Saturday 31 October 2009

Friday 30 October 2009

PERANG WEH...

KELANTAN KATA...

Kelantan tidak rela dibaham Singa Utara

KOTA BHARU – Kelantan tidak mempunyai banyak pilihan dengan ketiadaan penjaring utamanya Indra Putra Mahayuddin dalam senarai kesebelasan pemain yang akan turun menentang Perlis malam ini.

Mungkin ia sedikit melegakan Perlis, bagaimanapun, kelibat beberapa pemain Kelantan yang lain perlu diberi perhatian oleh pengendali pasukan Singa Utara itu untuk tidak tersungkur di gelanggang sendiri.

Tanpa Indra, bebanan getir itu terarah kepada Norfarhan Mohamed dan Khalid Jamlus dalam mencari gol kemenangan ketika harapan penyokong Kelantan makin menggunung.

Norfarhan, seorang penggempur yang juga produktif, sedar bebanan yang digalasnya dan bertekad untuk mencipta sejarah bersama skuad Kijang dengan peluang beraksi di peringkat akhir kelak.

Dia berharap dapat mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan yang amat penting malam ini dan mengimpikan menjadi sebagai salah seorang penyumbang utama kemenangan.

“Saya atau sesiapa sahaja yang menjaringkan gol itu tidak penting. Bagi kami, menumpaskan Perlis pastinya satu kenangan yang tidak akan dilupakan,” jelasnya.




PERLIS KATA.....


Singa mahu baham kijang

KANGAR - Sekali pun tugas berat terpaksa dipikul Perlis ketika bertemu Kelantan di Stadium Utama Negeri di sini malam ini, namun Singa Utara tetap menyifatkan misi tunggalnya hanyalah untuk merangkul Piala Malaysia.

Walaupun pelawat dengan slogan Gomo Kelate Gomo memiliki kelebihan itu menang di tempat sendiri Selasa lalu, namun Perlis tetap dengan semangat juang 'sang singa' mahu membaham Kijang untuk ke perlawanan akhir.

Bagi Perlis, walaupun Kelantan memiliki kelebihan dua gol dalam perlawanan separuh akhir pertama, tetapi menyifatkan perjuangan masih belum selesai.


jongkomeng: Kita tunggu malam ni.....

Thursday 29 October 2009

Kes H1N1 meningkat 56 peratus di England

LONDON 30 Okt. – Kes wabak influenza A (H1N1) di England meningkat 56 peratus minggu lalu, lapor Agensi Perlindungan Kesihatan Britain, semalam.

Agensi tersebut menganggarkan sebanyak 39,000 ke 169,000 kes baru dilaporkan minggu lalu berbanding dengan 27,000 ke 115,000 kes minggu sebelumnya.

Anggaran itu berdasarkan statistik daripada lawatan doktor dan panggilan yang dibuat kepada talian selesema babi.

Menurut agensi tersebut, wabak selesema babi menjangkiti terutamanya golongan kanak-kanak di bawah umur 14 tahun.

Pengagihan vaksin Tamiflu telah ditingkatkan kepada kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun. – AP


jongkomeng: Alhamduliilah kes H1N1 di negara kita semakin reda. Ini lah berkat doa dan solat hajat pada bulan ramadhan yang penuh berkat. Namun kita jangan leka dan lupa, teruskan berdoa dan mengambil langkah2 keselamatan agar wabak H1N1 tidak terus merebak. Amin....

Kos baru untuk kenderaan lama -Hampir dua juta kenderaan lama wajib jalani pemeriksaan Puspakom


SEORANG peniaga di Kuala Terengganu, Mansor Chik mengeluh kerana terpaksa berbelanja lebih untuk pemeriksaan di Puspakom tahun depan walaupun kereta Proton Saga keluaran 1992 miliknya didakwa masih dalam keadaan baik.


KUALA LUMPUR - Berkuat kuasa 1 Januari 2010, semua kenderaan persendirian berusia 15 tahun atau lebih diwajibkan menjalani pemeriksaan komprehensif tahunan ekoran kajian semula Dasar Automotif Nasional (DAN) yang diumumkan semalam.

Ia mensyaratkan kelulusan daripada Puspakom Sdn. Bhd. sebelum pemilik boleh memperbaharui cukai jalan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, tindakan tersebut adalah langkah awal pelaksanaan sepenuhnya Dasar Tempoh Jangka Hayat (ELV).

Menurut beliau, pelan ELV akan dirangka oleh Kementerian Pengangkutan.

