Sunday 12 December 2010

Jual murah pun boleh untung


ORANG ramai tidak putus berkunjung ke kedai milik Sinah untuk membeli pelbagai jenis makanan dan minuman
di Kampung Losong Atap Zin, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Percaya atau tidak, segelas teh ‘O’ yang biasanya dijual pada harga 80 sen secawan hanya dijual pada harga 30 sen manakala milo ais yang biasanya dijual pada harga RM1.50 dijual hanya 80 sen segelas oleh seorang peniaga di Kampung Losong Atap Zin di sini.

Menariknya, peniaga tersebut, Sinah Sulaiman (gambar), 50, bertindak menjual semua jenis minuman di kedainya pada harga di bawah RM1.

Menurut Sinah, harga minuman yang dijual di kedainya tidak pernah berubah sejak 20 tahun lalu walaupun harga beberapa bahan mentah seperti gula dan susu telah beberapa kali naik dalam tempoh tersebut.

“Selain minuman, saya juga menjual lebih 50 jenis makanan pada harga murah. Sebagai contoh, karipap dijual RM1 untuk lima biji sedangkan di tempat-tempat lain mungkin tiga biji kuih berharga RM1,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sinah memberitahu, walaupun dia menawarkan harga minuman dan makanan pada harga murah, dia masih mampu meraih keuntungan dan membayar gaji empat pekerjanya.


jongkomeng: Bekerja dengan ikhlas dan jujur, hasilnya diberkati Allah.

Wednesday 1 December 2010

Bank 'perang' tarik pelanggan baru


KEGILAAN berbelanja tanpa memikirkan kemampuan sebenar kewangan menyebabkan pengguna terperangkap dengan hutang kad kredit. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Sebahagian besar bank kini melancarkan perang besar-besaran untuk menarik pelanggan baru selepas berjuta-juta pemegang kredit menghentikan penggunaan kad mereka disebabkan pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak RM50 setahun untuk setiap kad kredit utama dan RM25 bagi setiap kad kredit tambahan.

Menurut sumber industri, langkah tersebut terpaksa dilakukan memandangkan berlaku kemerosotan mendadak jumlah kad kredit dalam industri iaitu sebanyak 18 peratus.

jongkomeng: kuasa pengguna.......

Sunday 28 November 2010

Berjudi RM7 juta sehari

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my




--------------------------------------------------------------------------------


JOHOR BAHRU - Kerajaan disaran berbuat sesuatu bagi menghalang rakyat negara ini daripada terus berjudi di sebuah kasino di Singapura sehingga mencecah RM7 juta sehari.

Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, Michael Tay Chee Boon berkata, jumlah tersebut adalah hasil perbelanjaan 3,000 rakyat Malaysia yang ke kasino tersebut setiap hari.

"Mereka berbelanja sekurang-kurangnya RM2,400 seorang sehari dan jumlah tersebut akan menjadi RM210 juta sebulan.

"Perkara itu dibahaskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Johor Ke-12 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pulai, Datuk Tee Siew Kong baru-baru ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Pelangi di sini semalam.

Menurut Chee Boon, apa yang membimbangkan, kegiatan pinjaman ah long pula semakin menjadi-jadi sejak kasino tersebut mula beroperasi pada April lalu.

"Kumpulan ah long semakin banyak di Johor Bahru dan sasaran mereka adalah untuk golongan yang gemar berjudi.


jongkomeng: minum arak, berjudi, menilik nasib......perkara keji yang menjadi amalan syaitan......

Wednesday 20 October 2010

Bergaduh adik-beradik: Kereta, dua rumah terbakar




DUA buah rumah yang hangus ekoran pergaduhan dua beradik di Kampung Seberang Perak, Alor Setar kelmarin.


ALOR SETAR - Puncanya masalah kewangan. Rentetan itu, dua beradik lelaki bergaduh sehingga rumah mereka dan sebuah rumah jiran hangus dalam kejadian di Kampung Seberang Perak dekat sini kelmarin.

Turut musnah dalam kejadian pada pukul 8 malam itu ialah sebuah kereta milik ahli keluarga dua beradik itu.

Pergaduhan itu didakwa bermula sejak pukul 4 petang pada hari sama. Ia didakwa dimulakan oleh si abang yang dipercayai menghidap sakit mental. Dia bergaduh dengan adiknya.

Dalam perang mulut yang berlarutan itu, si abang, Tan Chee Leng, 32, didakwa mengugut untuk membakar rumah dan juga dirinya sendiri.

Ibu mereka, Khua Ai Git, 56, berkata, dia yang risau melihat pergaduhan itu yang tiada tanda-tanda akan reda telah membuat laporan polis.

