTA-PESTAAN'" DI TAHUN BARU




jongkomeng: Daripada 10 program 'Tahun Baru' hanya 1 sahaja dinyatakan Majlis Bacaan Yasin, 9 lagi... Biasanya sambutan tahun baru tentu ada konsert, bila ada konsert tentu ada lelaki dan perempuan, bila ada lelaki dan perempuan....... pikir sendiri la... Dulu masa tsunami melanda konsert dibatalkan... Bila tak ada 'bala', manusia kembali 'beryoya-yoya' memang manusia mudah lupa.

Tuesday 29 December 2009

KEMUDAHAN UNTUK WANITA

Tempat letak kereta khas wanita di China


GAMBAR menunjukkan beberapa lelaki melihat seorang anggota keselamatan berdiri dekat pintu masuk sebuah tempat letak kereta khas untuk wanita di pusat beli-belah Wanxiang Tiancheng, China pada Jumaat lalu.


BEIJING - Sebuah pusat beli-belah di China telah membuka satu kawasan letak kereta khas buat kereta yang dipandu wanita dengan ruang yang lebih besar daripada biasa.

Pusat beli-belah Wanxiang Tiancheng di bandar raya Shijiazhuang, wilayah Hebei, menyediakan tempat khas itu yang mempunyai lampu berwarna merah jambu dan ungu serta hiasan gambar kartun.

Seorang pegawai di pusat itu, Wang Zheng berkata, kawasan letak kereta itu satu meter lebih lebar berbanding saiz petak normal.

Menurutnya, beberapa papan tanda dan alat pemantauan keselamatan yang bersesuaian dengan keperluan wanita turut diletakkan di tempat letak kereta itu.

Beberapa petugas wanita disediakan untuk membantu pemandu wanita meletak kereta di tamat khas itu.

Tempat letak kereta bawah tanah itu tidak mengenakan bayaran selama beberapa bulan.

Sementara itu, menurut perangkaan polis, hampir 73,500 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya tahun lalu atau lebih 200 maut sehari di China. - AFP


jongkomeng: Langkah ini patut dipuji, sepatutnya lebih banyak kemudahan2 untuk wanita disedia seperti; kolam renang, bas dan lain-lain (mengikut keperluan). Kalau dah terbiasa kita tak apa2, contohnya; tandas... kan diasingkan wanita dengan lelaki.

Sunday 27 December 2009

ROKOK BARANG 'MEWAH'

Harga minimum rokok RM6.40 - Usaha mencegah kanak-kanak, remaja daripada terjebak dalam tabiat merokok


PERATURAN harga minimum diharap dapat menyekat golongan kanak-kanak dan remaja daripada membeli rokok. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Mulai Jumaat ini, harga minimum rokok di pasaran tempatan ditetapkan pada kadar RM6.40 bagi pek 20 batang bagi mengurangkan akses kanak-kanak serta remaja daripada terjebak dalam kancah merokok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penguatkuasaan peraturan itu akan dapat membendung golongan tersebut daripada membeli rokok selain menyekat aktiviti promosi rokok melalui pemberian diskaun yang berlebihan.

"Demi menjaga kepentingan kanak-kanak dan remaja daripada terjebak dengan ketagihan rokok dan seterusnya kemungkinan risiko penyalahgunaan dadah serta penularan penyakit-penyakit kronik, kerajaan komited untuk mengambil pendekatan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok oleh golongan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tegas beliau, banyak kajian sama ada dari dalam mahupun luar negara membuktikan bahawa peningkatan cukai dan harga rokok mampu mengurangkan kadar merokok dalam masyarakat terutama di kalangan kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah.

"Hasil kajian yang dibuat pada 2004 di Malaysia menunjukkan bahawa dengan peningkatan harga rokok sebanyak 10 peratus, ia akan dapat mengurangkan penggunaan terhadap rokok sebanyak 3.8 peratus," katanya.

Menurut beliau, peraturan baru itu dikuatkuasakan melalui Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) (No.2) 2009 yang telah diwartakan.


jongkomeng: Rokok ibarat kereta, rumah, pakaian; makin mahal dan berjenama makin 'bergaya' lah penghisapnya. Penghisap rokok murah dikirakan 'low class'. Sebab tu rokok daun yang murah tu dihisap oleh warga tua/kampung. Perokok2 'ekskulsif' berasa malu utk menghisap rokok daun. Walau harga berapa sekalipun perokok akan membeli rokok juga..spt komen seorang 'pengguna' dalam TV; "walau harga RM100.00 tetap beli juga..." Entahlah.......labu......

Tuesday 22 December 2009

'MISKIN AKHLAK DAN BUDI'

Ancaman objek terbang - Pelbagai benda dibuang dari tingkat atas termasuk batu giling, sinki


ABDUL HAMID (kiri) dan Md. Saleh menunjukkan batu giling yang dibuang penghuni di PPR Batu Muda, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Impian mempunyai kediaman sendiri walaupun sekadar rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sudah pasti menggembirakan.

Bagaimanapun, bagi penduduk di PPR Batu Muda khususnya di Blok F di sini, impian tersebut bertukar menjadi mimpi ngeri ekoran sikap segelintir penghuninya yang kurang kesedaran sivik.

Walaupun disediakan rumah sampah namun ada pihak yang mengambil jalan mudah membuang sampah dari tingkat atas kediaman masing-masing.

Sebut apa sahaja daripada objek plastik hingga kepada kasut, sinki, topi keledar malah batu giling turut dibuang oleh penghuninya.


GAMBAR KANAN: Serpihan sinki yang dibuang oleh penghuni tidak bertanggungjawab di PPR Batu Muda, Kuala Lumpur semalam.


Pengerusi Surau Al-Muhajirin, Abdul Hamid Abdul Ghani berkata, keadaan itu sudah berlarutan sejak PPR itu mula dihuni sejak lebih setahun lalu.

"Bagaimanapun, ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, jika dulu sekadar sampah atau botol plastik sahaja kini ia membabitkan objek-objek berbahaya.

"Setakat ini, seorang penduduk cedera akibat terkena serpihan sinki yang dibuang dan kami tidak tahu siapa yang bertanggungjawab kerana PPR ini mempunyai 17 tingkat," katanya di sini semalam.

Abdul Hamid berkata, ekoran kejadian itu, para penghuni blok berkenaan semakin bimbang dan sentiasa berwaspada untuk keluar dan masuk ke kediaman masing-masing.


jongkomeng: Agaknya dah 'terbiasa' dengan kehidupan 'rumah atas tanah', main buang melalui tingkap. Bila tinggal kat rumah flat, lupa la pulak.... Satu lagi agaknya mereka ni 'tak sampai' maklumat, maklumlah kerja dari pg sampai ptg, balik rumah utk tido je. Jadi mana ada masa utk dapatkan 'maklumat' dari ejen2 'CNN'....

'TARIK KERETA'

Pemungut hutang tidak boleh berkasar

URUSAN tarik kereta perlu dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Bank Negara. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Pemungut hutang yang dilantik oleh institusi perbankan atau syarikat kewangan tertentu di negara ini tidak boleh menggunakan kekerasan dan sering mengganggu pemiutang ketika menjalankan tugas mereka.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung berkata, perkara itu terkandung dalam garis panduan dan amalan pengutipan hutang yang adil yang perlu dipatuhi oleh setiap pemungut hutang yang dilantik.



jongkomeng: 'Penarik Kereta' memang memiliki imej 'gedebe' dan sering berlaku 'perang' antara pemilik kereta dan 'penarik kereta' . Selepas peraturan ni dikeluarkan semoga tidak lagi berlaku 'perang' tersebut. Kadang2 kekerasan berlaku kerana pemilik tidak membenarkan kereta mereka 'ditarik'. Pemilik pula mungkin tidak diberi ruang secukupnya untuk menjelaskan hutang kereta mereka.

Bila sistem pinjaman tidak 'Islamik' digunakan akan berlaku penganinayaan kepada sesuatu pihak. Jika 'pinjaman secara Islam' digunakan, insya-Allah tidak berlaku kerugian kepada mana2 pihak.


Sunday 20 December 2009

Tidak tutup aurat, kompaun RM500


ANGGOTA penguat kuasa MPKB-BRI memeriksa peniaga dan pembantu kedai yang tidak menutup aurat di Pasar Borong Wakaf Che Yeh, Kota Bharu malam kelmarin.


KOTA BHARU - Seramai 15 peniaga dan pekerja wanita beragama Islam di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini dikenakan kompaun RM500 oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada operasi tutup aurat di sini malam kelmarin.

Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI, Wan Sharafi Wan Mustafa berkata, mereka dikenakan tindakan tersebut kerana berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna.

Menurutnya, tindakan tersebut diambil mengikut Undang-undang Kecil Trade Perniagaan MPKB-BRI 1986 (pindaan 2002).


Jelas beliau, penguatkuasaan larangan mendedah aurat itu dikenakan kepada golongan peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan mereka di bandar ini tanpa mengira waktu.

"Operasi itu diadakan selepas mendapati ramai peniaga dan pekerja wanita beragama Islam tidak menutup aurat walaupun pekeliling bertajuk Arahan Mematuhi Etika Berpakaian telah dikeluarkan sebelum ini," katanya.

Mereka yang dikenakan tindakan itu didapati tidak memakai tudung kepala, memakai kemeja-T berlengan pendek dan ketat serta berseluar panjang ketat.


jongkomeng: Selain 'pembuka' aurat berdosa, 'dia' juga berjaya 'memberi' dosa kepada orang yang melihatnya. Maka berkata pula 'mereka' jangan lihat...sapa suruh tengok ?. Maka kita menjawab ' jangan buka, sapa suruh buka?'. Kesimpulannya sama2 jaga diri masing2..yang perempuan jangan dedahkan aurat, yang lelaki jaga pandangan..Insya-Allah Selamat.

Friday 18 December 2009

SUCI DALAM DEBU

Lalok gam, bakar rumah nenek

KUALA KEDAH - Kesan ketagihan menghidu gam, seorang pemuda yang gagal mengawal emosi bertindak membakar rumah neneknya sendiri di Kampung Sematang Bogak dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 1.45 pagi itu, hampir semua barang milik neneknya, Asiah Puteh, 72, termasuk wang tunai RM1,500 untuk kegunaan perbelanjaan harian hangus terbakar.

Kosmo! difahamkan, pemuda itu mengalami masalah emosi kesan daripada menghidu gam menyebabkan dia sering bercakap dan ketawa seorang diri ketika bersendirian.

Menurut Asiah, walaupun cucunya itu mengalami masalah emosi namun, beliau menyifatkan cucunya itu sebagai seorang yang baik kerana sejak duduk bersamanya sebulan lalu, dia rajin membantunya.

"Jika tiba masanya dia lupa diri, dia akan lakukan perkara yang pelik-pelik termasuklah bercakap seorang diri dan kemudian ketawa sekuat-kuat hati.

"Pada hari-hari biasa, jika saya pergi ke bendang, dia akan kemas rumah dan basuh pinggan mangkuk," ceritanya.

Menceritakan detik kejadian, Asiah menambah, dia yang sedang nyenyak tidur di bahagian bawah rumah terkejut apabila cucunya itu tiba-tiba mengejutkannya lalu mengheretnya keluar dan membawa ke rumah adiknya yang terletak bersebelahan.

"Ketika dikejutkan saya terasa panas dan terpinga-pinga namun tak mampu berbuat apa-apa kerana cucu saya itu terus mengheret keluar ke tempat selamat.

"Saya cuba juga menyelamatkan barang-barang tapi dia tak bagi sebab bimbang dengan keselamatan saya," katanya.


jongkomeng: Yang musykilnya, kenapa penghidu gam tidak dikenakan tindakan undang2 sedangkan kesannya sangat buruk. Spt 'hilang ingatan/masalah mental' , bertindak diluar kawalan dan lain2. Hal ini menganggu gugat keamanan dan kesentosaan masyarakat.

Wednesday 16 December 2009

SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1431

'KACAK' LELAKI BUKAN PADA FIZIKAL

'Saya tidak cukup kacak untuk Zizie'




KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin (gambar) menafikan bahawa beliau akan berkahwin dengan pelakon terkenal tanah air, Zizie Ezette.

"Saya tidak cukup kacak untuk beliau (Zizie)," kata wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu ketika dihubungi melalui telefon selepas wakil media gagal menjejakinya di Bangunan Parlimen di sini.

Desas-desus yang mengatakan Bung Moktar, 50, akan berkahwin dengan Zizie, 31, merebak dengan pantas di Parlimen sejak pelakon itu membuat pengakuan dilamar seorang Ahli Parlimen dari Sabah baru-baru ini.

Sebelum itu, Bung Moktar telah berjanji untuk datang ke Bangunan Parlimen untuk berjumpa dengan beberapa wakil media yang ingin mendapatkan kepastian mengenai hubungan beliau dan Zizie.

Bagaimanapun, wakil media kemudiannya dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa beliau sibuk dan terpaksa menghadiri satu mesyuarat semalam.

"Sorry, there is no kahwin kahwin kahwin, hahahaha," katanya dalam satu lagi SMS kepada media.

Ditanya sama ada beliau telah melamar Zizie menerusi SMS, Bung Moktar tidak membalasnya. - Bernama


jongkomeng: Kacak orang lelaki bukan semata-mata pada fizikal. Buktinya ramai orang 'tua ganyut' mempunyai 'isteri' yang muda dan cantik. 'Kacak' seseorang lelaki boleh jadi pada kedudukan, karisma, kamasyhuran dan hartanya....contoh2nya ada banyak d isekeliling/sekitar kita.

Tuesday 15 December 2009

BUANG LEBIH BAIK DRP JUAL MURAH ?

Buang susu segar ke dalam parit


ADA pekerja ladang mengambil kesempatan menadah susu dalam gelas dan meminumnya semasa ia dibuang ke dalam parit di Bandar Muadzam Shah, Pahang.


ROMPIN - Lebih 75,000 liter susu segar keluaran First Dairy Farm (M) Sdn. Bhd. (Fidaf) di sini yang sepatutnya dihantar ke kilang setiap hari sejak sejak bulan lalu terpaksa dibuang begitu sahaja ke dalam parit ladang berkenaan.

Ia jelas satu pembaziran tetapi kepada pengurusan Fidaf, mereka berbuat demikian untuk membuka mata pihak berkuasa selepas tiga syarikat pengilang susu enggan membeli hasil ladang syarikat tenusu terbesar di Semenanjung Malaysia itu atas dakwaan ia mengandungi bakteria selain desakan harganya diturunkan.


Syed Muhd. Alwi


Susu keluaran Fidaf pada masa ini dijual RM2.40 seliter dan dikatakan mahal sedikit berbanding produk susu import dari Australia dan New Zealand.

Kesan daripada tindakan itu, Fidaf beroperasi lebih setahun lalu terpaksa menanggung kerugian lebih RM210,000.

Tindakan protes membuang susu ke dalam parit tu mengundang rasa sedih bukan sahaja kepada Pengarah Urusannya, Datuk Syed Muhd. Alwi Abdullah tetapi juga para pekerja yang melihat keringat mereka menjadi sia-sia dan masa depan menjadi samar-samar.

Semalam, Fidaf meneruskan lagi tindakan protes dengan membuang 16,500 liter susu segar ke dalam parit dengan Syed Muhd. Alwi berteriak bahawa mereka bukan sekadar membuang susu tetapi juga punca rezeki.

Beliau mendakwa pihaknya serta pengeluar susu tempatan lain semakin tersepit dan tidak lagi dapat menandingi bekalan susu import yang menguasai 95 peratus pasaran.


jongkomeng: Dulu bila ayam murah, anak ayam dibakar. Bila susu murah dibuang pula. Entah sistem perniagaan mana yang diguna tak tau la. Kalau ikut Islam...Lebih baik rugi sedikit (jual harga murah) daripada rugi banyak (buang tanpa jual). Satu lagi kaedahnya sedekah je pada orang ramai (dapat pahala) Kalau dibuang...(kan membazir namanya).

Cara ini dimalkan oleh peniaga kecil di pasar-pasar spt; Pasir Puteh, Kg Raja, Jelawat, Melor dll di sekitar Besut & Kelantan. Mereka akan memberi 'hadiah' kepada pembeli sama ada cili, limau nipis, timun dsb. Selain mengelakkan pembaziran, mereka dapat pahala, pelangan pun gembira.

Alternatif lain, pihak 'berkenaan' fikirkan cara memasarkan sendiri hasil tenusu mereka....

Monday 14 December 2009

PENGAJARAN KEPADA PERAGUT

Peragut dipenjara 15 tahun, 10 sebatan

JOHOR BAHRU - Seorang penganggur Mohd. Ariffin Anang yang menyebabkan kematian seorang ibu mengandung semasa tindakannya meragut wanita itu Mei lalu dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat di sini semalam.

Hakim Mohd. Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun bagi kesalahan pertama dan penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan kedua dengan kedua-dua hukuman itu berjalan secara serentak bermula tarikh dia ditangkap pada 6 Mei sebaik Mohd. Ariffin, 25, mengubah pengakuannya kepada bersalah secara tiba-tiba semalam.

