Friday 30 April 2010

Graduan perubatan tempatan pilih bekerja di Singapura

KUALA LUMPUR – Graduan-graduan dari fakulti perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) memilih untuk bekerja di Singapura sejurus lulus peperiksaan akhir tahun.

Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan UKM, Prof. Datuk Dr. Lokman Saim berkata, dijangka 80 graduan UKM akan meninggalkan Malaysia untuk berkerja di hospital-hospital di Singapura.

“Sebagai doktor pelatih, mereka ditawarkan gaji sebanyak 2,690 dolar Singapura bersamaan RM6,187 sedangkan doktor pelatih di Malaysia dibayar gaji RM3,665 dengan purata elaun antara RM500 dan RM1,000 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Fenomena itu, katanya, berlaku sejak lima tahun lalu selepas Majlis Perubatan Singapura mengiktiraf ijazah perubatan dari kedua-dua universiti tersebut.

“Sebahagian besar daripada mereka tidak akan pulang untuk bekerja di negara ini walaupun kebanyakannya menerima biasiswa kerajaan sepanjang lima tahun pengajian,” katanya.

Menurut Lokman, kerajaan perlu mengambil tindakan untuk menghalang doktor-doktor itu daripada lari daripada melaksanakan kewajipan terhadap negara.

jongkomeng: Apa sudah jadi 'kita' yang habis duit latih doktor, depa dapat hasilnya...? Tak boleh nak salahkan doktor2 muda ni jugak...sebab gaji doktor di negara jiran tu sekali ganda lebih tinggi daripada di negara kita...


Tuesday 27 April 2010

Amukan waktu Zuhur


BILAL Masjid Pauh Sembilan, Mohamad Abdullah menunjukkan tempat Che Ismail maut selepas ditikam dalam satu pergaduhan di Bachok semalam.


BACHOK - Tindakan seorang pesara tentera menyerang seorang lelaki yang baru menunaikan solat Zuhur membawa padah apabila dia mati ditikam dalam satu pergaduhan di dalam Masjid Pauh Sembilan dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 2.30 petang itu mengakibatkan Che Ismail Che Hussain, 55, mati ketika mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian apabila mengalami kecederaan parah di rusuk kanan akibat tikaman tersebut.

Dalam kejadian itu, suspek berusia 43 tahun tersebut turut mengalami kecederaan di pergelangan tangan kiri apabila ditetak oleh mangsa yang dipercayai datang ke masjid tersebut bersama enam rakannya yang bersenjatakan parang dengan menaiki tiga buah kereta.

Difahamkan, mangsa dan rakan-rakannya kemudian telah meluru masuk ke dalam masjid sebelum keadaan menjadi kecoh apabila beberapa saksi ternampak suspek berlari keluar sambil dikejar oleh beberapa lelaki sambil menghayun parang.

jongkomeng: Orang Kelantan sering kali dilabelkan sebagai 'gedebe'. Yang jadi masalahnya gedebe yang tidak kena tempatnya, satu lagi jangan kita lupa kalau kita rasa kita gedebe, ada lagi yang lebih gedebe daripada kita. Dan kita tidak buta perut kita akan temui yang 'Maha Perkasa:....Alllah SWT.

Thursday 22 April 2010

5 pelajar pondok pakai serban bebas

22/04/2010 3:29pm

TUMPAT – Mahkamah Majistret Tumpat di sini hari ini membebaskan dan melepaskan lima pelajar sebuah sekolah pondok atas kesalahan tidak memakai topi keledar tetapi sebaliknya memakai serban ketika menunggang motosikal, dua tahun lalu.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes tersebut.

Sebaik sahaja Raja Norshuzianna Shakila selesai membacakan penghakimannya, kelima-lima pelajar itu Adli Abd. Halim, 22; Ahmad Hafiz Shaari, 24; Mohd. Hafizul Mohamad, 22; Mohd. Azam Mohd. Arifin, 24; dan Che Mohd. Noor Che Soh, 28; kelihatan sebak dan beberapa daripada mereka mengalirkan air mata.

