Thursday, 12 August 2010

Hotel degil masih guna bufet Ramadan


ANTARA brosur promosi berbuka puasa di sebuah hotel di Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR – Walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah melarang hotel yang tidak mendapat sijil halal daripada menggunakan nama bufet Ramadan sebagai promosi pakej berbuka puasa namun masih ramai yang berdegil.

Tinjauan Kosmo! di sekitar ibu negara mendapati masih ada hotel yang tidak mendapat sijil dapur halal namun tetap berani menggunakan istilah bufet Ramadan.

Ketika ditanya kepada kakitangan hadapan hotel tersebut, mereka memberi alasan segala sumber makanan di hotel mereka adalah halal dan tidak ada salah untuk menggunakan perkataan bufet Ramadan.

Bagaimanapun, pemerhatian mendapati tidak ada logo halal ditampal pada poster dan brosur promosi Ramadan berkenaan.

Semalam, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menasihatkan pengusaha hotel yang belum memiliki sijil halal supaya tidak menyalahgunakan istilah bufet Ramadan kerana mereka berisiko diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

Pada 7 Ogos lalu, Jakim telah memberi amaran kepada pengusaha hotel yang tidak memiliki sijil perakuan halal agensi itu dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bahawa mereka dilarang menggunakan istilah bufet Ramadan kerana boleh mengelirukan umat Islam.

Menurut Jakim, hotel yang memiliki sijil perakuan halal daripada Jakim atau JAIN sahaja boleh menggunakan istilah tersebut.

Sementara itu, ada juga sesetengah pengusaha hotel yang menyedari larangan Jakim itu mengambil pendekatan menukar perkataan lain bagi menarik pengunjung dalam promosi pakej berbuka puasa mereka.

jongkomeng:susahnya nak makan di hotel dalam negara Islam........

Wednesday, 11 August 2010

Pesalah trafik selamat senarai hitam hingga 2011


PESALAH trafik yang sebelum ini disenarai hitam kerana gagal melunaskan saman kini boleh memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu sehingga 2011. - Gambar hiasan


PUTRAJAYA - Kabinet semalam memutuskan untuk menarik balik tindakan menyenarai hitam para pemandu bagi kesalahan trafik buat sementara waktu, bagi membolehkan orang ramai memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan bermula semalam hingga 28 Februari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, keputusan itu diambil setelah mendengar alasan, aduan dan rayuan orang ramai dan ahli jemaah menteri.

Tempoh itu diambil kira berikutan musim perayaan bermula dari sambutan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Hari Krismas dan Tahun Baru Cina.

"Namun tidak ada diskaun akan diberi kepada notis-notis sedia ada yang masih belum diselesaikan dan notis itu juga tidak akan dihapus kira.

"Pada masa yang sama, mereka yang disenarai hitam atau yang mempunyai notis-notis yang perlu dijelaskan, mereka tetap perlu menjelaskannya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet di kementeriannya di sini.

Menurut beliau, selepas 28 Februari 2011, tindakan senarai hitam itu akan dilaksanakan semula.


jongkomeng: 'tembak-tembak'...lepas tu....suruh yang kena 'tembak' bayar, tak bayar..kena senarai hitam.......

Tuesday, 10 August 2010

ESOK PUASA

ESOK, RABU 11 OGOS 2010 BERSAMAAN 1 RAMADHAN 1431H UMAT ISLAM DI MALAYSIA MULA BERPUASA

Friday, 30 July 2010

Asyraf muncul juara Imam Muda



MUHAMMAD ASYRAF (kiri) dinobatkan sebagai juara Imam Muda oleh Hassan pada malam kemuncak program realiti dakwah di Kuala Lumpur malam tadi.


KUALA LUMPUR - Menepati ramalan, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, 26, diumumkan sebagai juara pada malam kemuncak program realiti dakwah, Imam Muda yang berlangsung di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini semalam.

Anak kelahiran Sungai Gelugor, Pulau Pinang itu berjaya menewaskan seorang lagi peserta akhir, Hizbur Rahman, 27, selepas bersaing selama 10 minggu termasuk dengan lapan individu lain pada program diilhamkan oleh Astro dengan kerjasama Jawi.