Mohd. Ariffin sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu menyebabkan kematian Jamilah Selamat (gambar kecil), 32, yang mengandung dua bulan di hadapan rumah nombor 24 Jalan Kaloi, Taman Air Hitam, Batu Pahat pukul 7.15 malam 3 Mei lalu.

Dia juga didakwa pada masa dan tempat yang sama menyebabkan cedera kepada mangsa ketika merompak harta Jamilah iaitu antaranya beg tangan, telefon bimbit dan dompet.

Tertuduh yang berada di kandang tertuduh kelihatan bersahaja apabila memberitahu peguam belanya, Ng Lam Hua yang dia mahu mengubah pengakuannya.


jongkomeng: Ambo setuju dengan hukuman ini, patut lebih lagi sebab melibatkan kematian....

Friday 11 December 2009

WAJIB MURAH YANG TAK WAJIB TAK SUNAT MAHAL

Mas kahwin mahal tambah jumlah anak dara tua

KOTA BHARU - Kenaikan kadar mas kahwin hanya akan menambahkan bilangan kaum wanita menjadi anak dara tua.

Itu pendapat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan Selangor menaikkan kadar mas kahwin di negeri itu daripada RM80 kepada RM300 berkuat kuasa 1 Januari 2010.

"Saya pun mengenakan tidak lebih RM1,000 bagi mas kahwin termasuk hantaran bagi setiap anak saya.

"Tidak perlu sampai kepada keputusan peringkat kerajaan. Kamu hendak naikkan mas kahwin boleh tetapi kalau sampai menyusahkan si lelaki tidak bolehlah. Hendak cari duit empat, lima ribu bukan senang," katanya di sini semalam.

Kelantan adalah antara beberapa buah negeri yang tidak menetapkan sebarang kadar mas kahwin untuk pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.

Menurutnya, langkah mengenakan mas kahwin dan hantaran yang terlalu tinggi jumlahnya hanya lebih menunjukkan bersifat riak sehingga akhirnya membebankan pasangan lelaki.


jongkomeng: Di beberapa negeri, mas kahwin murah RM80, RM22.50 (disebut semasa akad nikah)....tapi hantarannya boleh mencecah puluh2 ribu, ada pula barang2 hantaran yang kalau dikira mencecah ribuan juga...

Beza sikit di Kelantan Mas Kahwin atau 'belanja' mungkin 5, 6, ribu (disebut semasa akad nikah)...tiada 'wang hantaran' yang ada 'barang hantaran'.

Ada berlaku di beberapa negeri 'duit hantaran' diberi dahulu kpd pihak keluarga perempuan untuk 'perbelanjaan' kenduri kawin. Di Kelantan perkara ini tidak berlaku . Kata orang lain padang lain belalang, yang penting saling memahami dan menerima dengan hati yang terbuka.



Tuesday 8 December 2009

BUDU MODEN

Budu dalam bentuk debu


fisal ahmad bersama-sama produk Debudu yang mudah dibawa ke mana-mana.


BERCERITA mengenai masakan tradisional, tidak boleh ketepikan budu - sejenis sos ikan yang cukup terkenal di Kelantan. Budu merupakan produk yang dihasilkan daripada ikan bilis dan garam yang diperam memberikan rasa dan bau yang unik.

Biasanya budu digunakan sebagai pencicah yang dimakan bersama-sama ulam serta nasi dan lauk-pauk.

Budu mempunyai semua asid amino dan tinggi dengan kadar lysine selain vitamin serta garam galian yang berguna.

Makanan ini juga merupakan sumber terbaik bagi Vitamin B12 dan garam galian seperti kalsium, natrium, magnesium, zat besi dan fosforus.

Budu juga mempunyai kandungan garam yang tinggi yang menghalang pengguna mengambilnya dalam kuantiti yang tinggi.

Bagaimanapun dengan kepentingan nutrisi tetapi pengeluaran yang terhad boleh membantutkan usaha untuk mengkomersialkan produk berkenaan.

Justeru Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalankan kajian menghasilkan budu dalam bentuk serbuk atau dinamakan debudu.

Pensyarah Jabatan Sains Makanan, Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan, Fisal Ahmad mendapat idea menghasilkan debudu apabila sukar membawa budu menaiki pesawat.

"Budu yang merupakan makanan berkhasiat sepatutnya mudah dibawa ke mana saja selain senang disajikan.

"Botol budu yang dibawa menaiki pesawat biasanya mudah pecah akibat proses penapaian," katanya semasa ditemui di pameran Pecipta 2009 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Justeru beliau menghasilkan debudu yang merupakan produk unik - merupakan budu yang dikeringkan .

"Produk baru ini boleh ditambah dengan beberapa bahan lain seperti cili, asam limau selain pembungkusan serta pengurusan yang mudah dan menarik," katanya.

Debudu merupakan kaedah terbaik untuk menangani masalah bekalan yang terhad selain meluaskan penggunaannya di masa depan.

Fisal menambah, apabila budu dikeringkan, ia tidak menghilangkan khasiatnya dalam bentuk Debudu.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya telah menjalankan kerjasama dengan pengeluar budu terbesar bagi menjalankan kajian menghasilkan debudu.

"Bedubu boleh didapati dengan dua perisa iaitu asli dan campuran cili, limau dan bawang dan hanya perlu ditambah air apabila dihidangkan," katanya.

Debudu yang telah dibungkus menarik, jelas Fisal sesuai dijadikan cenderahati kerana kering, mudah dibawa.


jongkomeng: Beberapa 'waktu' dahulu telah kedengaran darihal budu debu ni, tapi tak nampak pun budu debu di pasaran. Satu lagi adakah budu debu ni dapat mengekalkan rasa asli budu ? kalau tidak, mungkin ia tidak mendapat sambutan. Tapi sekurang2nya dapat menghilangkan 'gian' peminat budu diluar negara. Sebagaimana santan serbuk...tak ada rotan, akar pun berguna...

Friday 4 December 2009

SPM maksimum 12 subjek

PUTRAJAYA 4 Dis. – Kabinet bersetuju membenarkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil dua mata pelajaran tambahan, menjadikan jumlah maksimum 12 subjek yang boleh diambil.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, keputusan keseluruhan SPM tetap berdasarkan kepada 10 mata pelajaran utama dan tidak mengambil kira dua subjek tambahan.

‘‘Kabinet memutuskan 10 subjek utama kekal tapi kita beri kelonggaran kepada pelajar membuat pilihan sendiri sama ada untuk ambil subjek bahasa atau kesusasteraan Cina dan Tamil.

‘‘Pelajar SPM boleh ambil 11 atau 12 subjek tapi ia tidak akan diambil kira dalam keputusan 10 subjek teras,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ke-65 Majlis Tanah Negara di sini hari ini.

Jun lalu, kerajaan mengumumkan bahawa pelajar SPM hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran bermula tahun depan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menambah, keputusan membenarkan dua mata pelajaran tambahan itu juga tidak akan diambil kira untuk tujuan lain seperti memohon biasiswa.

‘‘Tapi kalau dia (calon SPM) mahu memohon menjadi guru bahasa Tamil sebagai contoh, dia boleh pakai keputusan subjek tambahan itu,’’ ujarnya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, maklumat menyeluruh mengenai perkara itu akan diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dalam masa terdekat.

Beliau memberitahu, keputusan Kabinet itu dibuat selepas mengambil kira rayuan pelbagai pihak termasuk Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam baru-baru ini, agar pelajar India dibenarkan mengambil maksimum 12 mata pelajaran dalam SPM.


jongkomeng: Pengumuman ini tentu menggembirakan pihak2 tertentu.

Thursday 3 December 2009

BUNGA BUKAN SEKUNTUM

'Saya tetap mahukan dia'


NOR MOHAMMAD menunjukkan gambar isterinya di Ampang semalam.


KUALA LUMPUR - "Saya tetap akan pergi mengambil semula isteri setelah dapat maklumat sebenar di mana dia berada".

Demikian tegas Nor Mohammad Sham, 39, ketika diminta mengulas tindakan selanjutnya selepas berita isterinya tersiar di akhbar semalam.

"Biar bagaimana buruk sekalipun perangainya, saya tetap mahukan dia kembali dan akan mengubahnya menjadi insan yang baik," katanya.

Menurut Nor Mohammad, dia pernah bercakap melalui telefon dengan lelaki yang menyebabkan isterinya, Noor Sharmanie lari meninggalkannya tetapi berakhir dengan dia dimaki-hamun.