"Saya terpaksa buat laporan di balai polis kerana saya bimbang dengan sikap Chee Leng yang ada sakit mental. Saya risau Chee Leng akan buat seperti yang dia ugut (bakar rumah).

"Selepas buat laporan, anggota polis ada pergi rumah saya dan saya terus berada di balai polis kerana takut untuk pulang ke rumah," katanya.

Namun pada pukul 8 malam, Ai Git berkata, dia dihubungi adiknya yang memberitahu rumahnya dan sebuah rumah jiran sudah terbakar.

"Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang kerana semasa saya sampai di rumah, api sudah marak dan sebuah kereta di hadapan rumah saya juga terbakar," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Idris Mydin berkata, pihaknya menjumpai dua botol cecair yang tidak berlabel di tempat kejadian.

Beliau berkata, bomba menghantar dua buah jentera berserta 24 anggota untuk memadam kebakaran dengan turut dibantu pasukan bomba sukarela.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab mengesahkan bahawa selepas menerima laporan daripada ibu suspek, anggota polis telah dihantar ke rumah tersebut untuk memujuk suspek.

"Semasa polis sampai di rumah itu, suspek sedang memegang sebilah parang, pemetik api dan juga jarum suntikan. Dekat kakinya terdapat satu tin minyak dan juga sebotol racun.

"Semasa polis sedang memujuk suspek, ada seorang jiran datang dan bercakap sesuatu kepada suspek menyebabkan suspek naik angin dan menolak tin minyak tersebut dan terus menyalakan api menyebabkan api marak dengan cepat," katanya.

Beliau berkata, selepas membakar rumah, suspek yang melecur mendapatkan rawatan sendiri di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"Polis yang mendapat maklumat mengenai suspek itu telah menahannya di HSB," kata Abdul Ghafar.

Tambah beliau, suspek itu kini dirawat di HSB kerana melecur kira-kira 20 peratus tubuh badannya.

Difahamkan, suspek sebelum kejadian itu telah membeli petrol kononnya untuk diisi dalam kereta.

Jiran-jiran mendakwa suspek dan adik lelakinya itu memang kerap bergaduh.


jongkomeng: syaitan memang menyukai orang yang bergaduh dan marah, dengan senang2 je syaitan mempengaruhi mereka supaya melakukan 'kerosakan'.

Thursday 14 October 2010

Tahniah untuk Sultan Kelantan


SULTAN Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra (kiri) beriringan dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail masuk ke dewan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-222 di Istana Negara semalam.


KUALA LUMPUR - Majlis Raja-Raja yang bermesyuarat selama dua hari di Istana Negara di sini bermula kelmarin mengalu-alukan keberangkatan hadir Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai anggota penuh Majlis itu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mempengerusikan mesyuarat ke-222 itu bertitah bahawa Majlis itu mendoakan agar Negeri Kelantan Darul Naim terus aman dan tenteram serta Sultan Muhammad V dapat memerintah dengan adil dan saksama agar negeri Kelantan menuju kejayaan, dan baginda sentiasa dikasihi rakyat.

"Paduka Ayahanda bagi pihak diri sendiri dan juga Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Maha Mulia Seri Paduka Anakanda atas pemasyhuran Anakanda," titah Sultan Sharafuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja semalam.


jongkomeng: Daulat Tuanku...

Friday 1 October 2010

Eye On Malaysia dipindah keluar


BEBERAPA pekerja sibuk menanggalkan komponen Eye On Malaysia di Melaka semalam.


MELAKA - Setelah hampir sembilan bulan ditutup, akhirnya roda gergasi Eye On Malaysia dipindah keluar dari sini semalam.

Pemindahan itu mengakhiri kemelut yang melanda buaian gergasi itu apabila kerajaan negeri berusaha mendapatkan perintah mahkamah bagi memperoleh kebenaran untuk memaksa pemilik asal, Fitraco NV mengeluarkan segera buaian gergasi itu.

Langkah mendapatkan perintah mahkamah itu diambil kerana kerajaan negeri bercadang menempatkan roda gergasi lain bagi menggantikan roda gergasi sedia ada yang tidak lagi beroperasi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berasa lega apabila roda gergasi itu akhirnya dipindah keluar dari negeri itu.

"Saya bersyukur segala kemelut sudah berakhir. Buaian ini tidak akan wujud lagi di tapak asalnya dan ini juga membolehkan kita membeli buaian yang hampir serupa dari China," katanya selepas melancarkan Bas Coaster Panorama dan Sejuta Poskad Melaka Maju 2010 di Melaka Sentral di sini.

jongkomeng: dulu dipuja kini dihina.........

