Hanya Dalam Masa Satu Minit, Kenderaan Kerajaan Dilaporkan Mengisi Minyak Dua Kali
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Dalam perbezaan satu minit saja, sebuah kereta milik kerajaan negeri Pahang direkodkan mengisi minyak bernilai lebih RM100 sebanyak dua kali di sebuah stesen minyak yang sama di negeri itu.
Ini adalah penyalahgunaan kad inden bagi perolehan bahan api untuk kenderaan kerajaan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang diedarkan di sini hari ini mengenai aktiviti jabatan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri Pahang 2008.
Laporan itu berkata semakan audit terhadap Laporan Butiran Belian Bahan Api yang dikeluarkan oleh pihak pembekal pada tahun lepas mendapati sebanyak 24 kes pengisian bahan api dalam tempoh kurang dari lima minit melibatkan lima buah kenderaan pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang.
Kereta-kereta terbabit dikenalpasti sebagai Proton Perdana bernombor pendaftaran CBD88 yang telah membuat sebanyak 18 kes pengisian bahan api dalam tempoh masa yang singkat dengan jumlah kos sebanyak RM4,177, katanya.
Contohnya pada 14 Dis lepas, kereta tersebut telah mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Raub, Pahang pada pukul 12.14 tengah hari sebanyak 59.47 liter yang bernilai RM113 dan seminit kemudian pada 12.15 tengah hari kereta yang sama mengisi sebanyak 58.95 liter minyak yang bernilai RM112 di stesen yang sama.
Pada 19 Dis perkara yang sama berlaku di stesen minyak yang sama pada pukul 6.35 petang dan 6.36 petang dengan jumlah pengisian sebanyak 125 liter bernilai RM225, dan perkara yang sama dilakukan pada 23 Dis, 24 Dis, 26 Dis dan 31 Dis, dan pada 24 Dis pengisian minyak dilakukan di sebuah stesen minyak di Kuantan, katanya dan menambah jumlah keseluruhan kos adalah RM1,349.95.
Laporan audit itu berkata perkara yang sama juga dilakukan terhadap Proton Perdana CBB37 dan Proton Perdana CBR1993, iaitu sebanyak dua kali yang memakan belanja lebih RM300 setiap buah, dan sekali bagi Proton Perdana CBD1003 dan Proton Perdana CBD23 yang melibatkan kos antara RM200 dan RM100.
Selain itu terdapat juga perolehan bahan api yang meragukan oleh kenderaan Proton Perdana bernombor pendaftaran CBD88 yang telah mengisi minyak pada 14 Ogos 2008 di sebuah stesen minyak di Bentong, dengan kuantiti pengisian sebanyak 1 liter dengan kos RM117, dan kes dan tempat yang sama pada 26 Ogos dengan kos RM128.30, pada 7 Sept dengan kos RM119, pada 14 Nov dengan kos RM90 dan pada 27 Nov dengan kos RM120, katanya.
Kesemua lima pengisian itu merekodkan pengisian sebanyak 5 liter dengan jumlah kos bahan api sejumlah RM574.53 dan ini menunjukkan terdapat pembelian yang meragukan dan tiada penyemakan dilakukan sebelum pembayaran dibuat, katanya.
Selain itu, tindakan susulan terhadap perkara ini masih belum diambil oleh pihak yang bertanggungjawab, dan akibatnya Pejabat SUK telah menanggung kos penggunaan bahan api yang tinggi, katanya.
Laporan itu berkata pihak pejabat SUK memaklumkan bahawa perkara yang dibangkitkan akan diselesaikan melalui kerjasama dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna cawangan negeri Pahang iaitu memeriksa sistem perolehan bahan api yang digunakan oleh setiap pembekal bahan api yang terlibat.
Jabatan Audit Negara turut mendapati perolehan bahan api yang melebihi tangki kenderaan, selain penggunaan kad inden terhadap kereta yang telah lama dilupuskan.
Selain itu, kos penyenggaraan kenderaan yang tinggi contohnya penyenggaraan empat buah Proton Perdana V6 Executive di pejabat SUK antara 2004 dan 2008 adalah tinggi berbanding dengan kos perolehan kenderaan tersebut.