"Sepatutnya saya yang memarahi dia, sebaliknya saya pula yang diherdik dengan bercakap kasar dengan saya seolah-olah dia tidak bersalah.

"Apa pun yang akan terjadi, isteri saya tetap akan saya ambil semula sekalipun terpaksa meminta bantuan polis," ujarnya.


jongkomeng: Bila orang tak suka biarlah...cari yang yang, dalam berumahtangga kena cari perempuan yang cinta kpd kita, jangan yang kita je cinta kt dia....apa2 pun banyak2 bersabar insyaallah akan datang pertolongan Allah.

Wednesday 2 December 2009

AS hantar 30,000 lagi askar ke Afghan



OBAMA berjabat tangan dengan beberapa pelatih kadet di Akademi Tentera Amerika Syarikat (AS) di West Point, New York kelmarin.


WEST POINT, New York - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin menyatakan beliau akan menghantar 30,000 lagi askar ke Afghanistan.

Obama berikrar buat pertama kalinya bahawa tentera AS akan pulang ke tanah air dalam tempoh 19 bulan semasa beliau mencari jalan keluar daripada konflik yang dibimbangi ramai pihak bahawa perang di Afghanistan bakal menjadi seperti di Vietnam.

"Afghanistan tidak kalah tetapi selama beberapa tahun, ia telah kembali ke zaman silam," kata Obama.

Pengumuman yang diharap ramai pihak itu dibuat di Akademi Tentera AS di sini.

"Sebagai ketua tentera tertinggi, saya telah menentukan bahawa ini merupakan hasrat penting negara untuk menghantar tambahan 30,000 askar ke Afghanistan," kata Obama.

Peningkatan itu menyebabkan kos perbelanjaan meningkat.

"Selepas 18 bulan, tentera kami akan datang ke tanah air," tambah Obama.

AS kini mempunyai 71,000 askar di Afghanistan selain 42,000 lagi dari beberapa buah negara lain. - AFP


jongkomeng: Apa yang dicari oleh Amerika di Afghanistan ? Kemegahan ? Kemenangan?...sesungguhnya Alah tidak akan menolong orang2 yang sombong dan bongkak.

Sunday 29 November 2009

Skim baucar diskaun mungkin diteruskan


SKIM baucar diskaun RM5,000 berupaya menarik minat pemilik kereta lama untuk menukar kereta baru. - Gambar hiasan


RAWANG - Pemberian skim baucar diskaun sebanyak RM5,000 untuk kereta nasional yang ditamatkan pada 1 November lalu tidak mustahil ia akan diadakan semula jika itu yang dikehendaki oleh rakyat.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, ketika ini pihaknya sedang mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak berhubung pelaksanaan skim berkenaan.

Sebelum ini katanya, skim tersebut ditamatkan setelah semua dana yang disediakan habis digunakan tetapi kerajaan sentiasa fleksibel dan akan menyelami hasrat rakyat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan mereka.

"Misalnya cadangan mewajibkan setiap kenderaan yang berusia 15 tahun ke atas menjalani pemeriksaan yang diutarakan sebelum ini, apabila rakyat membantah kita telah mengubah semula cadangan itu.

"Begitu juga dalam isu ini, walaupun tidak dapat membuat sebarang pengumuman ketika ini namun maklum balas mereka diperlukan bagi membolehkan kita mengambil tindakan susulan yang dirasakan wajar," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ibadah Korban dan Jamuan Mesra Rakyat di sini semalam.


jongkomeng: Rebet RM5000 bagi orang menukar kereta lama kepada kereta baru patut diteruskan sampai bila-bila. Malah patut dinaikan lagi sehingga RM7000. Lagipun kita sedang menuju ke arah negara maju yang mana rakyatnya dinamik dan progresif serta gaya hidup moden.

Friday 27 November 2009

BILA HATI DAH SUKA.....


LONDON - Seorang lelaki Britain, Ian Young menyunting seorang mak nyah warga Malaysia yang dikenali sebagai Fatine untuk menjadi 'isterinya', lapor sebuah akhbar semalam.

Ian, 30, yang memiliki sebuah syarikat penyelenggaraan hartanah berkahwin dengan Fatine, 36, dalam satu majlis sivil di sini Mei lepas.

Dia berkenalan dengan Fatine di sebuah kafe Starbucks di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur pada Ogos 2006 ketika dia bekerja sebagai pegawai keselamatan di Malaysia.

Terpegun dengan kejelitaan mak nyah tersebut, Ian yang pada mulanya menyangka Fatine seorang wanita, cuba memikatnya.

Lelaki itu berkata, keserasian antara mereka menimbulkan bibit cinta dan dia berasa bertuah dapat bertemu dengan kekasih yang mengambil berat dan pandai menjaga hatinya.

"Saya tidak peduli sama ada dia seorang mak nyah. Saya mencintai keperibadiannya. Bagi saya Fatine seorang wanita yang cantik dan menawan," kata Ian yang sebelum ini mempunyai seorang teman wanita berbangsa Inggeris.

Fatine atau nama sebenarnya Mohammed Fazdil Min Bahari mengambil hormon wanita sejak berusia 17 tahun.

Jurusolek itu tidak mahu melakukan pembedahan penukaran jantina kerana takut pada risiko di samping gembira dengan keadaan dirinya yang sedia ada.

Pada Disember 2008, Ian membawa Fatine ke Britain dengan menggunakan visa pelawat tetapi 'isterinya' itu kini bakal dihantar pulang Malaysia kerana tinggal di negara itu melebihi tempoh enam bulan. - Agensi


jongkomeng: Pepatah.."ikut hati mati, ikut rasa binasa".

Thursday 26 November 2009

SELAMAT HARI RAYA KORBAN

SELAMAT HARI RAYA 'EIDUL ADHA'


2.5 juta jemaah haji wukuf


RIBUAN jemaah haji tiba di Arafah semalam.


ARAFAH - Sejumlah jemaah haji Iran mengadakan demonstrasi aman semalam ketika hampir 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia berwukuf di Arafah.

Langsung tidak menghiraukan amaran pihak berkuasa Arab Saudi yang melarang aktiviti politik, jemaah-jemaah itu melaungkan slogan ke arah penyatuan ummah dan tentangan terhadap musuh Islam di kem mereka di sini, pinggir Mekah.

"Hapuskan Amerika Syarikat (AS)!, hapuskan Israel!," laung beribu-ribu jemaah Iran di dalam khemah-khemah mereka di sini.

Namun, bantahan yang dipimpin oleh Ayatollah Muhammed Rishari iaitu wakil pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei itu berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini atau campur tangan pihak berkuasa.

"Kita memerlukan semua orang Islam sama ada Sunnah atau Syiah bersatu untuk menghadapi isu-isu penting seperti penaklukan Palestin, krisis Iraq, penaklukan Afghanistan dan perang saudara di Yemen," katanya.

Pada 1987, polis Arab Saudi cuba mematahkan satu bantahan oleh jemaah haji Iran yang mencetuskan rusuhan menyebabkan 402 orang terkorban termasuk 275 jemaah haji Iran.




Sementara itu, jemaah haji tiba dari Mekah dan Mina membanjiri Arafah menjelang subuh untuk berwukuf di kawasan Nabi Muhammad menyampaikan khutbah terakhir pada hari tersebut 1,377 tahun lalu.

"Saya amat gembira berada di Arafah. Kerana Nabi Muhammad bercakap dengan Allah dari tempat ini. Inilah tempat paling suci," kata seorang jemaah Maghribi, Fatima.

Seorang jemaah haji berketurunan Palestin dari Israel, Faisal, 52, pula berharap umat Islam akan bersatu untuk membebaskan masjid Al-Aqsa dan Palestin.

Sukarelawan-sukarelawan turut mengagihkan beribu-ribu makanan percuma di Arafah dan kawasan sekitarnya hasil derma beberapa badan amal dan agensi perniagaan Arab Saudi.

Cuaca juga semakin baik selepas hujan lebat melanda pada hari pertama ibadat haji yang menyebabkan ramai jemaah haji terkandas di jalan-jalan raya serta kesesakan di antara Mekah dan Arafat.

Kesan jangkitan selesema babi pula kekal rendah apabila cuma empat jemaah haji meninggal dunia akibat virus influenza H1N1 di beberapa buah hospital di Arab Saudi sepanjang minggu lalu. - AFP

Wednesday 25 November 2009

CERDIK TAPI BODOH

Suami isteri ditahan - Buat wang palsu RM50 sebelum dimasukkan ke dalam bank


ASRI menunjukkan sebahagian daripada wang palsu dan tulen yang drampas daripada sepasang suami isteri di Mergong, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Sepasang suami isteri berusia 20 tahun yang hidup dengan membuat wang palsu RM50 sejak berkahwin Jun lalu akhirnya masuk perangkap pasukan khas polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (IPK) semalam.

