Wednesday 20 October 2010

Bergaduh adik-beradik: Kereta, dua rumah terbakar




DUA buah rumah yang hangus ekoran pergaduhan dua beradik di Kampung Seberang Perak, Alor Setar kelmarin.


ALOR SETAR - Puncanya masalah kewangan. Rentetan itu, dua beradik lelaki bergaduh sehingga rumah mereka dan sebuah rumah jiran hangus dalam kejadian di Kampung Seberang Perak dekat sini kelmarin.

Turut musnah dalam kejadian pada pukul 8 malam itu ialah sebuah kereta milik ahli keluarga dua beradik itu.

Pergaduhan itu didakwa bermula sejak pukul 4 petang pada hari sama. Ia didakwa dimulakan oleh si abang yang dipercayai menghidap sakit mental. Dia bergaduh dengan adiknya.

Dalam perang mulut yang berlarutan itu, si abang, Tan Chee Leng, 32, didakwa mengugut untuk membakar rumah dan juga dirinya sendiri.

Ibu mereka, Khua Ai Git, 56, berkata, dia yang risau melihat pergaduhan itu yang tiada tanda-tanda akan reda telah membuat laporan polis.

"Saya terpaksa buat laporan di balai polis kerana saya bimbang dengan sikap Chee Leng yang ada sakit mental. Saya risau Chee Leng akan buat seperti yang dia ugut (bakar rumah).

"Selepas buat laporan, anggota polis ada pergi rumah saya dan saya terus berada di balai polis kerana takut untuk pulang ke rumah," katanya.

Namun pada pukul 8 malam, Ai Git berkata, dia dihubungi adiknya yang memberitahu rumahnya dan sebuah rumah jiran sudah terbakar.

"Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang kerana semasa saya sampai di rumah, api sudah marak dan sebuah kereta di hadapan rumah saya juga terbakar," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Idris Mydin berkata, pihaknya menjumpai dua botol cecair yang tidak berlabel di tempat kejadian.

Beliau berkata, bomba menghantar dua buah jentera berserta 24 anggota untuk memadam kebakaran dengan turut dibantu pasukan bomba sukarela.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab mengesahkan bahawa selepas menerima laporan daripada ibu suspek, anggota polis telah dihantar ke rumah tersebut untuk memujuk suspek.

"Semasa polis sampai di rumah itu, suspek sedang memegang sebilah parang, pemetik api dan juga jarum suntikan. Dekat kakinya terdapat satu tin minyak dan juga sebotol racun.

"Semasa polis sedang memujuk suspek, ada seorang jiran datang dan bercakap sesuatu kepada suspek menyebabkan suspek naik angin dan menolak tin minyak tersebut dan terus menyalakan api menyebabkan api marak dengan cepat," katanya.

Beliau berkata, selepas membakar rumah, suspek yang melecur mendapatkan rawatan sendiri di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"Polis yang mendapat maklumat mengenai suspek itu telah menahannya di HSB," kata Abdul Ghafar.

Tambah beliau, suspek itu kini dirawat di HSB kerana melecur kira-kira 20 peratus tubuh badannya.

Difahamkan, suspek sebelum kejadian itu telah membeli petrol kononnya untuk diisi dalam kereta.

Jiran-jiran mendakwa suspek dan adik lelakinya itu memang kerap bergaduh.


jongkomeng: syaitan memang menyukai orang yang bergaduh dan marah, dengan senang2 je syaitan mempengaruhi mereka supaya melakukan 'kerosakan'.

Thursday 14 October 2010

Tahniah untuk Sultan Kelantan


SULTAN Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra (kiri) beriringan dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail masuk ke dewan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-222 di Istana Negara semalam.


KUALA LUMPUR - Majlis Raja-Raja yang bermesyuarat selama dua hari di Istana Negara di sini bermula kelmarin mengalu-alukan keberangkatan hadir Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai anggota penuh Majlis itu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mempengerusikan mesyuarat ke-222 itu bertitah bahawa Majlis itu mendoakan agar Negeri Kelantan Darul Naim terus aman dan tenteram serta Sultan Muhammad V dapat memerintah dengan adil dan saksama agar negeri Kelantan menuju kejayaan, dan baginda sentiasa dikasihi rakyat.

"Paduka Ayahanda bagi pihak diri sendiri dan juga Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Maha Mulia Seri Paduka Anakanda atas pemasyhuran Anakanda," titah Sultan Sharafuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja semalam.


jongkomeng: Daulat Tuanku...

Friday 1 October 2010

Eye On Malaysia dipindah keluar


BEBERAPA pekerja sibuk menanggalkan komponen Eye On Malaysia di Melaka semalam.


MELAKA - Setelah hampir sembilan bulan ditutup, akhirnya roda gergasi Eye On Malaysia dipindah keluar dari sini semalam.

Pemindahan itu mengakhiri kemelut yang melanda buaian gergasi itu apabila kerajaan negeri berusaha mendapatkan perintah mahkamah bagi memperoleh kebenaran untuk memaksa pemilik asal, Fitraco NV mengeluarkan segera buaian gergasi itu.

Langkah mendapatkan perintah mahkamah itu diambil kerana kerajaan negeri bercadang menempatkan roda gergasi lain bagi menggantikan roda gergasi sedia ada yang tidak lagi beroperasi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berasa lega apabila roda gergasi itu akhirnya dipindah keluar dari negeri itu.

"Saya bersyukur segala kemelut sudah berakhir. Buaian ini tidak akan wujud lagi di tapak asalnya dan ini juga membolehkan kita membeli buaian yang hampir serupa dari China," katanya selepas melancarkan Bas Coaster Panorama dan Sejuta Poskad Melaka Maju 2010 di Melaka Sentral di sini.

jongkomeng: dulu dipuja kini dihina.........