SELAMAT HARI RAYA 'EIDUL ADHA'
2.5 juta jemaah haji wukuf
ARAFAH - Sejumlah jemaah haji Iran mengadakan demonstrasi aman semalam ketika hampir 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia berwukuf di Arafah.
Langsung tidak menghiraukan amaran pihak berkuasa Arab Saudi yang melarang aktiviti politik, jemaah-jemaah itu melaungkan slogan ke arah penyatuan ummah dan tentangan terhadap musuh Islam di kem mereka di sini, pinggir Mekah.
"Hapuskan Amerika Syarikat (AS)!, hapuskan Israel!," laung beribu-ribu jemaah Iran di dalam khemah-khemah mereka di sini.
Namun, bantahan yang dipimpin oleh Ayatollah Muhammed Rishari iaitu wakil pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei itu berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini atau campur tangan pihak berkuasa.
"Kita memerlukan semua orang Islam sama ada Sunnah atau Syiah bersatu untuk menghadapi isu-isu penting seperti penaklukan Palestin, krisis Iraq, penaklukan Afghanistan dan perang saudara di Yemen," katanya.
Pada 1987, polis Arab Saudi cuba mematahkan satu bantahan oleh jemaah haji Iran yang mencetuskan rusuhan menyebabkan 402 orang terkorban termasuk 275 jemaah haji Iran.
Sementara itu, jemaah haji tiba dari Mekah dan Mina membanjiri Arafah menjelang subuh untuk berwukuf di kawasan Nabi Muhammad menyampaikan khutbah terakhir pada hari tersebut 1,377 tahun lalu.
"Saya amat gembira berada di Arafah. Kerana Nabi Muhammad bercakap dengan Allah dari tempat ini. Inilah tempat paling suci," kata seorang jemaah Maghribi, Fatima.
Seorang jemaah haji berketurunan Palestin dari Israel, Faisal, 52, pula berharap umat Islam akan bersatu untuk membebaskan masjid Al-Aqsa dan Palestin.
Sukarelawan-sukarelawan turut mengagihkan beribu-ribu makanan percuma di Arafah dan kawasan sekitarnya hasil derma beberapa badan amal dan agensi perniagaan Arab Saudi.
Cuaca juga semakin baik selepas hujan lebat melanda pada hari pertama ibadat haji yang menyebabkan ramai jemaah haji terkandas di jalan-jalan raya serta kesesakan di antara Mekah dan Arafat.
Kesan jangkitan selesema babi pula kekal rendah apabila cuma empat jemaah haji meninggal dunia akibat virus influenza H1N1 di beberapa buah hospital di Arab Saudi sepanjang minggu lalu. - AFP
No comments:
Post a Comment