Apabila dilaksanakan kelak, ia dijangka membabitkan hampir dua juta kenderaan yang berusia lebih 15 tahun.

Mengikut rekod Jabatan Pengangkutan Jalan, jumlah kenderaan persendirian yang berdaftar dan berusia 10 tahun ke atas ialah sebanyak 2.7 juta buah.

"Kita telah berunding dengan pelbagai pihak dalam industri automotif sebelum menguatkuasakan peraturan ini," katanya pada sidang media yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Tan Sri Abdul Rahman Mamat semalam.


jongkomeng: Umumnya pemilik kereta 'buruk' adalah orang kampung yang layak mendapat subsidi beras dan minyak. Nampak gaya tahun depan mereka kena bawa kereta ke PUSPAKOM untuk diperiksa sebelum dibenarkan membayar cukai jalan.
Pihak PUSPAKOM pula kenalah 'timbang2' untuk membuka lebih banyak cawangan dalam menanti ketibaan kereta buruk nanti.

Tuesday 27 October 2009

Apakah standart pengukuran 'GOLONGAN SASAR'

Harga petrol ikut pasaran


PENGGUNA dijangka membayar harga petrol di pam berasaskan harga pasaran atau tanpa subsidi pada tahun depan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Harga petrol di pam kemungkinan akan berasaskan harga pasaran atau tanpa subsidi apabila sistem pengurusan subsidi petrol dilaksanakan pada tahun hadapan.

Menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, melalui kaedah itu pemberian subsidi mungkin akan lebih tersasar kepada kumpulan yang layak bagi menikmati harga petrol bersubsidi.

"Harga petrol mungkin akan ditetapkan pada kadar pasaran tetapi individu yang disasarkan akan dapat subsidi. Harga petrol tidak ada subsidi, kecuali kepada golongan sasaran.

"Sistem pengurusan itu sedang dibina dan akan dimulakan dengan petrol. Ia akan dilaksanakan antara suku pertama dan kedua tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2009 di sini semalam.

Kumpulan sasar itu kelak mungkin melibatkan golongan berpendapatan rendah atau berada pada paras gaji tertentu.

Menurut beliau, Mykad juga mungkin menjadi salah satu mekanisme bagi pemberian subsidi.

Pada pembentangan Bajet 2010 Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sistem pengurusan subsidi akan dilaksanakan pada awal 2010 menggunakan MyKad dan infrastruktur sedia ada.


jongkomeng: Orang yang berpendapaan RM 5,000.00 sebulan tanpa anak2 sudah boleh hidup dengan agak selesa. Tapi bagi kategori sama dengan anak 5-8 orang terkulat2 nyawa2 ikan. Jadi apa ukuran 'golongan sasar' yang dimaksudkan oleh pihak berkenaan.

GO KELATE GO !!

Kelantan sebelah kaki ke final


INDRA cuba melepasi halangan pemain Perlis pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi. Kelantan menang 2-0.


KELANTAN berpeluang cerah mara ke final Piala Malaysia selepas menewaskan Perlis 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.

Awal babak pertama, jentera pertaha- nan Kelantan yang diketuai oleh Naz- rulerwan Makmor terpaksa bekerja keras menahan asakan bertali arus penggempur Perlis yang diketuai oleh Niza- ruddin Yusof dan Ahmad Fakri Shaa- rani.

Perlis hampir di depan seawal minit kelima apabila gerakan solo Ahmad Fakri berjaya memperdayakan Nazrulerwan dan benteng Kelantan, namun percubaannya berjaya dihalang oleh penjaga gol Kelantan, Halim Napi.

Selepas hampir 15 minit perlawanan berlangsung, Kelantan mula mengimbangi permainan.

Peluang terbaik dimiliki oleh Khairan Eroza yang menerima hantaran silang kapten Indra Putra Mahayuddin, namun tandukannya berjaya digagalkan penjaga gol Perlis, Faizal Marlias.

Gol pertama Kelantan hadir pada minit ke-22 melalui gerakan yang bermula daripada Che Hishamuddin Hassan yang melorong bola cantik kepada Indra yang melarikan bola ke kawasan kotak penalti.

Pemain pertahanan Perlis, Mazlizam Mohamad yang ditugaskan mengawal pergerakan Indra telah menjatuhnya sehingga memaksa pengadil perlawanan Shokri Nor menghadiahkan sepakan penalti.

Indra yang diberi tanggungjawab tersebut berjaya menggamatkan stadium untuk gol pembukaan Kelantan.