Kemenangan graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Usuluddin dan Fiqah dari Universiti Malaya itu membolehkan beliau menerima insentif berbentuk tawaran Imam Ratib secara kontrak di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan, trofi Imam Muda, sijil penyertaan dan kad pentauliahan diiktiraf oleh Jawi.

Tidak ketinggalan, Asyraf membawa pulang hadiah melanjutkan pengajian tanpa had di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Mesir, sebuah Proton Exora, pakej mengerjakan haji dan umrah, percutian ke Bandung, Indonesia, wang tunai berjumlah RM20,000, iPhone 3G dan komputer riba Apple MacBook Pro.


jongkomeng: Tentu ramai yang tertunggu2 Imam Muda 2...........

Wednesday, 21 July 2010

Banyak negara sudah tapis Internet



BAGI pengguna Internet di sesetengah negara, akses kepada laman web tertentu termasuk lucah sudah disekat.


KUALA LUMPUR - Banyak kerajaan sudah melaksanakan sekatan terhadap Internet dengan menapis akses pengguna kepada laman-laman web lucah serta berkaitan dengan politik dan agama.

Sebuah organisasi bukan kerajaan yang berpangkalan di Perancis, Reporters Without Borders (RWB) menyenaraikan 12 negara yang sudah melaksanakan sekatan itu sebagai China, Myanmar, Korea Utara, Vietnam, Mesir, Iran, Syria, Saudi Arabia, Turkmenistan, Uzbekistan, Cuba dan Tunisia.

RWB dalam laporan mereka menjelaskan, kerajaan negara-negara terbabit secara sistematik menyekat aliran maklumat menerusi Internet jika ia didapati boleh menjejaskan kepentingan negara, politik, agama dan moral rakyat.

Agensi berita Reuters pula melaporkan, Jerman juga tahun lalu telah meluluskan peraturan menyekat akses kepada laman-laman web lucah membabitkan kanak-kanak selepas mencontohi model yang dilaksanakan di Britain, Itali serta negara-negara Scandinavia.

jongkomeng: Malaysia juga amat patut menyekat laman-laman web lucah yang langsung tidak membawa kebaikan kepada masyarakat

Thursday, 15 July 2010

Harga baru Gula (RM1.90), RON 95 (RM1.85)
Oleh Johari Ibrahim

2010/07/16


Pelarasan subsidi kurangkan perbelanjaan RM750 juta tahun ini

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam mengumumkan penyelarasan harga petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula berkuat kuasa hari ini sebagai langkah pertama Program Rasionalisasi Subsidi.

Penyelarasan semula harga barang itu membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta tahun ini dan mengimbangi defisit kewangan negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat ACPerdana Menteri, harga RON 95 dan diesel diselaraskan sebanyak lima sen seliter bagi semua sektor, LPG (10 sen sekilogram), gula (25 sen sekilogram), manakala petrol premium RON 97 akan diapung secara terkawal.


jongkomeng: yang ditunngu dah tiba..........


Thursday, 8 July 2010

Pendidikan Islam, Moral tak perlu jadi subjek teras UPSR

Kementerian Pelajaran berpendapat subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral tidak perlu dijadikan mata pelajaran teras dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi meningkatkan sahsiah dan jati diri murid.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ini kerana langkah sedemikian tidak menjamin penghayatan pada kalangan murid untuk menjadi amalan mereka.

"Peningkatan jati diri dan sahsiah murid adalah lebih berkesan melalui proses pendidikan dan penghayatan nilai, bukan dengan cara memasukkan mata pelajaran berkenaan dalam peperiksaan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang) yang berbentuk cadangan meminta kementerian memasukkan kedua-dua subjek itu di dalam UPSR bagi meningkatkan lagi jati diri dan sahsiah murid selaku pewaris generasi.

Mohd Puad berkata, meskipun tidak dijadikan subjek UPSR, murid Islam tetap diwajibkan mengikuti Pendidikan Islam, sementara bukan Islam mempelajari Pendidikan Moral.