Monday 27 September 2010

Filem animasi Jepun bahaya


ANTARA animasi Jepun yang dikatakan boleh merosakkan minda kanak-kanak.


KOTA BHARU - Kandungan filem animasi dari Jepun dikenal pasti sebagai bahan tontonan paling bahaya untuk kanak-kanak di negara ini kerana mempunyai unsur negatif yang boleh merosakkan minda mereka.

Pengerusi Lembaga Penapis Filem (LPF), Datuk Mohd. Hussain Shafie berkata, ramai masyarakat di negara ini tidak mengetahui bahaya sesetengah cerita filem animasi kerana kurang peka mengenai kandungan cerita berkenaan dan beranggapan ia hanya sebuah cerita rekaan seperti kartun yang sesuai untuk kanak-kanak.

"Banyak cerita animasi dari Jepun telah kita haramkan kerana walaupun ia merupakan cerita animasi yang dikatakan sesuai untuk golongan kanak-kanak tetapi ia tetap lebih kepada golongan dewasa.

"Ada antara kandungan cerita itu memaparkan animasi wanita dengan pakaian singkat, membuka dada dan beberapa adegan yang tidak elok untuk ditontoni oleh golongan kanak-kanak," katanya selepas Majlis Dialog Bersama Setiausaha Bahagian Kawalan Penapisan Filem Dan Penguatkuasaan Cawangan Kelantan di sini semalam.


jongkomeng: sepatutnya TV di malaysia tidak menyiarkan "kartun"2 tersebut.......

Wednesday 8 September 2010

SALAM EIDUL FITRI


Ahli falak yakin raya hari Jumaat

KUALA LUMPUR - Berdasarkan data dan kajian ahli falak, Hari Raya Aidilfitri tahun ini kemungkinan besar disambut pada Jumaat ini.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada perkenan Majlis Raja-Raja.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Falak, Bahagian Penerangan dan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Che Alias Che Ismail berkata, andaian itu dibuat kerana penentuan awal Syawal 1431H menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan).

"Berdasarkan faktor itu kemungkinan anak bulan tidak akan nampak berdasarkan data yang telah dibuat sebelum ini oleh ahli-ahli falak,'' jelasnya ketika dihubungi di sini semalam.

kosmo online

Sunday 5 September 2010

Iklan raya TV3 ditarik balik


BABAK kanak-kanak menaiki beca terbang turut diselitkan pada iklan Aidilfitri yang ditarik balik TV3 serta-merta berkuat kuasa semalam.


KUALA LUMPUR - Ekoran penyiaran iklan Aidilfitri yang menyentuh sensitiviti penonton beragama Islam di negara ini, TV3 semalam bertindak menarik balik penyiaran iklan tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Difahamkan iklan Sinari Lebaran itu mula disiarkan pada 2 September lalu.

Antara babak yang dianggap kontroversi ialah kanak-kanak menaiki beca terbang yang mirip kenderaan digunakan oleh Santa Claus ketika sambutan Hari Natal.

Malah ada juga babak yang menunjukkan kemunculan cahaya pelita di celah-celah kelopak bunga yang berkembang kebiasaannya dikaitkan dengan perayaan Deepavali.

Iklan yang berdurasi kira-kira satu minit itu turut menyelitkan unsur-unsur khayalan menunjukkan kanak-kanak dibawa terbang merentasi beberapa mercu tanda terkenal negara seperti Menara Berkembar Petronas, jambatan mirip Jambatan Pulau Pinang dan Menara Condong Teluk Intan.

Penyiaran iklan TV3 tersebut didakwa menimbulkan impak di luar konteks sebenar sambutan hari lebaran yang bukan dikaitkan dengan hiburan semata-mata.

jongkomeng: Pembikin filem, drama atau iklan patut membuat rujukan (kepada orang yang arif agama) terlebih dahulu sebelum menghasilkan sesuatu 'karya'.

Monday 30 August 2010

Wednesday 25 August 2010

MAIN MERCUN SAMBUT RAYA BUKAN BUDAYA ISLAM

Hairan betul, bila tiba musim raya maka banyak mercun dijual. Walaupun kerajaan mengharamkan permainan mercun, permintaan peminat mercun sangat tinggi, hinggakan muncul usahawan mercun haram.

Main mercun tidak selari dengan syariat Islam, pertama kerana mambazir, kedua membahayakan..ketiga mengganggu ketenteraman awam, dan yang penting lagi ia bukan sunnah.

Yang membuatkan kita geram, para ibubapa sengaja mengajar anak2 kecil main mercun dan bunga api, bila budak2 ni besar apa lagi....gila main mercun !!!

BERITA GEMBIRA UTK KAKITANGAN AWAM

Kakitangan Awam sokongan hingga gred 54 dapat duit raya RM500.00 sebelum 1Syawal.