Babak kedua menyaksikan para penonton dihidangkan dengan aksi membosankan apabila kedua-dua pasukan bermain dengan begitu berhati-hati .

Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan jaringan 1-0, pemain pertahanan Kelantan, Rizal Fahmi Rosid meledak gol kedua tuan rumah pada masa kecederaan.


jongkomeng: Lama doh rasonya kelate x masuk final, mudah-mudahan tahun ni berjaya masuk final sekaligus jadi JUARA !!

Monday 26 October 2009

UNTUNG SECUPAK RUGI SEGANTANG

Sungai Kerak semakin ‘sempit’


Aliran Sungai Kerak semakin sempit akibat aktiviti cari gali emas.


MARANG 26 Okt. – Satu ketika dahulu, Sungai Kerak merupakan antara sungai yang popular dengan keindahan pemandangan alam semula jadi yang terdapat di sekeliling selain kejernihan air sungainya.

Sungai tersebut juga turut menjadi kunjungan pelancong asing yang gemar menyusuri sungai untuk menikmati keindahan dan ketenangan di sepanjang sungai tersebut yang menjadi habitat pelbagai flora dan fauna.

Selain itu, keindahan pemandangan Pulau Kapas dapat dinikmati di kawasan ini apabila berada di puncak Bukit Mawi berdekatan sungai berkenaan.

Maka tidak hairanlah Sungai Kerak amat sinonim dengan lokasi pelancongan.

Namun itu semua cerita 10 tahun dahulu kerana sungai tersebut kini kian hilang dari pandangan apabila telah ‘dinodai’ setahun yang lalu dengan aktiviti besar-besaran cari gali emas di kawasan berkenaan.

Lebih memburukkan keadaan, kawasan di sekeliling sungai menjadi seperti padang jarak padang tekukur apabila longgokan tanah serta tunggul-tunggul kayu, kering berada di merata tempat.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi tersebut baru-baru ini mendapati aliran Sungai Kerak terjejas teruk akibat daripada kerakusan aktiviti cari gali emas berkenaan.

Difahamkan, aktiviti yang telah berlarutan sejak setahun itu dijalankan tanpa pemantauan pihak berwajib seperti Majlis Daerah Marang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Akibatnya, hampir keseluruhan sungai menjadi cetek dan berlumpur akibat aktiviti berkenaan sehingga menjejaskan ekosistem di sekeliling kawasan tersebut.

Namun apa yang lebih memeranjatkan, sungai telah ditutupi dengan tanah sehingga menyempitkan aliran sungai berkenaan yang mengalirkan air ke Sungai Marang.

Terdapat lebih lima buah kolam takungan air di kawasan lombong emas berkenaan yang rata-ratanya tidak lagi digunakan memandangkan ia semakin kering.

Bukan itu sahaja, hampir keseluruhan tumbuhan seperti pokok nipah dan pokok bakau yang tumbuh subur di sepanjang sungai berkenaan mati akibat keadaan air sungai yang cetek serta aktiviti `menggondolkan’ tanaman itu.

Menurut maklumat penduduk, hampir lebih 50 keluarga terjejas akibat kerja-kerja cari gali emas berkenaan terutamanya pada musim hujan.

Ini kerana menurut mereka, bekas lombong yang digali tersebut bakal menampung air hujan dan melimpah dengan deras ke sungai sehingga menyebabkan jalan serta rumah penduduk turut dinaiki air.

Difahamkan, disebabkan aktiviti cari gali tersebut tidak mendatangkan banyak keuntungan, Utusan Malaysia dimaklumkan mereka akan menjual pasir yang telah digali tersebut.

Namun sejauh mana kebenarannya, hanya mereka yang berwajib sahaja boleh menjawab persoalan berkenaan.

Ada baiknya, pihak majlis dan JAS turun padang melihat sendiri dengan lebih dekat kemusnahan Sungai Kerak yang semakin hilang serinya akibat ketamakan manusia tanpa menghiraukan alam semula jadi.


jongkomeng: Alam semulajadi yang hilang tak akan dpt diganti... Demi mengejar sedikit keuntungan, anak cucu hilang khazanah yang berharga.

Friday 23 October 2009

BELANJA UNTUK SEBUAH NEGARA

RM191.5b untuk pacu ekonomi


NAJIB ketika membentangkan Bajet 2010 di Parlimen semalam.


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak semalam membentangkan Bajet 2010 berjumlah RM191.5 bilion yang mengandungi tiga strategi utama iaitu untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Najib dalam ucapan bajet sulungnya sebagai Perdana Menteri yang bertemakan '1Malaysia, Kemakmuran Bersama' memperuntukkan RM138.3 bilion atau 72.2 peratus untuk perbelanjaan mengurus dan RM53.2 bilion atau 27.8 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.