"Mata pelajaran tersebut ditaksir melalui Penilaian Berasaskan Sekolah dalam bentuk formatif semasa dan sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran," katanya.

Subjek Pendidikan Islam ditaksir sebagai Penilaian Asas Fardhu Ain (PAFA) dan dicatatkan pada slip keputusan UPSR, manakala pentaksiran Pendidikan Moral dibuat oleh guru dan keputusan direkodkan dalam buku rekod kemajuan murid.

- Bernama


jongkomeng: Oleh kerana tiada dalam peperiksaan maka Subjek Pendidikan Islam sering 'ditiadakan' menjelang UPSR.

Kita bersungguh2 menghantar dan menjemput anak2 dari kelas tuisyen demi untuk 5A dalam UPSR. Malangnya kita tidak sanggup 'berhabis' untuk kelas Fardhu Ain dan AlQuran untuk anak2.......

Saturday, 26 June 2010

Maut diserbu pencegah maksiat


HOTEL tempat seorang anggota polis dipercayai terjatuh ketika cuba mengelak serbuan anggota JHEAIK di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mati selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah hotel di bandar ini dipercayai ketika cuba mengelak daripada dicekup sepasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIK) dalam kejadian awal pagi semalam.

Anggota polis terbabit disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas dipercayai mengalami pendarahan teruk di kepala.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi, ketika mangsa dipercayai berada dalam sebuah bilik di hotel tersebut sebelum diserbu oleh penguat kuasa agama.

Sumber hotel memberitahu, sebelum kejadian, hotel tersebut telah didatangi sepasukan pegawai JHEAIK yang meminta kebenaran untuk menjalankan pemeriksaan dan ketika serbuan di salah sebuah bilik di tingkat tiga didapati seorang wanita duduk berseorangan di bilik berkenaan.

Beberapa minit kemudian, menurutnya, seorang peniaga bersebelahan hotel itu memaklumkan terdapat seorang lelaki terjatuh dari bangunan hotel dalam keadaan berlumuran darah.

"Ketika ditemui, lelaki itu mengerang kesakitan dan kakitangan hotel kemudian menghubungi ambulans sebelum lelaki terbabit dibawa ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di sini semalam.


jongkomeng: Di bulan Rejab ni moleknya kita pakat2 tingkatkan amal ibadat, Sementara bulan Ramadhan tiba tak berapa lama lagi. Elakan maksiat............

Sunday, 20 June 2010

UPSR, PMR mungkin dimansuh

MUAR - Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

"Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti (contohnya) di peringkat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sahaja," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh semalam.


jongkomeng: Apa yang berlaku sekarang pihak JPN mahukan 'sukatan' dihabiskan, faham tak faham nombor 2. Manakala pihak 'penaziran' mahukan 'kefahaman' sukatan habis tak habis nombor 2. Setakat ini JPN yang menang kerana guru2 sering diwar-warkan agar murid2 mendapat 'A' yang banyak dalam peperiksaan. Maka guru2 pun pulun habis untuk memastikan murid mendapat banyak 'A', untuk mengelak daripada di 'kata' dalam mesyuarat dan sebagainya.

Jadi, penilaian terhadap sesuatu pembelajaran tidak boleh dihapuskan begitu sahaja, pembelajaran tanpa matlamat lulus peperiksaan akan 'menghasilkan pembelajaran' yang tidak bersungguh-sungguh

Saturday, 12 June 2010

Korea selatan ada kelas




PORT ELIZABETH – Korea Selatan tampil dalam kelas tersendiri.Semalam mereka mencatat kemenangan pertama pada kempen Piala Dunia 2010 dengan mengalahkan Greece 2-0 dalam aksi Kumpulan B.

Ini sekali gus membuka peluang untuk mereka mara ke pusingan kalah mati.Korea Selatan yang pernah mara ke separuh akhir pada edisi 2002, jelas terlalu hebat buat juara Eropah 2004, Greece yang ditewaskan hasil jaringan Lee Jung-soo dan kapten, Park Ji-sung.

