Sungai Kerak semakin ‘sempit’
|
|
MARANG 26 Okt. – Satu ketika dahulu, Sungai Kerak merupakan antara sungai yang popular dengan keindahan pemandangan alam semula jadi yang terdapat di sekeliling selain kejernihan air sungainya.
Sungai tersebut juga turut menjadi kunjungan pelancong asing yang gemar menyusuri sungai untuk menikmati keindahan dan ketenangan di sepanjang sungai tersebut yang menjadi habitat pelbagai flora dan fauna.
Selain itu, keindahan pemandangan Pulau Kapas dapat dinikmati di kawasan ini apabila berada di puncak Bukit Mawi berdekatan sungai berkenaan.
Maka tidak hairanlah Sungai Kerak amat sinonim dengan lokasi pelancongan.
Namun itu semua cerita 10 tahun dahulu kerana sungai tersebut kini kian hilang dari pandangan apabila telah ‘dinodai’ setahun yang lalu dengan aktiviti besar-besaran cari gali emas di kawasan berkenaan.
Lebih memburukkan keadaan, kawasan di sekeliling sungai menjadi seperti padang jarak padang tekukur apabila longgokan tanah serta tunggul-tunggul kayu, kering berada di merata tempat.
Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi tersebut baru-baru ini mendapati aliran Sungai Kerak terjejas teruk akibat daripada kerakusan aktiviti cari gali emas berkenaan.
Difahamkan, aktiviti yang telah berlarutan sejak setahun itu dijalankan tanpa pemantauan pihak berwajib seperti Majlis Daerah Marang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Akibatnya, hampir keseluruhan sungai menjadi cetek dan berlumpur akibat aktiviti berkenaan sehingga menjejaskan ekosistem di sekeliling kawasan tersebut.
Namun apa yang lebih memeranjatkan, sungai telah ditutupi dengan tanah sehingga menyempitkan aliran sungai berkenaan yang mengalirkan air ke Sungai Marang.
Terdapat lebih lima buah kolam takungan air di kawasan lombong emas berkenaan yang rata-ratanya tidak lagi digunakan memandangkan ia semakin kering.
Bukan itu sahaja, hampir keseluruhan tumbuhan seperti pokok nipah dan pokok bakau yang tumbuh subur di sepanjang sungai berkenaan mati akibat keadaan air sungai yang cetek serta aktiviti `menggondolkan’ tanaman itu.
Menurut maklumat penduduk, hampir lebih 50 keluarga terjejas akibat kerja-kerja cari gali emas berkenaan terutamanya pada musim hujan.
Ini kerana menurut mereka, bekas lombong yang digali tersebut bakal menampung air hujan dan melimpah dengan deras ke sungai sehingga menyebabkan jalan serta rumah penduduk turut dinaiki air.
Difahamkan, disebabkan aktiviti cari gali tersebut tidak mendatangkan banyak keuntungan, Utusan Malaysia dimaklumkan mereka akan menjual pasir yang telah digali tersebut.
Namun sejauh mana kebenarannya, hanya mereka yang berwajib sahaja boleh menjawab persoalan berkenaan.
Ada baiknya, pihak majlis dan JAS turun padang melihat sendiri dengan lebih dekat kemusnahan Sungai Kerak yang semakin hilang serinya akibat ketamakan manusia tanpa menghiraukan alam semula jadi.
jongkomeng: Alam semulajadi yang hilang tak akan dpt diganti... Demi mengejar sedikit keuntungan, anak cucu hilang khazanah yang berharga.
No comments:
Post a Comment