Friday 16 October 2009

SEKOLAH AGEN PERUBAHAN

Sekolah wajib tubuh Kelab Keselamatan Jalan Raya

PUTRAJAYA 16 Okt. - Semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara diwajibkan menubuhkan Kelab Keselamatan Jalan Raya bagi memupuk kesedaran para pelajar supaya menjauhi gejala lumba haram dan merempit.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menangani Gejala Lumba Haram dan Merempit.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama jawatankuasa itu berkata, Kementerian Pelajaran akan mengeluarkan arahan agar semua pengetua dan guru besar menyokong penubuhan kelab berkenaan.

''Kelab ini sudah lama wujud tetapi tidak diwajibkan penubuhannya, kini kita mahu pendidikan keselamatan jalan raya diajar berterusan sama seperti pendidikan moral,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kelab tersebut boleh menganjurkan kempen kesedaran seminggu sekali memandangkan kebanyakan pelajar sekolah menengah menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen.

Abdul Rahim berkata, mesyuarat turut mencadangkan supaya dipinda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memberi kuasa secara lebih luas kepada polis untuk melaksanakan tanggungjawab membanteras kegiatan lumba haram dan merempit.

''Ada perkara-perkara teknikal berkaitan undang-undang yang mengekang kuasa polis dalam akta tersebut jadi kita mahu ia lebih jelas dan diperincikan,'' katanya.

Menurutnya, sejak 1 Mei lalu sehingga 20 September lepas, sebanyak 4,268 operasi lumba haram dilancarkan di seluruh negara secara bersepadu oleh polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan (PBT).


jongkomeng: Kalau kita kumpulkan ada berpuluh-puluh kelab yang mesti ditubuhkan di sekolah. Kementerian tu nak kelab dia ditubuhkan, kementerian ni nak kelab dia... Yang sebenarnya tak perlu banyak kelab ni, cuma pastikan modul yang lengkap dan boleh dimasukkan kemana2 kelab/persatuan yg telah sedia ada di sekolah.

No comments:

Post a Comment