Thursday 27 May 2010

Bekas suspek dapat ganti rugi


KUALA LUMPUR - Seorang peniaga kain dan adik iparnya yang ditahan sebagai suspek dalam kes pembunuhan kanak-kanak, Nurin Jazlin tiga tahun lalu, masing-masing berjaya mendapat ganti rugi sebanyak RM41,500 dan RM31,500 setelah Mahkamah Sesyen di sini semalam membenarkan tuntutan saman mereka yang mendakwa ditahan secara salah oleh polis.

Hakim Sabariah Othman memutuskan demikian terhadap Mohamad Zamri Ibrahim, 36, dan Mohd. Suhaimi Yusoff, 31, setelah mendengar hujah peguam Azmer Md. Saad yang mewakili kedua-dua plaintif.

Zamri dan Suhaimi mengemukakan saman terhadap tiga defendan iaitu Asisten Supritendan Loh Pei Pei, Ketua Polis Negara dan kerajaan pada 19 Jun 2009 dan menuntut ganti rugi akibat penahanan salah, ganti rugi kecederaan serta ganti rugi teladan.

Dalam penghakimannya, Sabariah berkata, penahanan Zamri pada 27 September 2007 sehingga dibebaskan dibuat secara salah tanpa alasan dan syak yang munasabah.

"Berdasarkan keterangan saksi polis, dia bukan suspek yang dicari malah mahkamah mendapati defendan telah menggunakan kekerasan yang tidak sepatutnya terhadap plaintif," kata beliau.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan plaintif menerima ganti rugi kecederaan RM1,500, ganti rugi salah tahan RM10,000 dan ganti rugi teladan RM30,000 serta faedah enam peratus bermula dari tarikh saman sehingga penyelesaian kes.

Sementara itu, penahanan Suhaimi pula jelas Sabariah, adalah suatu yang munasabah dan dengan itu tidak berlaku salah tahan terhadap plaintif.

"Bagaimanapun, mahkamah mendapati terdapat bukti mencukupi yang plaintif telah dicederakan secara tak wajar," kata beliau yang membenarkan plaintif hanya mendapat ganti rugi kecederaan berjumlah RM1,500 dan ganti rugi teladan RM30,000.

jongkomeng: Ada 2 perkara: 1, polis tidak boleh sembarangan menahan 'orang yang disyaki'. 2, orang yang ditahan berhak menyaman, jika didapati polis 'tersalah tahan'.

No comments:

Post a Comment