Contohnya, kos penyelenggaran Perdana V6 yang bernombor pendaftaran CBL100 yang dibeli dengan kos RM117,062 untuk dari 2005 hingga 2008 berjumlah RM171,888, dan bagi kereta bernombor pendaftaran CBN31 pula adalah RM192,743 dari tahun 2004 hingga 2008, katanya.
Laporan itu berkata maklum balas dari pejabat SUK, kereta-kereta itu digunakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dan kos penyenggaraan yang tinggi adalah disebabkan kerosakan kotak gear (gear box) dan juga kemalangan.
Penyelewengan melibatkan pelbagai masalah termasuk penggunaan bahan api berlebihan, penyenggaraan kenderaan di bengkel yang tidak dikhususkan dan kekerapan penggantian tayar yang tidak munasabah turut berlaku di Perak dan Pulau Pinang pada tahun lepas.
Di negeri Perak, didapati kos penyenggaraan kenderaan kerajaan negeri adalah tinggi akibat tidak dihantar ke pusat servis yang dikhususkan.
Ini kerana kerajaan negeri tidak menetapkan bengkel khusus untuk menyenggara kenderaan sebaliknya ia dilakukan berdasarkan permohonan yang diterima daripada syarikat yang berkaitan.
"Menerusi semakan audit terdapat sampel baucar bayaran yang dipilih mendapati kos penyenggaraan berjumlah RM262,256 atau 69.4 peratus untuk kereta Proton Perdana di sebuah syarikat tayar. Berbanding di Syarikat EON Service Sdn Bhd iaitu hanya RM15,197 atau 4 peratus untuk tempoh 2004 hingga 2008," katanya.
Laporan itu juga mendapati syarikat tersebut dimiliki oleh bukan bumiputera dan kebanyakan alat ganti yang digunakan adalah diimport dari luar negara berbanding Syarikat EON Sdn Bhd daripada keluaran tempatan.
Alasan pejabat SUK mengapa kereta tersebut dihantar ke syarikat itu adalah kerana kenderaan EXCO yang memerlukan penyenggaraan segera sedangkan Syarikat EON Services Sdn Bhd tidak dapat memberikan servis dengan segera.
Masalah pembelian minyak bagi tempoh yang singkat juga serta kekerapan penggantian tayar dikenalpasti berlaku di Pulau Pinang, menurut laporan itu.
Tiga kenderaan, iaitu dua bas yang bernombor pendaftaran PGW7744 dan PCT7777 serta Proton Perdana PHK42 dilaporkan telah membuat pembelian minyak dalam tempoh yang singkat antara tiga hingga lapan minit pada tarikh yang sama di stesen minyak yang sama.
Selain itu tiga kenderaan yang bernombor pendaftaran PED21, PBF1 dan PAF1 dilaporkan membuat penggantian tayar begitu kerap, dan siasatan audit itu juga melaporkan kesemua penggantian tayar adalah disebabkan keadaan bunga tayar yang telah haus atau tayar pecah, tayar haus sebelah, tayar tidak mencengkam dan tayar keras.
Katanya penggantian tayar yang terlalu kerap bagi tempoh tiga hingga 34 bulan dan penggunaan pada jarak perbatuan antara 1,700 kilometer hingga 21,900 kilometer untuk tiga kenderaan itu juga meragukan.
Sehubungan dengan itu, Pejabat SUK telah menetapkan setiap penggantian tayar perlu mendapat kelulusan Ketua Penolong Setiausaha (Kewangan) dan tayar yang telah digantikan akan disimpan bagi tempoh tertentu mulai 20 Mei 2009.
Secara keseluruhan didapati kebanyakan proses penyenggaraan kenderaan milik kerajaan negeri adalah tidak memuaskan dan tidak mengikut peraturan dan prosedur pejabat SUK.
"Pejabat SUK perlu mengawal perbelanjaan penyenggaraan kenderaan dengan meneliti kos pembaikan yang terlibat dan memilih pusat servis yang menawarkan harga yang munasabah supaya tujuan penjimatan dapat dicapai di samping memastikan hanya penyenggaraan yang perlu sahaja dilakukan," syor laporan itu.
-- BERNAMA
jongkomeng: 'Penyalahgunaan' harta kerajaan sering kali berlaku, dan sepatutnya 'mereka' yang terlibat dikenakan 'hukuman/tindakan' yang setimpal.
No comments:
Post a Comment