Pasukan dari Asia itu memulakan aksi Kumpulan B dengan mendahului seawal minit ketujuh apabila sepakan percuma pemain Celtic, Ki Sung-yueng berjaya disambar Jung-soo untuk meledak gol pertama.

Dengan reputasi sebagai juara Euro 2004, Greece jelas tersentak dengan gol tersebut, namun masih gagal memberi tentangan kepada Korea Selatan.

Jurulatih Greece, Otto Rehhagel juga tidak senang duduk sepanjang permainan itu berlangsung di Stadium Nelson Mandela Bay.

Greece yang tidak pernah menjaringkan sebarang gol dalam kempen Piala Dunia, terus menderita hasil jaringan Ji-sung pada minit ke-52.

Pemain tengah Manchester United itu berjaya menewaskan dua pertahanan Greece, Avraam Papadopoulos dan Loukas Vyntra sebelum melepaskan rembatan melepasi Tzorvas, sekali gus menggamatkan suasana stadium yang dipenuhi penyokong Korea Selatan. – AFP

jongkomeng: Malaysia bila agaknya ???

Monday, 7 June 2010

Penampilan baru MyVi, ViVa
Oleh Ahmad Farizal Hajat

2010/06/07

WAJAH baru MyVi penuhi cita rasa golongan muda.
WAJAH baru MyVi penuhi cita rasa golongan muda.
Perodua rancang lancar model diperbaharui pada separuh kedua tahun ini

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan melancarkan dua model yang diperbaharui pada separuh kedua tahun ini untuk memberikan lebih kesegaran dan mempelbagaikan lagi varian kereta kompak keluarannya di pasaran.

Menurut sumber, dua model diperbaharui itu adalah MyVi dan ViVa yang kini adalah model paling laris di Malaysia dengan jualan masing-masing sebanyak 7,048 unit dan 6,671 unit pada Mac lalu.


jongkomeng: Model baru biasanya diiringi pula dengan harga baru, tapi kalau dah suka apa-apa pun tak kisah....

Sunday, 30 May 2010

KG BARU OH KG BARU....

Penduduk bantah bagi kepada bukan Melayu


CADANGAN pembangunan Kampung Baru dibuka kepada bukan Melayu dan pelabur asing dibantah oleh penduduk kampung itu.


KUALA LUMPUR - "Jangankan 40 peratus, seinci tanah Kampung Baru pun akan kami pertahankan daripada statusnya diberi kepada bukan Melayu."

Demikian tegas sebilangan besar anak jati kampung tradisional Melayu itu yang terletak di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur ketika ditanya mengenai cadangan supaya 40 peratus pemilikan hartanah kampung tersebut dijual kepada golongan bukan Melayu.

Mereka berpendapat, biar pun cadangan itu bertujuan untuk pembangunan dan pemodenan namun, bagi mereka, Kampung Baru merupakan satu-satunya rizab Melayu yang tidak wajar dikorbankan.

Ahmad Sabir Mukisan, 34, yang terkejut dengan cadangan itu berkata, ia satu-satunya tanah rizab Melayu di ibu negara yang tidak wajar diganggu.

"Kalau tanah ini mahu diusik, mana lagi orang Melayu hendak pergi," katanya yang lebih 30 tahun menetap di situ.

Rakannya, Mohd. Fazli Talib, 42, yang memiliki sebuah bengkel motosikal pula menegaskan, cadangan itu seolah-olah isyarat untuk mengusir penduduk keluar dari kawasan itu secara perlahan-lahan.

"Mula-mula hanya 40 peratus tetapi perlahan-lahan pemilikannya akan berkembang tanpa sesiapa menyedarinya dan akhirnya mereka akan menjadi majoriti," katanya.

Abdul Ghani Mohd. Noor, 46, berkata, cadangan itu bagai dijangka kerana banyak pihak tidak sabar untuk menukar wajah Kampung Baru menjadi kawasan pembangunan moden.


jongkomeng: Kalau kampung baru nak dimajukan, maka di sana akan muncul bangunan yang berpuluh tingkat. Persoalannya mampukah orang Kampung Baru memiliki walau 'setingkat' daripada bangunan itu??