Kelima-lima pelajar Pondok Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Yusufiah, Gelang Mas, di sini, ditahan dalam sekatan polis di Kampung Geting, dekat sini, pada pukul 12.30 tengah malam, 28 April, 2008, semasa dalam perjalanan pulang dari menghadiri upacara sembahyang jenazah di sebuah masjid.

Mereka didakwa mengikut Kaedah 4 (motosikal topi keledar keselamatan) 1973 dan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibaca bersama Seksyen 128(1) akta yang sama. – Bernama


jongkomeng: Dulu kes seperti ini telah berlaku yang melibatkan seorang pelajar pondok Pasir Tumboh ( kalau tak silap). Kadang-kadang kita rasa pelik, sebab kes2 yang 'kontrovesi' macam ni berulang lagi. Seolah2 ada 'pandangan serong' terhadap budak2 yang pakai serban naik motosikal ni. Budak2 pondok ni bukan pergi merempit pun.

Di Kelantan pada waktu pada waktu pergi solat jumaat 'semua' tak pakai topi keledar, jadi macam mana tu ?? Di kawasan felda 'semua' tak pakai topi keledar, macam mana tu ??

Undang2 tetap undang2, tapi kita tentu ada 'kelongaran dan budi bicara' dalam menangani kes2 seperti ini.

Monday 19 April 2010

Kompaun JPJ naik 333 peratus


Kesalahan penggunaan plat kenderaan juga bakal dikenakan kompaun yang lebih tinggi selepas pindaan Akta Jabatan Pengangkutan Jalan diluluskan di Dewan Rakyat. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Para pemilik kenderaan dan pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati selepas ini berikutan kadar kompaun maksimum kesalahan jalan raya akan dinaikkan daripada RM300 kepada RM1,000 tidak lama lagi.

Kenaikan kira-kira 333 peratus itu berikutan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang akan dikuatkuasakan kelak.

Peruntukan itu adalah antara 51 Fasal pindaan yang terkandung di dalam Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Rahim Bakri di Dewan Rakyat semalam.

Antara pindaan lain yang dicadangkan termasuk menaikkan umur kelayakan memohon lesen memandu motosikal daripada 16 tahun kepada 17 tahun. Penalti bagi kesalahan melanggar umur kelayakan itu juga dinaikkan daripada tidak melebihi RM2,000 kepada tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000.


jongkomeng: Berita ini tentu mengecutkan perut 'pemandu dan penunggang'. Yang baiknya pemandu dan penunggang akan lebih berhati2, yang buruknya kemungkinan kes rasuah meningkat contoh: daripada kena kompaun RM1000.00 lebih baik bayar 50-100 kepada penguatkuasa.

Seperkara lagi penguatkuasaan yang 'terpilih', sering berlaku di isyarat lampu merah, para remaja dengan bangganya tidak berhenti; tiada pun penguatkuasa yang bersedia disana !!!

Thursday 15 April 2010

Panahan cinta wanita Sumatera


PASANGAN lelaki Malaysia dan wanita Indonesia pada majlis perkahwinan mereka. - Gambar hiasan


MEDAN - Secara purata seorang lelaki rakyat Malaysia mengahwini wanita Indonesia dari Sumatera setiap hari dalam tempoh lima bulan lepas dan 80 peratus daripada mereka dijadikan isteri kedua.

Trend ini dilihat daripada rekod di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di sini yang menunjukkan bahawa dalam tempoh lima bulan itu, 30 lelaki Malaysia berkahwin dengan wanita Indonesia dari Sumatera setiap bulan.

Konsul Muda Bahagian Konsular dan Imigresen di pejabat itu, Ismail Ali memberitahu, pada Januari, terdapat 31 pasangan yang berkahwin, Februari (29 pasangan) dan Mac sebanyak 32 pasangan.

"Hampir kesemua mereka beragama Islam," katanya.


jongkomeng: "Wanita perhiasan Dunia"...begitulah hebatnya wanita. Jadi tak heranlah 'dia' menarik hati lelaki tak kira 'di bumi' mana mereka berada. Bila laluan yang betul, sah dan tidak salah di sisi Islam maka lelaki dibolehkan berkahwin dengan mereka...sehingga 4 orang....

