Saturday 28 February 2009

Warta penggunaan perkataan 'Allah' dibatal

KOTA KINABALU - Kementerian Dalam Negeri telah membatalkan warta kerajaan yang membenarkan penggunaan bersyarat perkataan 'Allah' dalam penerbitan agama Kristian, berkuat kuasa serta-merta.

Sambil mengakui bahawa ada kesilapan dalam menggubal warta itu yang menyebabkan kekeliruan berhubung isu itu, Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, keputusan kerajaan untuk melarang penggunaan perkataan itu dalam penerbitan majalah Herald tetap berkuat kuasa sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya. - Bernama

jongkomeng: Allah merujuk kepada Tuhan orang Islam, tentunya orang bukan Islam boleh menggunakan Allah untuk merujuk kepada Tuhan orang Islam, bukan sebagai tuhan mereka.

Thursday 26 February 2009

JAHILIAH MODEN 3

Pelayan kafe tak pakai baju

kosmo online

VASSALBORO - Sebuah kafe yang baru dibuka di sini menyediakan tiga pelayan wanita yang mendedahkan payu dara manakala seorang pelayan lelaki tidak berbaju.

Kafe itu dibuka pada Isnin lalu di tepi sebatang jalan yang sibuk di Vassalboro, Maine, Amerika Syarikat.

Satu papan tanda di luar kedai itu menyatakan ia hanya untuk pengunjung berumur 18 tahun ke atas.

Namun, terdapat satu lagi papan tanda yang melarang kamera dibawa masuk dan sentuhan turut tidak dibenarkan.

Sebelum ini, cadangan pembukaan kafe itu mencetuskan kemarahan penduduk tetapi pegawai-pegawai di bandar itu menyatakan premis tersebut mematuhi undang-undang.

Kafe itu milik Donald Crabtree yang menyatakan dia hanya memilih pelayan yang mesra dan berasa selesa ketika tidak memakai baju.

Crabtree berkata, dia tidak membayar gaji tetap kepada pekerjanya tetapi mereka memperoleh tip daripada pelanggan.

Seorang pelayan wanita, Kris Kelly, 43, dari Windham pernah menerima tip sebanyak AS$100 (RM380) daripada seorang pelanggan lelaki.

Menurut beberapa kakitangan kafe itu, dianggarkan antara 50 hingga 60 pelanggan mengunjungi kafe itu pada Isnin lalu dengan lapan daripadanya ialah wanita.

Seorang lagi pelayan wanita, Susie Wiley yang berumur 23 tahun berkata, dia memohon pekerjaan itu kerana mendapati cara melayan pelanggan di kafe itu adalah berlainan.

Ketika ditanya sama ada ia menjejaskan maruah wanita, dia berkata: "Tidak, saya menyukainya. Saya mendapati ia tidak menjejaskan maruah wanita." - Agensi

jongkomeng: Macam2 aksi manusia zaman moden ni...

Tuesday 24 February 2009

JAHILIAH MODEN 2

RIO DE JANEIRO - Seorang penari samba, Dani Sperle mencipta rekod baru setelah dia hanya memakai secebis pakaian sepanjang tiga sentimeter (sm), lapor sebuah akhbar semalam.

Akhbar O Globo melaporkan Sperle merupakan satu-satunya penari yang memakai pakaian paling kecil dalam perarakan samba yang diadakan pada setiap tahun.

Dia memakai pakaian itu di hadapan 80,000 penonton pada awal pagi kelmarin.

Perarakan samba itu berakhir semalam selepas diadakan selama dua hari.

Sperle memecahkan rekod pakaian paling kecil yang sebelum ini dipegang oleh Viviane Castro apabila dia memakai secebis pakaian sepanjang empat sentimeter pada tahun lalu.

Hakim-hakim kemudian memberikan penalti kepada Castro kerana melanggar peraturan pemakaian yang dibenarkan.

Setakat ini tidak ada sebarang kenyataan berhubung pemotongan markah sekolah samba yang disertai oleh Sperle dalam perarakan itu. - AP


jongkomeng: Pakaian 3 cm tutup apa ? Pertandingan pakaian paling kecil tapi kena penalti oleh hakim. Pening dengan telatah manusia 'jahiliah zaman moden'.