Mereka diberkas di sebuah rumah di Taman Wira, Mergong pada pukul 8 malam sebelum dibawa ke sebuah bilik motel berhampiran Stesen Bas Shahab Perdana yang disewa sebulan lalu.

Modus operandi mereka adalah membuat salinan warna (fotostat) not RM50 dan kemudian membelah dua wang yang tulen itu menggunakan pisau.


DI SEBUAH motel berhampiran Terminal Bas Shahab Perdana di Alor Star inilah polis menemui peralatan membuat wang palsu daripada sepasang suami isteri semalam.


Wang yang dibelah itu kemudian ditampalkan dengan wang yang difotostat dan diseterika supaya ia mirip wang tulen sebelum dimasukkan ke dalam bank tempatan menerusi Mesin Deposit Tunai (CDM).

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, sebaik sahaja transaksi kemasukan diterima, mereka akan mengeluarkan semula wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) lain pada hari yang sama.

"Kegiatan tersebut dilakukan secara kecil-kecilan tanpa penglibatan sindiket,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini semalam.


jongkomeng: Otak/akal yang cerdik tetapi digunakan untuk membuat kerja yang salah menrupakan suatu kebodohan yang nyata. Jadi gunakan kecerdikan akal untuk kerja2 yang menguntungkan Islam.

Tuesday 24 November 2009

Taun: Tauke keropok rugi besar



SUHAIMI (kiri) menunjukkan berita keropok lekor punca taun kepada pemberita di Kampung Losong, Kuala Terengganu semalam.





KUALA TERENGGANU - Beberapa pengusaha keropok lekor di sini mendakwa mengalami kerugian lebih RM1,000 setiap hari sejak produk itu dikaitkan dengan penyebaran wabak taun Sabtu lalu.

Pengerusi Persatuan Keropok Losong Kuala Terengganu, Suhaimi Ali berkata, penjualan keropok lekor dan keropok keping juga menurun sebanyak 80 peratus.

Katanya, orang ramai masih bimbang meskipun Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nordiyanah Hasan memberitahu makanan itu selamat untuk dimakan.

"Kami mengalami kerugian yang besar sejak Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi kenyataan bahawa keropok yang berasaskan ikan menjadi antara punca merebak wabak taun.

"Selain itu, tindakan Jabatan Kesihatan negeri memberi notis tutup kedai selama 14 hari juga turut memburukkan lagi keadaan," katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurut Suhaimi, setakat semalam, sebanyak lima buah kedai telah diarah tutup setelah produk itu dikenal pasti sebagai salah satu punca penularan wabak taun di negeri ini.


jongkomeng: Keropok lekor yang sedap ni jarang dikait dengan penyakit. Keropok lekor direbus dalam air yang mendidih sehingga mampu mematikan kuman; sebagaimana yang dinyatakan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu ia selamat dimakan ketika masih panas. (bila sejuk kuman itu hidup semula ? )


Sunday 22 November 2009

Kecualikan pinjaman perumahan kakitangan sakit - CUEPACS

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan akan dapat mengecualikan bayaran pinjaman perumahan bagi penjawat awam yang sakit sewaktu dalam perkhidmatan.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd. Zin berkata, pada masa ini hanya mereka yang membuat pinjaman selepas 1 Ogos 1995 tidak perlu membayar baki pinjaman sekiranya mereka tidak dapat berkhidmat kerana sakit.

Katanya, petugas yang membuat pinjaman sebelum tarikh berkenaan terpaksa meneruskan bayaran pinjaman kerana polisi insurans mereka hanya meliputi kematian dan kebakaran tetapi bukan hilang upaya kekal.

"Ini bermakna penjawat awam tidak perlu menjelaskan baki pinjaman sekiranya mereka meninggal dunia atau rumah mereka terbakar tetapi bukan sekiranya mereka hilang upaya untuk bekerja kerana sakit," katanya.

Atas sebab itu, menurut beliau, kira-kira 50,000 petugas awam dipercayai kini menghadapi keadaan sukar. - Bernama


jongkomeng: Ambo setuju dengan Cuepacs, sebab kakitangan awam telah berkhidmat untuk kerajaan. Jadi molek lah kerajaan menghargai penat lelah mereka, sewaktu mereka dalam kesusahan. Sesuai benar dengan "Rakyat didahulukan, perstasi diutamakan"

Saturday 21 November 2009

BERSUNAT

Musim berkhatan


Sebahagian daripada 25 kanak-kanak berumur di antara lapan hingga 12 tahun diraikan pada majlis berkhatan beramai-ramai sempena musim cuti sekolah di Taman Meranti di Changlun, semalam. - BERNAMA


SETIAP kali cuti persekolahan akhir tahun bermula, bermulalah juga satu lagi amalan tradisi yang kian mendapat tempat dalam kalendar penduduk setempat.

Majlis berkhatan beramai-ramai, seperti juga kenduri perkahwinan, turut menjadi aktivi lazim sempena musim cuti ini.

Selain menghidupkan amalan lama yang semakin dilupakan, majlis tersebut dapat mengeratkan hubungan di antara penduduk di samping mengimbau kembali nostalgia dahulu kala.






jongkomeng:
Dulu ada yang lari kerana takut untuk berkhatan, kerana zaman itu bersunat merupakan sesuatu yang menyakitkan. Zaman sekarang anak2 dah tak takut lagi, sebab dengan penggunaan teknologi perubatan moden proses berkhatan tidak menyakitkan.

Keluarga mangsa jambatan runtuh kemukakan saman RM105 juta



AHLI keluarga tiga pelajar yang mati lemas di Kuala Dipang, Kampar dan peguam bergambar di depan Mahkamah Tinggi Ipoh semalam.



KERATAN Kosmo! 28 Oktober 2009.


IPOH - Tiga bapa kepada tiga pelajar yang meninggal dunia dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan berhampiran Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang di Kampar pada 26 Oktober lalu semalam memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta daripada 10 defendan.

Dalam saman itu, K. Mageswaran, K. Vasudevan dan T. Nathan menamakan sebagai defendan guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan, guru besar SJKT Gopeng, Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak dan Komandan Kem 1Malaysia Kuala Dipang.

Pihak lain yang disaman ialah penderma jambatan gantung itu iaitu syarikat GS Synergy Sdn. Bhd., syarikat kontraktor CWL Enterprise, Menteri Pelajaran dan kerajaan Malaysia.

Dalam kejadian itu, tiga kanak-kanak yang terkorban ialah Devatharshi anak Mageswaran, Dina Deve anak Nathan dan DiVyashree anak kepada Vasudeva.

Writ saman itu difailkan melalui Tetuan A. Sivanesan & Co di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.


jongkomeng: Itu risikonya yang terpaksa ditanggung oleh penjawat awam. Oleh itu ikutlah prosedur yang betul. Kalau arahan yang tak ada hitam putih, berhati hatilah dalam melaksanakannya.

Thursday 19 November 2009

PENGORBANAN IBU

Perit ibu dukung anak ke sekolah setiap hari berbaloi


SITI NORFARAH didukung ibunya, Norhaida untuk diletakkan di atas motosikal di Besut, Terengganu semalam.


BESUT - Kecekalan seorang ibu yang sanggup mendukung anaknya yang cacat ke sekolah setiap hari sejak enam tahun lalu tidak sia-sia apabila anak sulungnya itu memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam.

Walaupun cacat kerana menghidap penyakit Osteogenesis Imperfecta iaitu sejenis penyakit kerapuhan tulang, Siti Norfarah Hanim, 12, tidak mudah mengalah hingga akhirnya mencipta kejayaan itu.

Siti Norfarah adalah antara 40 orang pelajar Sekolah Kebangsan Tengku Mahmud II di sini yang mendapat 5A dan diraikan dalam satu majlis di sekolah itu.

Ketika nama Siti Norfarah diumumkan untuk ke pentas bagi mengambil slip keputusan, dia bersama ibunya, Norhaida Harun, 38, dilihat berlinangan air mata kegembiraan.

Bagi Norhaida, hanya pelajaran yang mampu diberikan kepada anaknya itu memandangkan dirinya tidak mampu untuk menyediakan harta yang banyak untuk kehidupan pada masa depan.

Katanya, setiap pagi sebelum ke sekolah, Siti Norfarah akan dibekalkan dengan sedikit makanan kerana tidak mampu berjalan ke kantin dan dia bernasib baik kerana seorang rakan sekelasnya, Nurul Alia Rosdi secara sukarela membantu anaknya semasa di dalam kelas.