Tuesday 24 August 2010

Takdir budak disembelih bapa



ANGGOTA polis menjalankan siasatan di rumah tempat berlakunya kejadian seorang bapa menyembelih anaknya, Mohd. Adam (gambar kecil) di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Luluh hati seorang ibu apabila melihat suaminya yang mengalami masalah mental tergamak menyembelih anak lelaki kesayangan mereka di dalam bilik air walaupun dia merayu berkali-kali supaya si suami tidak meneruskan niatnya dalam satu kejadian menyayat hati di Kampung Sungai Budor di sini semalam.

Mohd. Adam Muszhaffar Muhaimin, 3, meninggal dunia selepas lehernya hampir putus disembelih oleh bapanya, Muhaimin Sautar, 33, dengan menggunakan sebilah pisau dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu.

Selepas menyembelih anaknya yang memakai jersi tertera nama pemain bola sepak Rusia, Andrei Arshavin yang kini mewakili pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, Arsenal, Muhaimin yang merupakan bekas pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah di sini cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya tetapi tindakan itu gagal apabila dia diselamatkan penduduk.

Difahamkan, Muhaimin bertindak demikian selepas dia gagal mengawal diri apabila dia didakwa telah lama tidak memakan ubat sakit mental.

Jiran-jirannya kemudian bertindak menghubungi polis sebelum dia dibawa oleh pasukan keselamatan itu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Mangsa merupakan anak lelaki tunggal daripada tiga beradik. Dia mempunyai seorang kakak, Shafiqah, 8, dan seorang adik, Siti Aishah, 2.

Isteri Muhaimin, Nik Suzila Nik Hashim, 32, berkata, sebelum kejadian, suaminya mengadu panas badan dan dia kemudian duduk di bawah rumah berhampiran dengan bilik air rumah mereka.

Menurutnya, tidak lama kemudian dia mendengar Mohd. Adam menjerit lalu dia bergegas ke bilik air.

“Apabila saya sampai, luluh hati saya tatkala melihat suami saya bersungguh-sungguh menyembelih Mohd. Adam. Ketika itu suami berada di atas Mohd. Adam tanpa bersuara walaupun saya memintanya supaya berhenti.

“Saya hanya mampu melihat darah membuak-buak mengalir ke lantai sehinggalah Mohd. Adam terkulai kaku dan tidak lagi bernyawa,” ceritanya ketika ditemui semalam.


jongkomeng: Kes2 macam ni dah banyak kali berlaku, tapi kurang diambil pengajaran. Yang eloknya bila seseorang itu disahkan oleh doktor 'ada sakit', maka tempatkan mereka ditempat yang khusus. Bila kes2 begini berlaku, nak kata apa????

Monday 23 August 2010

Toyota Wish, Myvi guru terbakar


ANGGOTA forensik polis memeriksa Toyota Wish dan Perodua Myvi yang terbakar di Kampung Jelawat, Bachok semalam.


BACHOK – Seorang guru, Mazuki Ahmad Fatani, 35, kerugian hampir RM200,000 selepas dua buah kenderaan miliknya yang diletakkan di pekarangan rumahnya terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat di Kampung Jelawat di sini pagi semalam.

Kenderaan yang mula-mula terbakar ialah jenis Toyota Wish dan kemudian merebak ke kereta Perodua Myvi yang diletakkan bersebelahan.

Menurut ibu guru tersebut, Nor Asikin Awang, 53, berkata, kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu disedari oleh salah seorang anaknya, Siti Nur Farhana Ahmad Fatani, 23, selepas terdengar bunyi letupan yang agak kuat di luar rumahnya.

Katanya, selepas terdengar letupan itu, Siti Nur Farhana mengejutkannya yang pada ketika itu tidur di bilik berasingan dan memaklumkan bunyi letupan tersebut.

“Pada awalnya Siti Nur Farhana menyangka bunyi mercun tetapi selepas melihat melalui tingkap didapati kereta yang terbakar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

jongkomeng: Kerjaya guru nampak 'senang', tapi sebenarnya banyak cabaran....nak kena jawab dgn orang atasan kalau prestasi pelajar merosot, nak kena jawab dgn ibubapa bila ada hal2 disiplin, murid2 buat 'hal' diluar sekolah pun guru nak kena jawab juga.......

Thursday 12 August 2010

Hotel degil masih guna bufet Ramadan


ANTARA brosur promosi berbuka puasa di sebuah hotel di Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR – Walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah melarang hotel yang tidak mendapat sijil halal daripada menggunakan nama bufet Ramadan sebagai promosi pakej berbuka puasa namun masih ramai yang berdegil.