Saturday 21 February 2009

Komik jejas akidah tersebar

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID


KUALA LUMPUR – Sebuah komik bergambar yang berjudul Kisah Paling Menarik Yang Pernah Diceritakan yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu mencetuskan kebimbangan di kalangan umat Islam apabila isi kandungannya didapati menyentuh sensitiviti agama.

Buku itu yang diterbitkan oleh Bibles International of Canada pada tahun 1996 dan kemudian diedarkan ke Indonesia dan diulang cetak sebanyak dua kali (1996 dan 1998) dipercayai menembusi pasaran Malaysia sejak tahun lalu.

Seorang pembaca yang mengirimkan e-mel kepada Kosmo! Ahad memberitahu, buku itu telah diedarkan oleh pihak tertentu di sekitar kawasan Bukit Bintang di sini.

“Saya memperolehnya secara tak sengaja apabila ada pihak yang meletakkan komik itu dalam bakul motosikal saya.

“Buku itu bukan sekadar komik bergambar untuk kanak-kanak tapi apa yang mengejutkan ialah ia bercanggah dan boleh pesongkan akidah kita terutama kanak-kanak,’’ katanya.

Hasil penelitian Kosmo! Ahad mendapati kecurigaan itu terbukti apabila ilustrasi sebuah keluarga yang sedang bersembang membangkitkan pertanyaan seorang anak tentang bagaimana al-Kitab (merujuk kepada kitab Injil) boleh dianggap buku Allah.

Kemudian si bapa mengeluarkan dialog: “Allah memakai 40 orang. Mereka menulis 66 kitab selama 1,500 tahun. Semuanya cocok dengan satu dengan yang lainnya. Hanya Allah yang dapat membuat buku seperti itu.’’

Bukan setakat itu saja, penulis yang menggambarkan Nabi Isa sebagai Yesus telah memetik tulisannya (merujuk kepada Injil) tetapi menggunakan perkataan Allah berkali-kali.


jongkomeng: Diharapkan pihak2 berkenaan mengambil tindakan yang segera.

Thursday 19 February 2009

INILAH AMERIKA

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama meluluskan penempatan 17,000 lagi askar ke Afghanistan.

Jumlah bilangan itu disambut baik oleh kerajaan Afghanistan semalam kerana pihak tentera negara tersebut berhadapan dengan pejuang-pejuang Taliban.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Mohammad Is'haq berkata: "Ia merupakan satu langkah positif.''

Obama mengarahkan penempatan anggota tentera itu selepas Komander AS di Afghanistan, Jeneral David McKiernan meminta tambahan sebanyak 30,000 lagi askar.

"Peningkatan bilangan itu adalah penting bagi menstabilkan situasi di Afghanistan yang semakin merosot yang sebelum ini tidak menerima perhatian," kata Obama dalam satu kenyataan kelmarin.

Presiden menyatakan dia sudah meluluskan satu permintaan oleh Setiausaha Pertahanan Robert Gates bagi menempatkan Briged Ekpedisi Marin dan Briged Tentera Stryker serta pasukan bantuan.

White House menyatakan pasukan tentera itu akan ditempatkan ke Afghanistan sebelum pilihan raya di negara itu bermula pada 20 Ogos depan.

Seorang pegawai pentadbiran kanan memberitahu penempatan itu tidak akan dilakukan sebelum satu kajian strategi dilakukan di Afghanistan dan Pakistan.

Pada Isnin lalu, serangan tentera udara AS di barat Afghanistan menyebabkan 15 militan terbunuh.

Namun, polis Afghanistan semalam menyatakan sebanyak enam wanita dan dua kanak-kanak turut terbunuh selain lapan lelaki. - AFP

jongkomeng: Siapa pun presiden Amerika, dasar2nya tidak banyak berubah.

Wednesday 18 February 2009

JAHILIAH MODEN

kosmo online

BRASILIA - Sekumpulan model lelaki dan wanita yang memakai seluar dalam berjalan di sekitar sebuah stesen bas di sini kelmarin.