Ia merupakan pengurangan sebanyak 11.2 peratus berbanding RM207.9 bilion untuk bajet 2009.

"Sesungguhnya, inilah bajet yang menyelusuri keperluan dan meresapi denyut nadi rakyat. Inilah satu persembahan yang tulus dan ikhlas daripada kerajaan yang menjiwai rakyat,'' katanya sambil mendapat tepukan ahli-ahli Dewan Rakyat semalam.

Beliau yang segak memakai baju Melayu biru mengambil masa kira-kira dua jam untuk membentangkan ucapan setebal 55 halaman itu.

Beliau memberi jaminan kerajaan akan menjaga kebajikan golongan pelajar, menggilap kemahiran tenaga kerja dan memperkasa institusi pengajian tinggi awam.

jongkomeng: No komen !!!

Thursday 22 October 2009

BILA 'AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR' TIDAK DIPRAKTIKKAN...

Flet maksiat

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my

SASARAN...Flet Hijau  tercemar dengan kejadian maksiat.
SASARAN...Flet Hijau tercemar dengan kejadian maksiat.

PUTRAJAYA: Gahnya nama Flet Hijau di sini dengan kegiatan maksiat sukar dinafikan apabila lebih 50 pasangan bukan mahram yang dipercayai sedang bersiap atau berniat melakukan ‘projek’ ditahan di penempatan itu sejak beberapa bulan lalu.

Lebih memalukan, flet 11 tingkat yang mempunyai lebih empat blok itu menjadi markas golongan remaja dan pasangan kemaruk seks melampiaskan nafsu serakah di rumah sewa sama ada milik pasangan lelaki atau wanita tak kira siang atau malam.

Keadaan menjadi lebih ‘meriah’ waktu malam dengan gelagat remaja perempuan menggunakan taktik berpakaian sopan termasuk bertudung litup memasuki rumah terlebih dulu sebelum diekori pasangan lelaki yang kemudian memulakan adegan mereka.

Kegiatan tidak bermoral di rumah pangsa berkenaan kebanyakannya dipercayai membabitkan pekerja swasta dan kakitangan kerajaan berusia 20 dan 25 tahun yang menyewa di flet berkenaan.


jongkomeng: Tanda2 akhir zaman, zina berleluasa, maksiat tidak dicegah. Pembikin filem, 'membuat' filem ttg kemusnahan 'dunia', yang terbaru '2012'. Namun umat yang lupa terus hanyut dalam dunia mereka. Mereka diberi peringatan di zaman persekolahan, tapi tindakan mereka seperti tidak pernah hadir ke sekolah!!!

Sejadah berdiri berlaku pula di Kedah, Pulau Pinang

KUALA LUMPUR - Kejadian sejadah berdiri terus berlaku semalam dan kali ini di Kedah dan Pulau Pinang selain kejadian sama berulang di Kelantan.

Di Alor Setar, tiga helai sejadah dilihat dalam keadaan bersembahyang berjemaah di ruang solat lelaki Surau Al-Rahmaniah, Kampung Teluk Yan.

Kejadian itu disedari seorang kanak-kanak, Nur Zulaikha Rashid, 9, pada pukul 3.15 petang.

Imam surau, Mat Rotim Mat Hussain, 70, memberitahu, selepas dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh penduduk, dia terus ke surau dan terkejut melihat sejadah berdiri.

Katanya, dia meninggalkan surau selepas solat Zuhur pada pukul 2 petang dan tiada perkara pelik berlaku ketika itu.

Nur Zulaikha pula memberitahu, dia ternampak sejadah berdiri melalui tingkap surau ketika melintasi surau untuk pergi mengaji al-Quran di rumah seorang penduduk.


jongkomeng: Masyarakat melayu mudah percaya/terpengaruh dengan benda/perkara pelik. Tapi mereka tidak kagum dengan kejadian yang lebih besar dan hebat, contoh: kejadian manusia, binatang2, tumbuh2an malah alam semesta ini sendiri.

Mereka akan kagum dengan kejadian 'pelik', spt air keluar dari batang pokok, cicak ekor bercabang dan sebagainya. Maka benda2 pelik ini akan dismpan konon mendapat tuah.