Jadi yang moleknya jadikan kampung baru 'tapak warisan' yang kalau orang datang KL, mesti nak pergi Kg Baru kerana 'tarikan yang ada disana'.

Oleh itu pertingkatkan prasarana di Kg Baru, perparitannya, kedai2nya, pasar malamnya jalannya dan macam2 lagi.....

Thursday, 27 May 2010

Bekas suspek dapat ganti rugi


KUALA LUMPUR - Seorang peniaga kain dan adik iparnya yang ditahan sebagai suspek dalam kes pembunuhan kanak-kanak, Nurin Jazlin tiga tahun lalu, masing-masing berjaya mendapat ganti rugi sebanyak RM41,500 dan RM31,500 setelah Mahkamah Sesyen di sini semalam membenarkan tuntutan saman mereka yang mendakwa ditahan secara salah oleh polis.

Hakim Sabariah Othman memutuskan demikian terhadap Mohamad Zamri Ibrahim, 36, dan Mohd. Suhaimi Yusoff, 31, setelah mendengar hujah peguam Azmer Md. Saad yang mewakili kedua-dua plaintif.

Zamri dan Suhaimi mengemukakan saman terhadap tiga defendan iaitu Asisten Supritendan Loh Pei Pei, Ketua Polis Negara dan kerajaan pada 19 Jun 2009 dan menuntut ganti rugi akibat penahanan salah, ganti rugi kecederaan serta ganti rugi teladan.

Dalam penghakimannya, Sabariah berkata, penahanan Zamri pada 27 September 2007 sehingga dibebaskan dibuat secara salah tanpa alasan dan syak yang munasabah.

"Berdasarkan keterangan saksi polis, dia bukan suspek yang dicari malah mahkamah mendapati defendan telah menggunakan kekerasan yang tidak sepatutnya terhadap plaintif," kata beliau.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan plaintif menerima ganti rugi kecederaan RM1,500, ganti rugi salah tahan RM10,000 dan ganti rugi teladan RM30,000 serta faedah enam peratus bermula dari tarikh saman sehingga penyelesaian kes.

Sementara itu, penahanan Suhaimi pula jelas Sabariah, adalah suatu yang munasabah dan dengan itu tidak berlaku salah tahan terhadap plaintif.

"Bagaimanapun, mahkamah mendapati terdapat bukti mencukupi yang plaintif telah dicederakan secara tak wajar," kata beliau yang membenarkan plaintif hanya mendapat ganti rugi kecederaan berjumlah RM1,500 dan ganti rugi teladan RM30,000.

jongkomeng: Ada 2 perkara: 1, polis tidak boleh sembarangan menahan 'orang yang disyaki'. 2, orang yang ditahan berhak menyaman, jika didapati polis 'tersalah tahan'.

Sunday, 9 May 2010

Kerajaan Persekutuan belanja RM4 bilion setahun di Kelantan

KOTA BHARU 9 Mei - Kerajaan Persekutuan membelanjakan sebanyak RM4 bilion setahun di Kelantan untuk pengurusan jabatan dan penyelenggaraan berbanding kerajaan negeri yang hanya membiayai RM400 juta dalam tempoh yang sama.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, jumlah itu tidak setanding dengan hasil yang dikeluarkan oleh Kelantan kerana prestasi yang tidak stabil dalam mewujudkan sumber ekonomi di samping menarik pelaburan luar ke negeri ini.

''Misalnya di bahagian perindustrian, kita boleh lihat kewujudan kilang yang mengeluarkan produk terlalu sedikit, ini berdasarkan cukai yang dapat dikutip iaitu sebanyak RM38 juta setahun iaitu lebih rendah daripada Perlis yang saiznya jauh lebih kecil tetapi cukainya RM108 juta setahun.

''Begitu juga dengan kutipan Cukai Hasil Dalam Negeri dan Kastam yang dikeluarkan RM300 juta setahun, ia satu nilai yang lebih rendah daripada Melaka yang mencapai hasil daripada sumber yang sama iaitu sebanyak RM3 bilion setahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Agung Tiga Tahunan Kesatuan Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia (MTSU) cawangan negeri di sini hari ini.