Tinjauan Kosmo! di sekitar ibu negara mendapati masih ada hotel yang tidak mendapat sijil dapur halal namun tetap berani menggunakan istilah bufet Ramadan.

Ketika ditanya kepada kakitangan hadapan hotel tersebut, mereka memberi alasan segala sumber makanan di hotel mereka adalah halal dan tidak ada salah untuk menggunakan perkataan bufet Ramadan.

Bagaimanapun, pemerhatian mendapati tidak ada logo halal ditampal pada poster dan brosur promosi Ramadan berkenaan.

Semalam, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menasihatkan pengusaha hotel yang belum memiliki sijil halal supaya tidak menyalahgunakan istilah bufet Ramadan kerana mereka berisiko diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

Pada 7 Ogos lalu, Jakim telah memberi amaran kepada pengusaha hotel yang tidak memiliki sijil perakuan halal agensi itu dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bahawa mereka dilarang menggunakan istilah bufet Ramadan kerana boleh mengelirukan umat Islam.

Menurut Jakim, hotel yang memiliki sijil perakuan halal daripada Jakim atau JAIN sahaja boleh menggunakan istilah tersebut.

Sementara itu, ada juga sesetengah pengusaha hotel yang menyedari larangan Jakim itu mengambil pendekatan menukar perkataan lain bagi menarik pengunjung dalam promosi pakej berbuka puasa mereka.

jongkomeng:susahnya nak makan di hotel dalam negara Islam........

Wednesday 11 August 2010

Pesalah trafik selamat senarai hitam hingga 2011


PESALAH trafik yang sebelum ini disenarai hitam kerana gagal melunaskan saman kini boleh memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu sehingga 2011. - Gambar hiasan


PUTRAJAYA - Kabinet semalam memutuskan untuk menarik balik tindakan menyenarai hitam para pemandu bagi kesalahan trafik buat sementara waktu, bagi membolehkan orang ramai memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan bermula semalam hingga 28 Februari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, keputusan itu diambil setelah mendengar alasan, aduan dan rayuan orang ramai dan ahli jemaah menteri.

Tempoh itu diambil kira berikutan musim perayaan bermula dari sambutan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Hari Krismas dan Tahun Baru Cina.

"Namun tidak ada diskaun akan diberi kepada notis-notis sedia ada yang masih belum diselesaikan dan notis itu juga tidak akan dihapus kira.

"Pada masa yang sama, mereka yang disenarai hitam atau yang mempunyai notis-notis yang perlu dijelaskan, mereka tetap perlu menjelaskannya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet di kementeriannya di sini.

Menurut beliau, selepas 28 Februari 2011, tindakan senarai hitam itu akan dilaksanakan semula.


jongkomeng: 'tembak-tembak'...lepas tu....suruh yang kena 'tembak' bayar, tak bayar..kena senarai hitam.......

Tuesday 10 August 2010

ESOK PUASA

ESOK, RABU 11 OGOS 2010 BERSAMAAN 1 RAMADHAN 1431H UMAT ISLAM DI MALAYSIA MULA BERPUASA

Friday 30 July 2010

Asyraf muncul juara Imam Muda



MUHAMMAD ASYRAF (kiri) dinobatkan sebagai juara Imam Muda oleh Hassan pada malam kemuncak program realiti dakwah di Kuala Lumpur malam tadi.


KUALA LUMPUR - Menepati ramalan, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, 26, diumumkan sebagai juara pada malam kemuncak program realiti dakwah, Imam Muda yang berlangsung di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini semalam.

Anak kelahiran Sungai Gelugor, Pulau Pinang itu berjaya menewaskan seorang lagi peserta akhir, Hizbur Rahman, 27, selepas bersaing selama 10 minggu termasuk dengan lapan individu lain pada program diilhamkan oleh Astro dengan kerjasama Jawi.

Kemenangan graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Usuluddin dan Fiqah dari Universiti Malaya itu membolehkan beliau menerima insentif berbentuk tawaran Imam Ratib secara kontrak di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan, trofi Imam Muda, sijil penyertaan dan kad pentauliahan diiktiraf oleh Jawi.

Tidak ketinggalan, Asyraf membawa pulang hadiah melanjutkan pengajian tanpa had di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Mesir, sebuah Proton Exora, pakej mengerjakan haji dan umrah, percutian ke Bandung, Indonesia, wang tunai berjumlah RM20,000, iPhone 3G dan komputer riba Apple MacBook Pro.


jongkomeng: Tentu ramai yang tertunggu2 Imam Muda 2...........

Wednesday 21 July 2010

Banyak negara sudah tapis Internet



BAGI pengguna Internet di sesetengah negara, akses kepada laman web tertentu termasuk lucah sudah disekat.