Tuesday 20 October 2009

SYAITAN GEMBIRA

Mati berebut kerbau

kosmo online

KOTA BHARU - Hanya kerana seekor kerbau, seorang warga emas mati ditetak oleh seorang lelaki dengan sebilah sabit di Kampung Salak, Tanah Merah dekat sini kelmarin.

Sebelum kejadian pada pukul 10.15 pagi, mangsa, Mohamed Jusoh (gambar), 71, bersama dua orang anak dan seorang menantunya keluar mencari seekor kerbau yang baru dibeli seminggu lalu berdekatan kawasan paya di rumah mereka.

Bagaimanapun, sampai di kawasan paya itu, mangsa, anak-anak dan menantunya telah dihalang oleh seorang lelaki yang merupakan jiran mereka.

Jiran berusia 57 tahun itu mendakwa kerbau yang dicari oleh mangsa adalah miliknya.


Cerita seorang anak mangsa, Mohamad Azahan Mohamed, 27, tindakan lelaki itu telah mencetuskan pergaduhan antara bapanya dan jiran mereka.

"Ayah dan jiran masing-masing ada sabit dan mereka bertengkar mengenai kerbau itu.

"Kami yang berada bersama ayah cuba leraikan pergaduhan itu tetapi gagal," kata Azahan ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini semalam.

Malah, menurut Azahan, dia juga diserang oleh jirannya sehingga mengakibatkan jari tangan kanannya cedera.

"Lelaki itu terus mengganas dengan melibas-libaskan sabit yang terkena kepala ayah sebelum ayah rebah dan tidak sedarkan diri," katanya.


jongkomeng: Berbaloikah dengan berebut kerbau yang harganya 2-3 ribu, yang kalau dibuat belanja tahan lebih kurang sebulan; balasannya mungkin penjara 20 tahun. Belum lagi hukuman di akhirat yang pedih tak tertanggung....

Monday 19 October 2009

APA DAH JADI...

Hanya Dalam Masa Satu Minit, Kenderaan Kerajaan Dilaporkan Mengisi Minyak Dua Kali

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Dalam perbezaan satu minit saja, sebuah kereta milik kerajaan negeri Pahang direkodkan mengisi minyak bernilai lebih RM100 sebanyak dua kali di sebuah stesen minyak yang sama di negeri itu.

Ini adalah penyalahgunaan kad inden bagi perolehan bahan api untuk kenderaan kerajaan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang diedarkan di sini hari ini mengenai aktiviti jabatan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri Pahang 2008.

Laporan itu berkata semakan audit terhadap Laporan Butiran Belian Bahan Api yang dikeluarkan oleh pihak pembekal pada tahun lepas mendapati sebanyak 24 kes pengisian bahan api dalam tempoh kurang dari lima minit melibatkan lima buah kenderaan pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang.

Kereta-kereta terbabit dikenalpasti sebagai Proton Perdana bernombor pendaftaran CBD88 yang telah membuat sebanyak 18 kes pengisian bahan api dalam tempoh masa yang singkat dengan jumlah kos sebanyak RM4,177, katanya.

Contohnya pada 14 Dis lepas, kereta tersebut telah mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Raub, Pahang pada pukul 12.14 tengah hari sebanyak 59.47 liter yang bernilai RM113 dan seminit kemudian pada 12.15 tengah hari kereta yang sama mengisi sebanyak 58.95 liter minyak yang bernilai RM112 di stesen yang sama.

Pada 19 Dis perkara yang sama berlaku di stesen minyak yang sama pada pukul 6.35 petang dan 6.36 petang dengan jumlah pengisian sebanyak 125 liter bernilai RM225, dan perkara yang sama dilakukan pada 23 Dis, 24 Dis, 26 Dis dan 31 Dis, dan pada 24 Dis pengisian minyak dilakukan di sebuah stesen minyak di Kuantan, katanya dan menambah jumlah keseluruhan kos adalah RM1,349.95.

Laporan audit itu berkata perkara yang sama juga dilakukan terhadap Proton Perdana CBB37 dan Proton Perdana CBR1993, iaitu sebanyak dua kali yang memakan belanja lebih RM300 setiap buah, dan sekali bagi Proton Perdana CBD1003 dan Proton Perdana CBD23 yang melibatkan kos antara RM200 dan RM100.

Selain itu terdapat juga perolehan bahan api yang meragukan oleh kenderaan Proton Perdana bernombor pendaftaran CBD88 yang telah mengisi minyak pada 14 Ogos 2008 di sebuah stesen minyak di Bentong, dengan kuantiti pengisian sebanyak 1 liter dengan kos RM117, dan kes dan tempat yang sama pada 26 Ogos dengan kos RM128.30, pada 7 Sept dengan kos RM119, pada 14 Nov dengan kos RM90 dan pada 27 Nov dengan kos RM120, katanya.