Awang Adek menambah, peruntukan yang besar itu pernah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan negeri seperti Trengganu, Pahang dan Melaka kerana pembiayaan besar tetapi hasilnya kurang.

''Peruntukan yang besar ini membuktikan kerajaan Pusat terbuka dan prihatin dengan keperluan rakyat di negeri ini yang memerlukan bantuan kerana masih banyak golongan miskin di sini.

''Paling penting kerajaan Pusat tidak mengira parti politik walaupun kalah dan dikuasai pembangkang tidak timbul soal peruntukan besar atau kecil kerana ia dibuat berdasarkan kapasiti penduduk, keluasan dan keperluan demi kepentingan rakyat," katanya.


jongkomeng: Wau banyak sungguh, perbelanjaan kerajaan pusat kepada negeri kelantan; 4 bilion setahun. Yang kita musykil....rakyat kelantan masih ramai yang 'miskin'. Kemudahan2 asas di Kelantan tak molek spt negeri lain...jadi kemana 4 bilion tu ??

Saturday, 8 May 2010

COBAAN……

Hidup ini diiringi dengan cobaan-cobaan, yang membuatkan manusia berfikir utk menyelasaikan masalah2 daripada cobaan tersebut.

Friday, 30 April 2010

Graduan perubatan tempatan pilih bekerja di Singapura

KUALA LUMPUR – Graduan-graduan dari fakulti perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) memilih untuk bekerja di Singapura sejurus lulus peperiksaan akhir tahun.

Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan UKM, Prof. Datuk Dr. Lokman Saim berkata, dijangka 80 graduan UKM akan meninggalkan Malaysia untuk berkerja di hospital-hospital di Singapura.

“Sebagai doktor pelatih, mereka ditawarkan gaji sebanyak 2,690 dolar Singapura bersamaan RM6,187 sedangkan doktor pelatih di Malaysia dibayar gaji RM3,665 dengan purata elaun antara RM500 dan RM1,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Fenomena itu, katanya, berlaku sejak lima tahun lalu selepas Majlis Perubatan Singapura mengiktiraf ijazah perubatan dari kedua-dua universiti tersebut.

“Sebahagian besar daripada mereka tidak akan pulang untuk bekerja di negara ini walaupun kebanyakannya menerima biasiswa kerajaan sepanjang lima tahun pengajian,” katanya.

Menurut Lokman, kerajaan perlu mengambil tindakan untuk menghalang doktor-doktor itu daripada lari daripada melaksanakan kewajipan terhadap negara.

jongkomeng: Apa sudah jadi 'kita' yang habis duit latih doktor, depa dapat hasilnya...? Tak boleh nak salahkan doktor2 muda ni jugak...sebab gaji doktor di negara jiran tu sekali ganda lebih tinggi daripada di negara kita...


Tuesday, 27 April 2010

Amukan waktu Zuhur


BILAL Masjid Pauh Sembilan, Mohamad Abdullah menunjukkan tempat Che Ismail maut selepas ditikam dalam satu pergaduhan di Bachok semalam.


BACHOK - Tindakan seorang pesara tentera menyerang seorang lelaki yang baru menunaikan solat Zuhur membawa padah apabila dia mati ditikam dalam satu pergaduhan di dalam Masjid Pauh Sembilan dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 2.30 petang itu mengakibatkan Che Ismail Che Hussain, 55, mati ketika mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian apabila mengalami kecederaan parah di rusuk kanan akibat tikaman tersebut.

Dalam kejadian itu, suspek berusia 43 tahun tersebut turut mengalami kecederaan di pergelangan tangan kiri apabila ditetak oleh mangsa yang dipercayai datang ke masjid tersebut bersama enam rakannya yang bersenjatakan parang dengan menaiki tiga buah kereta.