KUALA LUMPUR - Banyak kerajaan sudah melaksanakan sekatan terhadap Internet dengan menapis akses pengguna kepada laman-laman web lucah serta berkaitan dengan politik dan agama.

Sebuah organisasi bukan kerajaan yang berpangkalan di Perancis, Reporters Without Borders (RWB) menyenaraikan 12 negara yang sudah melaksanakan sekatan itu sebagai China, Myanmar, Korea Utara, Vietnam, Mesir, Iran, Syria, Saudi Arabia, Turkmenistan, Uzbekistan, Cuba dan Tunisia.

RWB dalam laporan mereka menjelaskan, kerajaan negara-negara terbabit secara sistematik menyekat aliran maklumat menerusi Internet jika ia didapati boleh menjejaskan kepentingan negara, politik, agama dan moral rakyat.

Agensi berita Reuters pula melaporkan, Jerman juga tahun lalu telah meluluskan peraturan menyekat akses kepada laman-laman web lucah membabitkan kanak-kanak selepas mencontohi model yang dilaksanakan di Britain, Itali serta negara-negara Scandinavia.

jongkomeng: Malaysia juga amat patut menyekat laman-laman web lucah yang langsung tidak membawa kebaikan kepada masyarakat

Thursday 15 July 2010

Harga baru Gula (RM1.90), RON 95 (RM1.85)
Oleh Johari Ibrahim

2010/07/16


Pelarasan subsidi kurangkan perbelanjaan RM750 juta tahun ini

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam mengumumkan penyelarasan harga petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula berkuat kuasa hari ini sebagai langkah pertama Program Rasionalisasi Subsidi.

Penyelarasan semula harga barang itu membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta tahun ini dan mengimbangi defisit kewangan negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat ACPerdana Menteri, harga RON 95 dan diesel diselaraskan sebanyak lima sen seliter bagi semua sektor, LPG (10 sen sekilogram), gula (25 sen sekilogram), manakala petrol premium RON 97 akan diapung secara terkawal.


jongkomeng: yang ditunngu dah tiba..........


Thursday 8 July 2010

Pendidikan Islam, Moral tak perlu jadi subjek teras UPSR

Kementerian Pelajaran berpendapat subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral tidak perlu dijadikan mata pelajaran teras dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi meningkatkan sahsiah dan jati diri murid.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ini kerana langkah sedemikian tidak menjamin penghayatan pada kalangan murid untuk menjadi amalan mereka.

"Peningkatan jati diri dan sahsiah murid adalah lebih berkesan melalui proses pendidikan dan penghayatan nilai, bukan dengan cara memasukkan mata pelajaran berkenaan dalam peperiksaan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang) yang berbentuk cadangan meminta kementerian memasukkan kedua-dua subjek itu di dalam UPSR bagi meningkatkan lagi jati diri dan sahsiah murid selaku pewaris generasi.

Mohd Puad berkata, meskipun tidak dijadikan subjek UPSR, murid Islam tetap diwajibkan mengikuti Pendidikan Islam, sementara bukan Islam mempelajari Pendidikan Moral.

"Mata pelajaran tersebut ditaksir melalui Penilaian Berasaskan Sekolah dalam bentuk formatif semasa dan sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran," katanya.

Subjek Pendidikan Islam ditaksir sebagai Penilaian Asas Fardhu Ain (PAFA) dan dicatatkan pada slip keputusan UPSR, manakala pentaksiran Pendidikan Moral dibuat oleh guru dan keputusan direkodkan dalam buku rekod kemajuan murid.

- Bernama


jongkomeng: Oleh kerana tiada dalam peperiksaan maka Subjek Pendidikan Islam sering 'ditiadakan' menjelang UPSR.

Kita bersungguh2 menghantar dan menjemput anak2 dari kelas tuisyen demi untuk 5A dalam UPSR. Malangnya kita tidak sanggup 'berhabis' untuk kelas Fardhu Ain dan AlQuran untuk anak2.......

Saturday 26 June 2010

Maut diserbu pencegah maksiat


HOTEL tempat seorang anggota polis dipercayai terjatuh ketika cuba mengelak serbuan anggota JHEAIK di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mati selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah hotel di bandar ini dipercayai ketika cuba mengelak daripada dicekup sepasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIK) dalam kejadian awal pagi semalam.

Anggota polis terbabit disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas dipercayai mengalami pendarahan teruk di kepala.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi, ketika mangsa dipercayai berada dalam sebuah bilik di hotel tersebut sebelum diserbu oleh penguat kuasa agama.