Kesemua lima pengisian itu merekodkan pengisian sebanyak 5 liter dengan jumlah kos bahan api sejumlah RM574.53 dan ini menunjukkan terdapat pembelian yang meragukan dan tiada penyemakan dilakukan sebelum pembayaran dibuat, katanya.

Selain itu, tindakan susulan terhadap perkara ini masih belum diambil oleh pihak yang bertanggungjawab, dan akibatnya Pejabat SUK telah menanggung kos penggunaan bahan api yang tinggi, katanya.

Laporan itu berkata pihak pejabat SUK memaklumkan bahawa perkara yang dibangkitkan akan diselesaikan melalui kerjasama dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna cawangan negeri Pahang iaitu memeriksa sistem perolehan bahan api yang digunakan oleh setiap pembekal bahan api yang terlibat.

Jabatan Audit Negara turut mendapati perolehan bahan api yang melebihi tangki kenderaan, selain penggunaan kad inden terhadap kereta yang telah lama dilupuskan.

Selain itu, kos penyenggaraan kenderaan yang tinggi contohnya penyenggaraan empat buah Proton Perdana V6 Executive di pejabat SUK antara 2004 dan 2008 adalah tinggi berbanding dengan kos perolehan kenderaan tersebut.

Contohnya, kos penyelenggaran Perdana V6 yang bernombor pendaftaran CBL100 yang dibeli dengan kos RM117,062 untuk dari 2005 hingga 2008 berjumlah RM171,888, dan bagi kereta bernombor pendaftaran CBN31 pula adalah RM192,743 dari tahun 2004 hingga 2008, katanya.

Laporan itu berkata maklum balas dari pejabat SUK, kereta-kereta itu digunakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dan kos penyenggaraan yang tinggi adalah disebabkan kerosakan kotak gear (gear box) dan juga kemalangan.

Penyelewengan melibatkan pelbagai masalah termasuk penggunaan bahan api berlebihan, penyenggaraan kenderaan di bengkel yang tidak dikhususkan dan kekerapan penggantian tayar yang tidak munasabah turut berlaku di Perak dan Pulau Pinang pada tahun lepas.

Di negeri Perak, didapati kos penyenggaraan kenderaan kerajaan negeri adalah tinggi akibat tidak dihantar ke pusat servis yang dikhususkan.

Ini kerana kerajaan negeri tidak menetapkan bengkel khusus untuk menyenggara kenderaan sebaliknya ia dilakukan berdasarkan permohonan yang diterima daripada syarikat yang berkaitan.

"Menerusi semakan audit terdapat sampel baucar bayaran yang dipilih mendapati kos penyenggaraan berjumlah RM262,256 atau 69.4 peratus untuk kereta Proton Perdana di sebuah syarikat tayar. Berbanding di Syarikat EON Service Sdn Bhd iaitu hanya RM15,197 atau 4 peratus untuk tempoh 2004 hingga 2008," katanya.

Laporan itu juga mendapati syarikat tersebut dimiliki oleh bukan bumiputera dan kebanyakan alat ganti yang digunakan adalah diimport dari luar negara berbanding Syarikat EON Sdn Bhd daripada keluaran tempatan.

Alasan pejabat SUK mengapa kereta tersebut dihantar ke syarikat itu adalah kerana kenderaan EXCO yang memerlukan penyenggaraan segera sedangkan Syarikat EON Services Sdn Bhd tidak dapat memberikan servis dengan segera.

Masalah pembelian minyak bagi tempoh yang singkat juga serta kekerapan penggantian tayar dikenalpasti berlaku di Pulau Pinang, menurut laporan itu.

Tiga kenderaan, iaitu dua bas yang bernombor pendaftaran PGW7744 dan PCT7777 serta Proton Perdana PHK42 dilaporkan telah membuat pembelian minyak dalam tempoh yang singkat antara tiga hingga lapan minit pada tarikh yang sama di stesen minyak yang sama.

Selain itu tiga kenderaan yang bernombor pendaftaran PED21, PBF1 dan PAF1 dilaporkan membuat penggantian tayar begitu kerap, dan siasatan audit itu juga melaporkan kesemua penggantian tayar adalah disebabkan keadaan bunga tayar yang telah haus atau tayar pecah, tayar haus sebelah, tayar tidak mencengkam dan tayar keras.

