Toyota Wish, Myvi guru terbakar

BACHOK – Seorang guru, Mazuki Ahmad Fatani, 35, kerugian hampir RM200,000 selepas dua buah kenderaan miliknya yang diletakkan di pekarangan rumahnya terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat di Kampung Jelawat di sini pagi semalam.
Kenderaan yang mula-mula terbakar ialah jenis Toyota Wish dan kemudian merebak ke kereta Perodua Myvi yang diletakkan bersebelahan.
Menurut ibu guru tersebut, Nor Asikin Awang, 53, berkata, kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu disedari oleh salah seorang anaknya, Siti Nur Farhana Ahmad Fatani, 23, selepas terdengar bunyi letupan yang agak kuat di luar rumahnya.
Katanya, selepas terdengar letupan itu, Siti Nur Farhana mengejutkannya yang pada ketika itu tidur di bilik berasingan dan memaklumkan bunyi letupan tersebut.
“Pada awalnya Siti Nur Farhana menyangka bunyi mercun tetapi selepas melihat melalui tingkap didapati kereta yang terbakar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
No comments:
Post a Comment