Difahamkan, mangsa dan rakan-rakannya kemudian telah meluru masuk ke dalam masjid sebelum keadaan menjadi kecoh apabila beberapa saksi ternampak suspek berlari keluar sambil dikejar oleh beberapa lelaki sambil menghayun parang.

jongkomeng: Orang Kelantan sering kali dilabelkan sebagai 'gedebe'. Yang jadi masalahnya gedebe yang tidak kena tempatnya, satu lagi jangan kita lupa kalau kita rasa kita gedebe, ada lagi yang lebih gedebe daripada kita. Dan kita tidak buta perut kita akan temui yang 'Maha Perkasa:....Alllah SWT.

Thursday, 22 April 2010

5 pelajar pondok pakai serban bebas

22/04/2010 3:29pm

TUMPAT – Mahkamah Majistret Tumpat di sini hari ini membebaskan dan melepaskan lima pelajar sebuah sekolah pondok atas kesalahan tidak memakai topi keledar tetapi sebaliknya memakai serban ketika menunggang motosikal, dua tahun lalu.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes tersebut.

Sebaik sahaja Raja Norshuzianna Shakila selesai membacakan penghakimannya, kelima-lima pelajar itu Adli Abd. Halim, 22; Ahmad Hafiz Shaari, 24; Mohd. Hafizul Mohamad, 22; Mohd. Azam Mohd. Arifin, 24; dan Che Mohd. Noor Che Soh, 28; kelihatan sebak dan beberapa daripada mereka mengalirkan air mata.

Kelima-lima pelajar Pondok Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Yusufiah, Gelang Mas, di sini, ditahan dalam sekatan polis di Kampung Geting, dekat sini, pada pukul 12.30 tengah malam, 28 April, 2008, semasa dalam perjalanan pulang dari menghadiri upacara sembahyang jenazah di sebuah masjid.

Mereka didakwa mengikut Kaedah 4 (motosikal topi keledar keselamatan) 1973 dan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibaca bersama Seksyen 128(1) akta yang sama. – Bernama


jongkomeng: Dulu kes seperti ini telah berlaku yang melibatkan seorang pelajar pondok Pasir Tumboh ( kalau tak silap). Kadang-kadang kita rasa pelik, sebab kes2 yang 'kontrovesi' macam ni berulang lagi. Seolah2 ada 'pandangan serong' terhadap budak2 yang pakai serban naik motosikal ni. Budak2 pondok ni bukan pergi merempit pun.

Di Kelantan pada waktu pada waktu pergi solat jumaat 'semua' tak pakai topi keledar, jadi macam mana tu ?? Di kawasan felda 'semua' tak pakai topi keledar, macam mana tu ??

Undang2 tetap undang2, tapi kita tentu ada 'kelongaran dan budi bicara' dalam menangani kes2 seperti ini.

Monday, 19 April 2010

Kompaun JPJ naik 333 peratus


Kesalahan penggunaan plat kenderaan juga bakal dikenakan kompaun yang lebih tinggi selepas pindaan Akta Jabatan Pengangkutan Jalan diluluskan di Dewan Rakyat. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Para pemilik kenderaan dan pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati selepas ini berikutan kadar kompaun maksimum kesalahan jalan raya akan dinaikkan daripada RM300 kepada RM1,000 tidak lama lagi.

Kenaikan kira-kira 333 peratus itu berikutan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang akan dikuatkuasakan kelak.

Peruntukan itu adalah antara 51 Fasal pindaan yang terkandung di dalam Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Rahim Bakri di Dewan Rakyat semalam.

Antara pindaan lain yang dicadangkan termasuk menaikkan umur kelayakan memohon lesen memandu motosikal daripada 16 tahun kepada 17 tahun. Penalti bagi kesalahan melanggar umur kelayakan itu juga dinaikkan daripada tidak melebihi RM2,000 kepada tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000.


jongkomeng: Berita ini tentu mengecutkan perut 'pemandu dan penunggang'. Yang baiknya pemandu dan penunggang akan lebih berhati2, yang buruknya kemungkinan kes rasuah meningkat contoh: daripada kena kompaun RM1000.00 lebih baik bayar 50-100 kepada penguatkuasa.

Seperkara lagi penguatkuasaan yang 'terpilih', sering berlaku di isyarat lampu merah, para remaja dengan bangganya tidak berhenti; tiada pun penguatkuasa yang bersedia disana !!!