Sumber hotel memberitahu, sebelum kejadian, hotel tersebut telah didatangi sepasukan pegawai JHEAIK yang meminta kebenaran untuk menjalankan pemeriksaan dan ketika serbuan di salah sebuah bilik di tingkat tiga didapati seorang wanita duduk berseorangan di bilik berkenaan.

Beberapa minit kemudian, menurutnya, seorang peniaga bersebelahan hotel itu memaklumkan terdapat seorang lelaki terjatuh dari bangunan hotel dalam keadaan berlumuran darah.

"Ketika ditemui, lelaki itu mengerang kesakitan dan kakitangan hotel kemudian menghubungi ambulans sebelum lelaki terbabit dibawa ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di sini semalam.


jongkomeng: Di bulan Rejab ni moleknya kita pakat2 tingkatkan amal ibadat, Sementara bulan Ramadhan tiba tak berapa lama lagi. Elakan maksiat............

Sunday 20 June 2010

UPSR, PMR mungkin dimansuh

MUAR - Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

"Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti (contohnya) di peringkat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sahaja," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh semalam.


jongkomeng: Apa yang berlaku sekarang pihak JPN mahukan 'sukatan' dihabiskan, faham tak faham nombor 2. Manakala pihak 'penaziran' mahukan 'kefahaman' sukatan habis tak habis nombor 2. Setakat ini JPN yang menang kerana guru2 sering diwar-warkan agar murid2 mendapat 'A' yang banyak dalam peperiksaan. Maka guru2 pun pulun habis untuk memastikan murid mendapat banyak 'A', untuk mengelak daripada di 'kata' dalam mesyuarat dan sebagainya.

Jadi, penilaian terhadap sesuatu pembelajaran tidak boleh dihapuskan begitu sahaja, pembelajaran tanpa matlamat lulus peperiksaan akan 'menghasilkan pembelajaran' yang tidak bersungguh-sungguh

Saturday 12 June 2010

Korea selatan ada kelas




PORT ELIZABETH – Korea Selatan tampil dalam kelas tersendiri.Semalam mereka mencatat kemenangan pertama pada kempen Piala Dunia 2010 dengan mengalahkan Greece 2-0 dalam aksi Kumpulan B.

Ini sekali gus membuka peluang untuk mereka mara ke pusingan kalah mati.Korea Selatan yang pernah mara ke separuh akhir pada edisi 2002, jelas terlalu hebat buat juara Eropah 2004, Greece yang ditewaskan hasil jaringan Lee Jung-soo dan kapten, Park Ji-sung.

Pasukan dari Asia itu memulakan aksi Kumpulan B dengan mendahului seawal minit ketujuh apabila sepakan percuma pemain Celtic, Ki Sung-yueng berjaya disambar Jung-soo untuk meledak gol pertama.

Dengan reputasi sebagai juara Euro 2004, Greece jelas tersentak dengan gol tersebut, namun masih gagal memberi tentangan kepada Korea Selatan.

Jurulatih Greece, Otto Rehhagel juga tidak senang duduk sepanjang permainan itu berlangsung di Stadium Nelson Mandela Bay.

Greece yang tidak pernah menjaringkan sebarang gol dalam kempen Piala Dunia, terus menderita hasil jaringan Ji-sung pada minit ke-52.

Pemain tengah Manchester United itu berjaya menewaskan dua pertahanan Greece, Avraam Papadopoulos dan Loukas Vyntra sebelum melepaskan rembatan melepasi Tzorvas, sekali gus menggamatkan suasana stadium yang dipenuhi penyokong Korea Selatan. – AFP

jongkomeng: Malaysia bila agaknya ???

Monday 7 June 2010

Penampilan baru MyVi, ViVa
Oleh Ahmad Farizal Hajat

2010/06/07

WAJAH baru MyVi penuhi cita rasa golongan muda.
WAJAH baru MyVi penuhi cita rasa golongan muda.
Perodua rancang lancar model diperbaharui pada separuh kedua tahun ini

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan melancarkan dua model yang diperbaharui pada separuh kedua tahun ini untuk memberikan lebih kesegaran dan mempelbagaikan lagi varian kereta kompak keluarannya di pasaran.

Menurut sumber, dua model diperbaharui itu adalah MyVi dan ViVa yang kini adalah model paling laris di Malaysia dengan jualan masing-masing sebanyak 7,048 unit dan 6,671 unit pada Mac lalu.


jongkomeng: Model baru biasanya diiringi pula dengan harga baru, tapi kalau dah suka apa-apa pun tak kisah....

Sunday 30 May 2010

KG BARU OH KG BARU....

Penduduk bantah bagi kepada bukan Melayu


CADANGAN pembangunan Kampung Baru dibuka kepada bukan Melayu dan pelabur asing dibantah oleh penduduk kampung itu.