Sementara itu, di Pasir Mas, Kelantan, Muhammad Nabil Mohd. Nasir, 12, yang mengalami kecacatan pada kaki kiri dan kedua-dua tangannya sejak dilahirkan turut berjaya meraih 5A dalam UPSR.

"Ini hadiah untuk ibu saya yang bersusah payah mendukung saya ketika menghantar dan mengambil saya sekolah setiap hari," katanya yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Talib 1, Pasir Mas.

jongkomeng: Pengorbanan ibu tidak mengenal batas, harta benda, masa, tenaga dan wang ringgit; asalkan anak2 berjaya dan bahagia... itulah kepuasan bagi mereka.

Friday 13 November 2009

Amerika rampas empat masjid

NEW YORK 13 Nov. - Pendakwa raya Persekutuan Amerika Syarikat (AS) sedang mengambil langkah untuk merampas empat buah masjid dan sebuah bangunan pencakar langit setinggi 36 tingkat di bandar raya ini daripada sebuah pertubuhan Islam, yang disyaki berada di bawah kawalan kerajaan Iran.

Yayasan Alavi telah menyalurkan dana secara haram kepada kerajaan Iran, menurut seorang pegawai di pejabat Peguam Negara AS bagi Daerah Selatan New York, Preet Bharara, semalam.

Bharara memfailkan aduan sivil kepada sebuah Mahkamah Persekutuan di sini untuk merampas akaun-akaun bank serta sebuah syarikat milik Yayasan Alavi, selain menara 36 tingkat tersebut, hartanah di Virginia dan pusat-pusat Islam yang menempatkan masjid di bandar raya New York dan negeri-negeri Maryland, Texas dan California.

Rampasan itu melibatkan sejumlah lapan hartanah dan sembilan akaun bank

Dalam aduan setebal 97 muka surat itu, pendakwa raya menuduh para pegawai tinggi Iran termasuk bekas Perdana Menteri, Tahmasb Mazaheri dan duta-dutanya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terlibat dalam urus niaga yayasan tersebut.

"Yayasan Alavi sebenarnya bertindak bagi pihak kerajaan Iran," menurut kenyataan Bharara.

Tindakan itu dijangka memburukkan lagi hubungan antara Washington dengan Teheran, yang dituduh membiayai kumpulan pengganas dan merancang membina bom nuklear dengan berselindung di sebalik program nuklear untuk kegunaan awam.

Presiden Barack Obama semalam melanjutkan sekatan ekonomi ke atas Iran setahun lagi, dengan memberitahu Kongres 'hubungan kita dengan Iran belum pulih seperti biasa'.

Langkah untuk menyita tempat-tempat ibadat Syiah itu adalah sangat luar biasa bagi penguatkuasa undang-undang AS disebabkan kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan AS.

Ia juga diambil ketika umat Islam di negara ini masih bimbang mereka akan menjadi sasaran serangan berikutan kejadian tembakan di pangkalan tentera Fort Hood, Texas pada minggu lepas, didakwa dilakukan oleh seorang pakar psikiatri tentera yang beragama Islam. - AFP


jongkomeng: "Depa kata kita jahat, tapi depa lebih jahat"

Thursday 12 November 2009

DILEMA GURU ?

Guru trauma mula diberi kaunseling


KERATAN Kosmo! 11 November 2009.


SUBANG JAYA - Guru-guru yang terbabit dalam tragedi jambatan runtuh di Kuala Dipang akhir Oktober lalu kini mengikuti beberapa program kaunseling bagi memulihkan trauma akibat kecaman pelbagai pihak yang menuduh mereka sebagai punca kejadian tersebut.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, dua program kaunseling sudah dijalankan membabitkan 12 orang guru yang terlibat dan satu lagi program kaunseling berkumpulan akan berlangsung pada 18 November ini.

"Ada pelbagai tuduhan yang menyebabkan guru-guru terbabit berasa tidak tenteram dan tertekan terutama apabila mereka dikatakan cuai menjaga keselamatan pelajar dan tiada di tempat kejadian serta tidak mengambil tindakan untuk menyelamatkan pelajar.

"Selain itu, ada di kalangan mereka menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbau kecaman dan ugutan saman malah ada pihak luar menyerang guru-guru berkenaan sehingga mereka tidak bersemangat untuk mengajar," katanya pada sidang media selepas Konvensyen Perdana Kaunselor Organisasi Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia di sini semalam.

Rabu lalu, Kosmo! melaporkan pendedahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bahawa ramai guru dan murid yang terlibat dalam tragedi jambatan gantung di Kuala Dipang kini trauma dan 'dibiarkan' tanpa sebarang khidmat kaunseling.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad mengakui kejadian yang berlaku telah memberi kesan psikologi kepada guru-guru berkenaan dan sekiranya tidak dirawat atau dibendung, mereka akan menjadi lebih tertekan.


jongkomeng: Bila sesuatu aktiviti luar yang melibatkan murid sekolah guru2 memang terdedah kepada risiko disaman oleh ibubapa. contoh: membawa murid dengan kereta guru ke sesuatu pertandingan, kereta guru tidak mempunyai permit pengangkutan awam, tiada insuran kepada penumpang. Sekiranya berlaku kemalangan senang2 ibubapa boleh saman guru. Mungkin setakat ini belum ada kes saman ni berlaku.

Monday 9 November 2009

SYAITAN SUKA 'ORANG MARAH"

Ditikam kerana mahu bercerai


ORANG ramai bertumpu di rumah Zabedah yang mati dibunuh di Kampung Kuala Sungai, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Keengganan seorang isteri untuk berbaik-baik semula dengan suaminya setelah tidak tinggal bersama sejak dua bulan lalu membawa maut kepada wanita itu.

Dalam kejadian pada pukul 1 petang di Kampung Kuala Sungai, Mukim Kubang Rotan di sini semalam, Zabedah Ali, 73, mati terkena tikaman oleh lelaki dipercayai suaminya sendiri di pekarangan rumah mangsa.




Mangsa ditikam dengan pisau selepas suaminya yang berusia 75 tahun gagal memujuk isterinya untuk tidak bercerai.

Bapa saudara Zabedah, Mustafa Ahmad, 80, yang menyaksikan kejadian itu berkata, dalam proses memujuk mangsa, tercetus perang mulut di antara pasangan suami isteri itu.

"Suspek ada kata, dia mahu ajak Zabedah mati bersama. Selepas gagal pujuk Zabedah, ketika suspek mahu bersalam dengan Zabedah dia terus menikam di sebelah kiri perut Zabedah guna pisau," kata beliau ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Mustafa, pisau tersebut dipercayai dibawa oleh suspek dari rumahnya di Kuala Kedah.

Mustafa memberitahu, selepas menikam mangsa, suspek cuba melarikan diri namun anak tiri Zabedah yang berada di tempat kejadian mengejarnya dan menahan lelaki itu.


jongkomeng: Sifat suka marah sangat digemari oleh syaitan, sebab pada masa tu 'setan cucuk sikit je' manusia boleh buat apa saja tanpa pertimbangan akal. Akhirnya menyesal tak sudah...

Saturday 7 November 2009

KIJANG KENA BAHAM " 3 - 1"


TAHNIAH LA KPD NOGORI .... TAPI YANG TAK SERONOK NYA SEGELINTIR PENYOKONG KELANTAN TIDAK MENJAGA "MARUAH NEGERI KELANTAN". ADAT PERLAWANAN ADA KALAH MENANG.


Friday 6 November 2009

BANJIR

Keadaan semakin buruk, 3,015 penduduk terpaksa berpindah


SEORANG anggota polis membantu menolak sebuah kereta yang terperangkap dalam banjir di Rantau Panjang semalam.


KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir yang melanda Terengganu dan Kelantan semakin buruk apabila seramai 3,015 penduduk telah dipindahkan ke pusat pemindahan berikutan tempat tinggal mereka di beberapa daerah di kedua-dua negeri itu ditenggelami air semalam.

Di Terengganu, seramai 1,780 penduduk daripada 384 keluarga di beberapa buah daerah dipindahkan ke tempat selamat sejak awal pagi sehingga pukul 6 petang semalam apabila rumah mereka dinaiki air.


SEBUAH keluarga terpaksa mendayung sampan untuk ke kawasan tinggi selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Kepah, Kuala Berang semalam.


Menurut jurucakap bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, jumlah mangsa banjir paling ramai dicatatkan di daerah Besut iaitu seramai 784 orang daripada 187 keluarga.

