Dua cucu ditahan bunuh nenek
KUALA TERENGGANU 15 Okt. – Seorang penganggur berusia 43 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang nenek, Muda Mat Zain, 80, yang ditemui mati di rumahnya di Kampung Bukit Pak Sabah, Dungun, Isnin lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, suspek yang merupakan cucu kepada mangsa ditahan pada pukul 4.45 petang kelmarin ketika berada di rumahnya.
Katanya, penahanan itu menjadikan dua cucu mangsa ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut selepas suspek pertama berusia 42 tahun yang juga cucunya ditahan beberapa jam selepas kejadian.
“Suspek yang ditahan juga positif dadah dan ditahan reman bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian ini,” katanya.
Mayat Muda ditemui mati ditetak di belakang kepalanya selain dicekik sebelum dibenamkan di dalam besen di rumahnya.
Mayat mangsa ditemui oleh anak perempuannya yang berusia 61 tahun pada pukul 6.40 petang.
Siasatan polis percaya bahawa pembunuhan tersebut bermotifkan rompakan kerana beberapa barang kemas milik mangsa seperti rantai leher, gelang dan cincin emas didapati hilang.
Berikutan kejadian itu, polis yang menerima laporan pada pukul 8 malam telah menahan cucu mangsa yang berusia 42 tahun di kawasan berhampiran beberapa jam selepas itu.
Suspek yang positif dadah ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
jongkomeng: Benarlah..'arak itu ibu maksiat'. Bila manusia dah ketagih 'menatang' tu...tak nampak lain dah..hilang akal hilang pertimbangan.
No comments:
Post a Comment