KUALA LUMPUR - "Jangankan 40 peratus, seinci tanah Kampung Baru pun akan kami pertahankan daripada statusnya diberi kepada bukan Melayu."

Demikian tegas sebilangan besar anak jati kampung tradisional Melayu itu yang terletak di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur ketika ditanya mengenai cadangan supaya 40 peratus pemilikan hartanah kampung tersebut dijual kepada golongan bukan Melayu.

Mereka berpendapat, biar pun cadangan itu bertujuan untuk pembangunan dan pemodenan namun, bagi mereka, Kampung Baru merupakan satu-satunya rizab Melayu yang tidak wajar dikorbankan.

Ahmad Sabir Mukisan, 34, yang terkejut dengan cadangan itu berkata, ia satu-satunya tanah rizab Melayu di ibu negara yang tidak wajar diganggu.

"Kalau tanah ini mahu diusik, mana lagi orang Melayu hendak pergi," katanya yang lebih 30 tahun menetap di situ.

Rakannya, Mohd. Fazli Talib, 42, yang memiliki sebuah bengkel motosikal pula menegaskan, cadangan itu seolah-olah isyarat untuk mengusir penduduk keluar dari kawasan itu secara perlahan-lahan.

"Mula-mula hanya 40 peratus tetapi perlahan-lahan pemilikannya akan berkembang tanpa sesiapa menyedarinya dan akhirnya mereka akan menjadi majoriti," katanya.

Abdul Ghani Mohd. Noor, 46, berkata, cadangan itu bagai dijangka kerana banyak pihak tidak sabar untuk menukar wajah Kampung Baru menjadi kawasan pembangunan moden.


jongkomeng: Kalau kampung baru nak dimajukan, maka di sana akan muncul bangunan yang berpuluh tingkat. Persoalannya mampukah orang Kampung Baru memiliki walau 'setingkat' daripada bangunan itu??

Jadi yang moleknya jadikan kampung baru 'tapak warisan' yang kalau orang datang KL, mesti nak pergi Kg Baru kerana 'tarikan yang ada disana'.

Oleh itu pertingkatkan prasarana di Kg Baru, perparitannya, kedai2nya, pasar malamnya jalannya dan macam2 lagi.....

Thursday 27 May 2010

Bekas suspek dapat ganti rugi


KUALA LUMPUR - Seorang peniaga kain dan adik iparnya yang ditahan sebagai suspek dalam kes pembunuhan kanak-kanak, Nurin Jazlin tiga tahun lalu, masing-masing berjaya mendapat ganti rugi sebanyak RM41,500 dan RM31,500 setelah Mahkamah Sesyen di sini semalam membenarkan tuntutan saman mereka yang mendakwa ditahan secara salah oleh polis.

Hakim Sabariah Othman memutuskan demikian terhadap Mohamad Zamri Ibrahim, 36, dan Mohd. Suhaimi Yusoff, 31, setelah mendengar hujah peguam Azmer Md. Saad yang mewakili kedua-dua plaintif.

Zamri dan Suhaimi mengemukakan saman terhadap tiga defendan iaitu Asisten Supritendan Loh Pei Pei, Ketua Polis Negara dan kerajaan pada 19 Jun 2009 dan menuntut ganti rugi akibat penahanan salah, ganti rugi kecederaan serta ganti rugi teladan.

Dalam penghakimannya, Sabariah berkata, penahanan Zamri pada 27 September 2007 sehingga dibebaskan dibuat secara salah tanpa alasan dan syak yang munasabah.

"Berdasarkan keterangan saksi polis, dia bukan suspek yang dicari malah mahkamah mendapati defendan telah menggunakan kekerasan yang tidak sepatutnya terhadap plaintif," kata beliau.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan plaintif menerima ganti rugi kecederaan RM1,500, ganti rugi salah tahan RM10,000 dan ganti rugi teladan RM30,000 serta faedah enam peratus bermula dari tarikh saman sehingga penyelesaian kes.

Sementara itu, penahanan Suhaimi pula jelas Sabariah, adalah suatu yang munasabah dan dengan itu tidak berlaku salah tahan terhadap plaintif.

"Bagaimanapun, mahkamah mendapati terdapat bukti mencukupi yang plaintif telah dicederakan secara tak wajar," kata beliau yang membenarkan plaintif hanya mendapat ganti rugi kecederaan berjumlah RM1,500 dan ganti rugi teladan RM30,000.

jongkomeng: Ada 2 perkara: 1, polis tidak boleh sembarangan menahan 'orang yang disyaki'. 2, orang yang ditahan berhak menyaman, jika didapati polis 'tersalah tahan'.