Katanya penggantian tayar yang terlalu kerap bagi tempoh tiga hingga 34 bulan dan penggunaan pada jarak perbatuan antara 1,700 kilometer hingga 21,900 kilometer untuk tiga kenderaan itu juga meragukan.

Sehubungan dengan itu, Pejabat SUK telah menetapkan setiap penggantian tayar perlu mendapat kelulusan Ketua Penolong Setiausaha (Kewangan) dan tayar yang telah digantikan akan disimpan bagi tempoh tertentu mulai 20 Mei 2009.

Secara keseluruhan didapati kebanyakan proses penyenggaraan kenderaan milik kerajaan negeri adalah tidak memuaskan dan tidak mengikut peraturan dan prosedur pejabat SUK.

"Pejabat SUK perlu mengawal perbelanjaan penyenggaraan kenderaan dengan meneliti kos pembaikan yang terlibat dan memilih pusat servis yang menawarkan harga yang munasabah supaya tujuan penjimatan dapat dicapai di samping memastikan hanya penyenggaraan yang perlu sahaja dilakukan," syor laporan itu.

-- BERNAMA


jongkomeng: 'Penyalahgunaan' harta kerajaan sering kali berlaku, dan sepatutnya 'mereka' yang terlibat dikenakan 'hukuman/tindakan' yang setimpal.

Saturday 17 October 2009

POLIS KENA SEPAK ?

Serang polis kerana mercun


KUALA LUMPUR - Sekumpulan 60 lelaki yang seronok bermain mercun dan bunga api di tengah-tengah kawasan perniagaan 'Little India' di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini malam kelmarin tiba-tiba bertindak ganas apabila melihat beberapa orang penjual bahan itu ditahan polis.

Tanpa diduga, mereka berhenti bermain mercun dan mengepung sepasukan 30 anggota polis yang sedang menjalankan operasi di kawasan berkenaan pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Berang apabila kemahuan mereka supaya polis membebaskan lima penjual mercun haram itu tidak dilayan, kumpulan itu mula menyepak dan menumbuk sehingga dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields cedera.

jongkomeng: Biasanya polis yang menendang, menerajang dan menangkap penunjuk perasaan (pendemonstari) , Ni apahal pulak polis yang kena sepak..?

Friday 16 October 2009

SEKOLAH AGEN PERUBAHAN

Sekolah wajib tubuh Kelab Keselamatan Jalan Raya

PUTRAJAYA 16 Okt. - Semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara diwajibkan menubuhkan Kelab Keselamatan Jalan Raya bagi memupuk kesedaran para pelajar supaya menjauhi gejala lumba haram dan merempit.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menangani Gejala Lumba Haram dan Merempit.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama jawatankuasa itu berkata, Kementerian Pelajaran akan mengeluarkan arahan agar semua pengetua dan guru besar menyokong penubuhan kelab berkenaan.

''Kelab ini sudah lama wujud tetapi tidak diwajibkan penubuhannya, kini kita mahu pendidikan keselamatan jalan raya diajar berterusan sama seperti pendidikan moral,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kelab tersebut boleh menganjurkan kempen kesedaran seminggu sekali memandangkan kebanyakan pelajar sekolah menengah menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen.

Abdul Rahim berkata, mesyuarat turut mencadangkan supaya dipinda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memberi kuasa secara lebih luas kepada polis untuk melaksanakan tanggungjawab membanteras kegiatan lumba haram dan merempit.

''Ada perkara-perkara teknikal berkaitan undang-undang yang mengekang kuasa polis dalam akta tersebut jadi kita mahu ia lebih jelas dan diperincikan,'' katanya.

Menurutnya, sejak 1 Mei lalu sehingga 20 September lepas, sebanyak 4,268 operasi lumba haram dilancarkan di seluruh negara secara bersepadu oleh polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan (PBT).


jongkomeng: Kalau kita kumpulkan ada berpuluh-puluh kelab yang mesti ditubuhkan di sekolah. Kementerian tu nak kelab dia ditubuhkan, kementerian ni nak kelab dia... Yang sebenarnya tak perlu banyak kelab ni, cuma pastikan modul yang lengkap dan boleh dimasukkan kemana2 kelab/persatuan yg telah sedia ada di sekolah.

Thursday 15 October 2009

ANGKARA DADAH

Dua cucu ditahan bunuh nenek

KUALA TERENGGANU 15 Okt. – Seorang penganggur berusia 43 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang nenek, Muda Mat Zain, 80, yang ditemui mati di rumahnya di Kampung Bukit Pak Sabah, Dungun, Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, suspek yang merupakan cucu kepada mangsa ditahan pada pukul 4.45 petang kelmarin ketika berada di rumahnya.

