Friday 26 March 2010

Jom Heboh Kelantan

oleh wan nik wan yussof

Kini sudah heboh pula, Jom Heboh memasuki Negeri Kelantan, bumi Serambi Mekah yang dipimpin oleh menteri besar, seorang ulamak. Apa jampi yang TV3 tiupkan kepada kerajaan Negeri Kelantan tidaklah dipastikan. Apa yang pasti, pada 26-27 Mac nanti Kelantan sebuah negeri yang meletakkan panduan syariat sebagai asas pentadbiran menjadi tuan rumah. Menteri Besarnya, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat komited di dalam merealisasikan dasar hiburan berkonsepkan dakwah dan terkawal. Menerusi dasar hiburan itulah diterapkan penguatkuasaan halal dan haram, termasuklah untuk penganjuran Jom Heboh itu.

Kesemua aspek dasar hiburan itu terkandung di dalam enam prinsip dan garis panduan utama Dasar Kebudayaan Negeri Kelantan 1998. Antaranya mestilah berlandaskan Islam bagi mencapai keredaan Allah, apa-apa unsur kebudayaan luar hendaklah selaras dengan prinsip Islam, boleh diamalkan kebudayaan setiap kaum tetapi hanya untuk kaum tersebut, mengutamakan pembangunan yang mengambil kira nilai budaya setempat dan selaras dengan Islam, berlaku pengasingan lelaki dan wanita, dan amalan kebudayaan yang bercanggah dengan hukum syarak hendaklah disesuaikan dengan syarak.

Menjelaskan perkara itu (TheMalaysiainsider.com, 6 Mac 2010), Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata persetujuan kerajaan itu hasil perbincangan antara pihak Media Prima dan kerajaan negeri. Asas kawalan utama adalah tetap melarang penyanyi wanita membuat persembahan, di samping penonton hendaklah diasingkan mengikut tiga kategori iaitu berkeluarga, lelaki dan wanita.

“Keputusan itu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baru-baru ini, berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui kedua-dua pihak.”

“Pihak berkenaan (TV3) memperakukan segala peraturan dan syarat-syarat pertunjukan itu, kerajaan negeri sedia menerima konsert itu tahun ini.”

“Turut diadakan sempena Jom Heboh itu ialah satu slot khas bercorak agama yang melibatkan penyertaan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” jelas Takiyuddin.

Kandungan Jom Heboh itu dipastikan memenuhi kehendak Dasar Kebudayaan Negeri Kelantan. Antaranya, pada malam 27 Mac program hiburan yang diadakan hanya menampilkan artis lelaki termasuk Jay Jay, Jamal Abdillah, Kumpulan Raihan dan Megat Nordin.

Difahamkan ketika Jom Heboh di Bukit Jalil tahun lalu, pihak Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) turut membuka khemah pameran dan penerangan mengenai kemajuan teknologi berasaskan bio itu.

Sebelum itu, pihak BiotechCorp turut menyertai Jom Heboh di Danga Bay Johor, Petrajaya Kuching dan Batu Kawan Pulau Pinang. Sambutannya amat baik dan hangat yang sekali gus telah mendedahkan kepada golongan muda dan generasi awal mengenai teknologi baru untuk kelestarian hidup ummah sejagat. Ini kerana BiotechCorp merupakan peneraju utama industri berasaskan biotechnology yang dikenal pasti sebagai peneraju penting ke arah pembangunan masa depan negara dalam bidang ekonomi yang berkaitan.

Dalam konteks ini, ia selari dengan dasar Kerajaan Negeri Kelantan yang telah menubuhkan Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. Bagi Jom Heboh Kelantan kali ini, Kelantan Biotech difahamkan turut sama menyertai BiotechCorp bagi mempromosikan komitmen Negeri Kelantan di dalam perkembangan teknologi bio itu.

Sudah tentu, rakyat Kelantan akan dapat menyaksikan tanda-tanda kebesaran Tuhan yang menjadi misi Kelantan Biotech di dalam mempromosikan kejadian-Nya melalui sifat semula jadi serta biologinya. Sehingga kini, Kelantan Biotech telah memproses pelbagai produk menggunakan bioteknologi untuk manfaat pembangunan usahawan, perniagaan dan pengenalan produk biobahan novel (penemuan baru).

jongkomeng: semoga hiburan yang tidak melalaikan dan mematuhi adab2 muslim tersebar keseluruh pelusuk bumi Malaysia.

2 comments:

  1. ooo..boleh pulak yer jum heboh masuk kelantan..selama ni tak pernah sekali pun pergi jum heboh..teringin la juga :)

    ReplyDelete
  2. Apa nama program tak penting sangat...yang penting pengisiannya yang menepati syariat Islam.

    ReplyDelete