Friday 9 April 2010

Ubat gelatin babi ditarik balik


INILAH pil Imodium Capsule yang mengandungi campuran gelatin lembu dan babi.


KUALA LUMPUR - Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah mengarahkan syarikat pemegang pendaftaran ubat cirit-birit Imodium Capsule yang disahkan mengandungi unsur babi supaya menarik balik produk itu dari pasaran.

Arahan tersebut dibuat selepas siasatan syarikat itu sendiri mendapati terdapat perubahan pada sumber gelatin yang digunakan oleh pembekal daripada bovine only source (lembu) kepada campuran lembu dan porcine (babi).

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Eisah A. Rahman berkata, pihak pembekal bagaimanapun tidak memaklumkan kepada pengilang dan pemegang pendaftaran ubat berkenaan mengenai perubahan dalam ramuan ubat tersebut.

"Kami sudah meminta mereka tarik balik kesemua bekalan ubat itu dari pasaran dan mengemaskinikan label agar ia menepati ramuan yang digunakan,'' jelasnya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! di sini semalam.

Kenyataan beliau itu adalah susulan kepada laporan Kosmo! Ahad pada 4 April lalu yang mendedahkan rasa tidak puas hati seorang pesakit, Datuk Mohd. Hanafiah Omar, 65, yang diberi ubat Imodium Capsule oleh kakitangan sebuah hospital swasta di Hulu Klang pada 29 Mac lalu tanpa memaklumkan ia mengandungi gelatin babi.


jongkomeng: Benda2 haram ni memang kena bertindak cepat, takleh main2. Yang jadi masalahnya pengguna ni 'buta kayu' tak tahu apa isi kandungan ubat2 yang dimakan.

Thursday 8 April 2010

Temui ajal ditumbuk menantu

SHAH ALAM - Bukan calang-calang peniaga rojak apabila dia ibarat mempunyai penumbuk maut selepas menumbuk bapa mertuanya sehingga lelaki itu menemui ajalnya dalam satu kejadian di USJ 20 Subang Jaya dekat sini Isnin lalu.

Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu mengakibatkan seorang pekerja kilang, Mohd. Nordin Abdullah, 54, menemui ajalnya selepas diserang penyakit jantung sebaik ditumbuk sehingga pengsan oleh suspek.

Sebelum kejadian itu, mangsa dan beberapa ahli keluarganya tiba di rumah yang didiami anak perempuannya bersama suami dan bapa mertuanya di situ dari Pulau Pinang dengan hasrat hendak melepaskan rindu dengan menziarahi wanita berkenaan yang hampir setahun tidak ditemui.

Bagaimanapun, hasratnya itu dihalang oleh menantunya sebelum menumbuk Mohd. Nordin ketika mangsa cuba menarik tangan anak perempuannya berusia lingkungan 20-an untuk masuk ke dalam van miliknya.


jongkomeng: "Anak kita suka tapi ayah dia kita tak suka".

Apa2 tindakan yang tidak berlandaskan syariat Islam akan membawa kesusahan kepada diri kita.

Friday 2 April 2010

Kartika dapat layanan istimewa


KARTIKA Sari Dewi (tiga dari kiri) mengesat air matanya kerana terpaksa berpisah dengan ahli keluarganya di hadapan Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan semalam.


KUANTAN - Jika orang ramai menganggap bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor dikerah melakukan pelbagai tugas berat dengan kemudahan peribadi yang terhad di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah di sini, mereka sebenarnya silap.

Ini kerana ibu kepada dua orang anak itu hanya ditugaskan menguruskan kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut dengan kemudahan selesa sepanjang tiga minggu di situ.

Antara kemudahan yang disediakan ialah rumah tetamu yang lengkap dengan dua bilik tidur, bilik air, dapur, penyaman udara dan taman mini.


jongkomeng: Tuah ayam ayam nampak dikaki, tuah orang siapa tahu......