Katanya, penahanan itu menjadikan dua cucu mangsa ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut selepas suspek pertama berusia 42 tahun yang juga cucunya ditahan beberapa jam selepas kejadian.

“Suspek yang ditahan juga positif dadah dan ditahan reman bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian ini,” katanya.

Mayat Muda ditemui mati ditetak di belakang kepalanya selain dicekik sebelum dibenamkan di dalam besen di rumahnya.

Mayat mangsa ditemui oleh anak perempuannya yang berusia 61 tahun pada pukul 6.40 petang.

Siasatan polis percaya bahawa pembunuhan tersebut bermotifkan rompakan kerana beberapa barang kemas milik mangsa seperti rantai leher, gelang dan cincin emas didapati hilang.

Berikutan kejadian itu, polis yang menerima laporan pada pukul 8 malam telah menahan cucu mangsa yang berusia 42 tahun di kawasan berhampiran beberapa jam selepas itu.

Suspek yang positif dadah ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

jongkomeng: Benarlah..'arak itu ibu maksiat'. Bila manusia dah ketagih 'menatang' tu...tak nampak lain dah..hilang akal hilang pertimbangan.

DISEBALIK 'KESOPANAN'


JAKARTA 15 Okt. - Lima individu yang menyalin dan mengedarkan cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) lucah bintang filem porno Jepun, Maria Ozawa atau dikenali sebagai Miyabi telah ditangkap oleh pihak berkuasa Indonesia.

Kelima-lima suspek ditangkap di lokasi berlainan di kawasan Jakarta Utara dan Jakarta Barat, semalam, ketika menjual lagu dan perisian cetak rompak komputer.

Jurucakap Polis Jakarta, Komander Kanan Chrysnanda Dwi Laksana berkata, mereka ditangkap dengan lima unit mesin penyalin, bersama 64,828 keping VCD-DVD yang sebahagian besarnya berunsur lucah.

jongkomeng: Siapa sangka di sebalik gaya manja yang 'sopan', tersimpan seribu rahsia.....

Tuesday 13 October 2009

ANTARA SUBSIDI BERAS DAN TOPI KELEDAR

Topi keledar RM12,000 laris

Friday 9 October 2009

Janda Baik bakal bergegar lagi


BENTONG - Kawasan Bukit Tinggi dan Janda Baik di sini berkemungkinan akan dilanda gempa kecil lagi sekiranya masih berlaku kejadian gempa bumi besar melanda Sumatera, Indonesia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Dr. Yap Kok Seng (gambar) berkata, sekiranya gempa bumi berlaku di Sumatera, kedua-dua kawasan itu akan turut mengalami gegaran kecil.

Bagaimanapun, katanya, jika gegaran berlaku di dua kawasan berkenaan, kekuatan gegarannya diramalkan tidak akan melebihi ukuran 3.5 pada skala Richter.

"Kita tak boleh ramalkan bila (gempa bumi besar) akan berlaku tetapi kita tahu di Sumatera ada kemungkinan akan berlaku gempa bumi yang besar.

"Jika ini berlaku, Bukit Tinggi ada kemungkinan akan mengalami gegaran kecil. Kita tak jangka akan berlaku risiko gempa bumi yang kuat," katanya pada taklimat mengenai gempa bumi di Bukit Tinggi dan Janda Baik di sini semalam.

Taklimat berkenaan dihadiri oleh wakil-wakil daripada pelbagai agensi antaranya Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Mineral dan Geosains.

Kelmarin lapan gempa kecil berukuran 1 hingga 2.8 pada skala Richter telah berlaku di Bukit Tinggi dan Janda Baik yang terletak kira-kira 45 kilometer dari Kuala Lumpur menyebabkan kira-kira 6,000 penduduknya gempar seketika.


jongkomeng: Masa di sekolah rendah dulu... Cikgu "Ilmu Alam" (geografi) dengan bangganya menyatakan negara kita selamat dari gempa bumi. Itulah salahnya kita..kita lupa bahawa bumi ini milik Allah. Dia boleh buat apa2 yang dikehendakiNya.

Manusia ditimpa bencana akibat daripada perbuatan mereka sendiri. Manusia tidak ' menjaga' bumi, manusia melakukan pelbagai maksiat, manusia berperang sesama mereka, dan berbagai lagi...yang membawa kepada kemusnahan bumi.