Malah di Kampung La, Hulu Besut, dua buah rumah yang didiami 11 orang dihanyutkan arus deras akibat limpahan Sungai Besut.

Kejadian pada kira-kira pukul 4 petang itu berlaku hanya beberapa jam selepas dua keluarga yang menghuni rumah terbabit dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

jongkomeng: Pada musim banjir terdapat rezeki , berbagai jenis ubi sangat laku, berbagai jenis ikan air tawar penuh di pukat.

Namun MALAM INI penyokong2 Kelantan jangan banjir airmata kat stadium Bukit Jalil. GOMO KELATE GOMO.

ORANG TUA BUAT MAKSIAT SANGAT DIBENCI ALLAH SWT

Rogol: Warga emas dipenjara 10 tahun, 6 sebatan

06/11/2009 5:14pm

KUANTAN 6 Nov. - Seorang warga emas berusia 61 tahun dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Seksyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol seorang kanak-kanak berumur 11 tahun dengan memberi upahnya RM5 hingga RM15 antara Mei tahun lalu hingga Oktober lepas.

Tertuduh, Che Hassan Che Nawang, 61, dari Kampung Jaya Gading, di sini mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain. - Utusan


jongkomeng: (Muhasabah) Bila usia makin meningkat, baki kehidupan semakin singkat....maka bertaubatlah atas dosa2 yang telah dilakukan. Dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang kepada hambaNya yang bertaubat.

Thursday 5 November 2009

INI BARU 'KERJA'

JAIS buru 20 bomoh


PERBUATAN bomoh yang melakukan perbuatan khurafat dalam urusan perubatan boleh memesongkan akidah. - Gambar hiasan



KERATAN muka depan Kosmo! semalam.


SHAH ALAM - Selain Wak Mail, bomoh yang ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada malam Selasa lalu kerana didakwa melakukan perbuatan khurafat, ada kira-kira 20 orang lagi bomoh yang diburu pihak berkuasa agama negeri ini.

Kebanyakan bomoh terbabit dikesan menawarkan pelbagai khidmat seperti menilik nombor empat angka, pelaris, pengasih untuk memikat wanita atau memajukan perniagaan dan menyelesaikan masalah rumah tangga.

Bagaimanapun, kaedah perubatan mereka berbeza-beza mengikut ajaran khurafat yang dipelajarinya, namun sebahagian besar bomoh terbabit melakukan pemujaan makhluk halus dan sihir dengan membaca mantera atau menggunakan artifak-artifak tertentu.

Senario itu bukan sahaja berlaku di kawasan luar bandar malah di bandar-bandar besar melibatkan mereka yang mempunyai pekerjaan lain pada waktu siang dan menjadi bomoh pada sebelah malam.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Mohd. Hidayat Abd. Rani berkata, ada juga di kalangan pengamal kepercayaan karut itu melibatkan golongan wanita berusia lebih 50 tahun.


jongkomeng: Syabas JAIS. Ini baru betul buat kerja biar bernyamuk, berpacat menyiasat kerja2 mungkar, kemudian dakwa mereka. Semoga 'bomoh2 khurafat' dapat dibanteras.

Wednesday 4 November 2009

Kelantan dapat wang ihsan tahun depan




KUALA LUMPUR - Jumlah wang ihsan yang akan diberikan kepada Kelantan pada tahun depan bergantung kepada kuantiti pengeluaran petroleum dan gas di kawasan perairan negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, besar kemungkinan jumlahnya tidak begitu besar berdasarkan aktiviti pengeluaran hanya daripada sebuah medan petroleum.

"Apa yang penting dan perlu disedari ialah langkah memberi wang ihsan ini oleh Kerajaan Persekutuan adalah untuk membantu rakyat Kelantan malah sebelum ini kita memperuntukkan RM7 bilion kepada negeri ini (Kelantan) dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

"Walaupun kita tidak berikan wang ihsan ini, sebenarnya Kelantan mendapat perhatian melalui peruntukan RMK-9 yang amat besar," katanya.


jongkomeng: Harapnya wang tersebut digunakan secara adil dan berhemah untuk menambahkan lagi 'kerancakan' pembangunan di Kelantan.

None Official Site Of Kelantan The Red Warriors: Final Piala Malaysia, Nik Aziz umum Kelantan cuti

None Official Site Of Kelantan The Red Warriors: Final Piala Malaysia, Nik Aziz umum Kelantan cuti

Saturday 31 October 2009

Friday 30 October 2009

PERANG WEH...

KELANTAN KATA...

Kelantan tidak rela dibaham Singa Utara

KOTA BHARU – Kelantan tidak mempunyai banyak pilihan dengan ketiadaan penjaring utamanya Indra Putra Mahayuddin dalam senarai kesebelasan pemain yang akan turun menentang Perlis malam ini.

Mungkin ia sedikit melegakan Perlis, bagaimanapun, kelibat beberapa pemain Kelantan yang lain perlu diberi perhatian oleh pengendali pasukan Singa Utara itu untuk tidak tersungkur di gelanggang sendiri.

Tanpa Indra, bebanan getir itu terarah kepada Norfarhan Mohamed dan Khalid Jamlus dalam mencari gol kemenangan ketika harapan penyokong Kelantan makin menggunung.

Norfarhan, seorang penggempur yang juga produktif, sedar bebanan yang digalasnya dan bertekad untuk mencipta sejarah bersama skuad Kijang dengan peluang beraksi di peringkat akhir kelak.

Dia berharap dapat mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan yang amat penting malam ini dan mengimpikan menjadi sebagai salah seorang penyumbang utama kemenangan.

“Saya atau sesiapa sahaja yang menjaringkan gol itu tidak penting. Bagi kami, menumpaskan Perlis pastinya satu kenangan yang tidak akan dilupakan,” jelasnya.




PERLIS KATA.....


Singa mahu baham kijang

KANGAR - Sekali pun tugas berat terpaksa dipikul Perlis ketika bertemu Kelantan di Stadium Utama Negeri di sini malam ini, namun Singa Utara tetap menyifatkan misi tunggalnya hanyalah untuk merangkul Piala Malaysia.

Walaupun pelawat dengan slogan Gomo Kelate Gomo memiliki kelebihan itu menang di tempat sendiri Selasa lalu, namun Perlis tetap dengan semangat juang 'sang singa' mahu membaham Kijang untuk ke perlawanan akhir.

Bagi Perlis, walaupun Kelantan memiliki kelebihan dua gol dalam perlawanan separuh akhir pertama, tetapi menyifatkan perjuangan masih belum selesai.


jongkomeng: Kita tunggu malam ni.....

Thursday 29 October 2009

Kes H1N1 meningkat 56 peratus di England

LONDON 30 Okt. – Kes wabak influenza A (H1N1) di England meningkat 56 peratus minggu lalu, lapor Agensi Perlindungan Kesihatan Britain, semalam.

Agensi tersebut menganggarkan sebanyak 39,000 ke 169,000 kes baru dilaporkan minggu lalu berbanding dengan 27,000 ke 115,000 kes minggu sebelumnya.

Anggaran itu berdasarkan statistik daripada lawatan doktor dan panggilan yang dibuat kepada talian selesema babi.

Menurut agensi tersebut, wabak selesema babi menjangkiti terutamanya golongan kanak-kanak di bawah umur 14 tahun.

Pengagihan vaksin Tamiflu telah ditingkatkan kepada kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun. – AP


jongkomeng: Alhamduliilah kes H1N1 di negara kita semakin reda. Ini lah berkat doa dan solat hajat pada bulan ramadhan yang penuh berkat. Namun kita jangan leka dan lupa, teruskan berdoa dan mengambil langkah2 keselamatan agar wabak H1N1 tidak terus merebak. Amin....

Kos baru untuk kenderaan lama -Hampir dua juta kenderaan lama wajib jalani pemeriksaan Puspakom


SEORANG peniaga di Kuala Terengganu, Mansor Chik mengeluh kerana terpaksa berbelanja lebih untuk pemeriksaan di Puspakom tahun depan walaupun kereta Proton Saga keluaran 1992 miliknya didakwa masih dalam keadaan baik.


KUALA LUMPUR - Berkuat kuasa 1 Januari 2010, semua kenderaan persendirian berusia 15 tahun atau lebih diwajibkan menjalani pemeriksaan komprehensif tahunan ekoran kajian semula Dasar Automotif Nasional (DAN) yang diumumkan semalam.

Ia mensyaratkan kelulusan daripada Puspakom Sdn. Bhd. sebelum pemilik boleh memperbaharui cukai jalan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, tindakan tersebut adalah langkah awal pelaksanaan sepenuhnya Dasar Tempoh Jangka Hayat (ELV).

Menurut beliau, pelan ELV akan dirangka oleh Kementerian Pengangkutan.

Apabila dilaksanakan kelak, ia dijangka membabitkan hampir dua juta kenderaan yang berusia lebih 15 tahun.

Mengikut rekod Jabatan Pengangkutan Jalan, jumlah kenderaan persendirian yang berdaftar dan berusia 10 tahun ke atas ialah sebanyak 2.7 juta buah.

"Kita telah berunding dengan pelbagai pihak dalam industri automotif sebelum menguatkuasakan peraturan ini," katanya pada sidang media yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Tan Sri Abdul Rahman Mamat semalam.


jongkomeng: Umumnya pemilik kereta 'buruk' adalah orang kampung yang layak mendapat subsidi beras dan minyak. Nampak gaya tahun depan mereka kena bawa kereta ke PUSPAKOM untuk diperiksa sebelum dibenarkan membayar cukai jalan.
Pihak PUSPAKOM pula kenalah 'timbang2' untuk membuka lebih banyak cawangan dalam menanti ketibaan kereta buruk nanti.

Tuesday 27 October 2009

Apakah standart pengukuran 'GOLONGAN SASAR'

Harga petrol ikut pasaran


PENGGUNA dijangka membayar harga petrol di pam berasaskan harga pasaran atau tanpa subsidi pada tahun depan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Harga petrol di pam kemungkinan akan berasaskan harga pasaran atau tanpa subsidi apabila sistem pengurusan subsidi petrol dilaksanakan pada tahun hadapan.

Menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, melalui kaedah itu pemberian subsidi mungkin akan lebih tersasar kepada kumpulan yang layak bagi menikmati harga petrol bersubsidi.

"Harga petrol mungkin akan ditetapkan pada kadar pasaran tetapi individu yang disasarkan akan dapat subsidi. Harga petrol tidak ada subsidi, kecuali kepada golongan sasaran.

"Sistem pengurusan itu sedang dibina dan akan dimulakan dengan petrol. Ia akan dilaksanakan antara suku pertama dan kedua tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2009 di sini semalam.

Kumpulan sasar itu kelak mungkin melibatkan golongan berpendapatan rendah atau berada pada paras gaji tertentu.

Menurut beliau, Mykad juga mungkin menjadi salah satu mekanisme bagi pemberian subsidi.

Pada pembentangan Bajet 2010 Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sistem pengurusan subsidi akan dilaksanakan pada awal 2010 menggunakan MyKad dan infrastruktur sedia ada.


jongkomeng: Orang yang berpendapaan RM 5,000.00 sebulan tanpa anak2 sudah boleh hidup dengan agak selesa. Tapi bagi kategori sama dengan anak 5-8 orang terkulat2 nyawa2 ikan. Jadi apa ukuran 'golongan sasar' yang dimaksudkan oleh pihak berkenaan.

GO KELATE GO !!

Kelantan sebelah kaki ke final


INDRA cuba melepasi halangan pemain Perlis pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi. Kelantan menang 2-0.


KELANTAN berpeluang cerah mara ke final Piala Malaysia selepas menewaskan Perlis 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.

Awal babak pertama, jentera pertaha- nan Kelantan yang diketuai oleh Naz- rulerwan Makmor terpaksa bekerja keras menahan asakan bertali arus penggempur Perlis yang diketuai oleh Niza- ruddin Yusof dan Ahmad Fakri Shaa- rani.

Perlis hampir di depan seawal minit kelima apabila gerakan solo Ahmad Fakri berjaya memperdayakan Nazrulerwan dan benteng Kelantan, namun percubaannya berjaya dihalang oleh penjaga gol Kelantan, Halim Napi.

Selepas hampir 15 minit perlawanan berlangsung, Kelantan mula mengimbangi permainan.

Peluang terbaik dimiliki oleh Khairan Eroza yang menerima hantaran silang kapten Indra Putra Mahayuddin, namun tandukannya berjaya digagalkan penjaga gol Perlis, Faizal Marlias.

Gol pertama Kelantan hadir pada minit ke-22 melalui gerakan yang bermula daripada Che Hishamuddin Hassan yang melorong bola cantik kepada Indra yang melarikan bola ke kawasan kotak penalti.

Pemain pertahanan Perlis, Mazlizam Mohamad yang ditugaskan mengawal pergerakan Indra telah menjatuhnya sehingga memaksa pengadil perlawanan Shokri Nor menghadiahkan sepakan penalti.

Indra yang diberi tanggungjawab tersebut berjaya menggamatkan stadium untuk gol pembukaan Kelantan.

Babak kedua menyaksikan para penonton dihidangkan dengan aksi membosankan apabila kedua-dua pasukan bermain dengan begitu berhati-hati .

Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan jaringan 1-0, pemain pertahanan Kelantan, Rizal Fahmi Rosid meledak gol kedua tuan rumah pada masa kecederaan.


jongkomeng: Lama doh rasonya kelate x masuk final, mudah-mudahan tahun ni berjaya masuk final sekaligus jadi JUARA !!

Monday 26 October 2009

UNTUNG SECUPAK RUGI SEGANTANG

Sungai Kerak semakin ‘sempit’


Aliran Sungai Kerak semakin sempit akibat aktiviti cari gali emas.


MARANG 26 Okt. – Satu ketika dahulu, Sungai Kerak merupakan antara sungai yang popular dengan keindahan pemandangan alam semula jadi yang terdapat di sekeliling selain kejernihan air sungainya.

Sungai tersebut juga turut menjadi kunjungan pelancong asing yang gemar menyusuri sungai untuk menikmati keindahan dan ketenangan di sepanjang sungai tersebut yang menjadi habitat pelbagai flora dan fauna.

Selain itu, keindahan pemandangan Pulau Kapas dapat dinikmati di kawasan ini apabila berada di puncak Bukit Mawi berdekatan sungai berkenaan.

Maka tidak hairanlah Sungai Kerak amat sinonim dengan lokasi pelancongan.

Namun itu semua cerita 10 tahun dahulu kerana sungai tersebut kini kian hilang dari pandangan apabila telah ‘dinodai’ setahun yang lalu dengan aktiviti besar-besaran cari gali emas di kawasan berkenaan.

Lebih memburukkan keadaan, kawasan di sekeliling sungai menjadi seperti padang jarak padang tekukur apabila longgokan tanah serta tunggul-tunggul kayu, kering berada di merata tempat.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi tersebut baru-baru ini mendapati aliran Sungai Kerak terjejas teruk akibat daripada kerakusan aktiviti cari gali emas berkenaan.

Difahamkan, aktiviti yang telah berlarutan sejak setahun itu dijalankan tanpa pemantauan pihak berwajib seperti Majlis Daerah Marang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Akibatnya, hampir keseluruhan sungai menjadi cetek dan berlumpur akibat aktiviti berkenaan sehingga menjejaskan ekosistem di sekeliling kawasan tersebut.

Namun apa yang lebih memeranjatkan, sungai telah ditutupi dengan tanah sehingga menyempitkan aliran sungai berkenaan yang mengalirkan air ke Sungai Marang.

Terdapat lebih lima buah kolam takungan air di kawasan lombong emas berkenaan yang rata-ratanya tidak lagi digunakan memandangkan ia semakin kering.

Bukan itu sahaja, hampir keseluruhan tumbuhan seperti pokok nipah dan pokok bakau yang tumbuh subur di sepanjang sungai berkenaan mati akibat keadaan air sungai yang cetek serta aktiviti `menggondolkan’ tanaman itu.

Menurut maklumat penduduk, hampir lebih 50 keluarga terjejas akibat kerja-kerja cari gali emas berkenaan terutamanya pada musim hujan.

Ini kerana menurut mereka, bekas lombong yang digali tersebut bakal menampung air hujan dan melimpah dengan deras ke sungai sehingga menyebabkan jalan serta rumah penduduk turut dinaiki air.

Difahamkan, disebabkan aktiviti cari gali tersebut tidak mendatangkan banyak keuntungan, Utusan Malaysia dimaklumkan mereka akan menjual pasir yang telah digali tersebut.

Namun sejauh mana kebenarannya, hanya mereka yang berwajib sahaja boleh menjawab persoalan berkenaan.

Ada baiknya, pihak majlis dan JAS turun padang melihat sendiri dengan lebih dekat kemusnahan Sungai Kerak yang semakin hilang serinya akibat ketamakan manusia tanpa menghiraukan alam semula jadi.


jongkomeng: Alam semulajadi yang hilang tak akan dpt diganti... Demi mengejar sedikit keuntungan, anak cucu hilang khazanah yang berharga.