Kehadiran model itu menjadi tumpuan orang ramai yang kebetulan berada di stesen bas berkenaan.

Sebahagian model itu menari dan bersalam dengan orang ramai ketika mereka berjalan mempamerkan seluar dalam pelbagai warna dan fesyen.

Kehadiran model itu adalah bagi meraikan Hari Seluar Dalam Kebangsaan yang diadakan buat kali ketiga di Brazil dan dianjurkan oleh laman web fesyen Finissimo.

Model-model itu dipilih pada minggu lalu bagi mempromosikan industri seluar dalam negara tersebut.

Hari Seluar Dalam Kebangsaan kali pertama diadakan pada 2003 di New York. - Agensi

jongkomeng: Apa punya sesat dan 'tak ada kerja', manusia zaman ini sambut 'hari seluar' dalam dengan memakai seluar dalam meronda2 di bandaraya. Nasib baik tak ada hari 'bogel sedunia'.

Thursday 12 February 2009

CEGAH JENAYAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA


KUALA LUMPUR – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib dua peragut, sudahlah gagal meragut, dibelasah pula oleh orang ramai.

Nasib malang itu bermula apabila mereka gagal meragut seorang wanita di Jalan Lima di Taman Setiawangsa di sini semalam.

Kejadian pukul 9 pagi itu pada mulanya menyaksikan aksi penduduk mengejar dua suspek terbabit setelah mendengar jeritan mangsa yang diragut.

Rentetan nasib malang kedua-dua suspek berusia 20-an itu bermula apabila motosikal yang dinaiki mereka itu dilanggar dari belakang oleh seorang pemandu kereta Mercedes Benz yang juga melihat jenayah yang dilakukan suspek.

Akibatnya, kedua-dua suspek terjatuh dari motosikalnya dan mereka sempat melarikan diri sejauh 100 meter sebelum dikepung dan ditangkap oleh orang ramai.

Kedua-dua suspek itu kemudian dibelasah sehingga badan mereka bengkak-bengkak dan lembik.

selanjutnya:kosmo online

jongkomeng: Kalau orang awam prihatin terhadap jenayah yang berlaku disekitar mereka, penjenayah pun takut untuk melakukan kegiatan mereka.

Tuesday 10 February 2009

Komet beracun menuju ke bumi


kosmo online

ARIZONA - Sebuah komet yang melepaskan gas beracun di angkasa sedang menuju ke arah bumi, lapor sebuah akhbar semalam.

Komet itu yang dikenali dengan nama Lulin yang memancarkan cahaya hijau telah ditemui setahun lalu

Ia ditemui oleh seorang pelajar meteorologi, Quanzhi Ye yang berumur 19 tahun ketika melakukan pemerhatian di balai cerap Lulin di Taiwan pada 2007.

Gambar komet itu berjaya dirakam dengan jelas oleh seorang jurugambar amatur, Jack Newton dari sebuah balai cerap beberapa hari lalu.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), komet itu akan mendekati bumi pada 24 Februari ini.

Ketika itu jaraknya dengan bumi adalah sejauh 60.8 juta kilometer. - Agensi


Sunday 8 February 2009

JAGA KESELAMATAN

Lagun di Semerak ragut 21 nyawa

PASIR PUTEH - Mungkin sukar dipercayai, kawasan laut yang dikenali sebagai Lagun Maut Semerak di sini sudah meragut 21 nyawa sejak tahun 80-an.

Mangsa terbaru ialah Hidaytullah Mat Napi, 9, dari Besut, Terengganu yang dijumpai mati lemas di situ ketika mencari kepah bersama keluarganya minggu lepas.

"Sebahagian besar kematian di Lagun Semerak membabitkan penduduk Pasir Puteh manakala selebihnya dari jajahan lain," kata Pegawai Bomba dan Penyelamat Jajahan Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya yang mengesahkan angka kematian tersebut.

"Bahayanya ialah apabila orang ramai tidak menyedari tentang keadaan air yang sedang pasang dengan arus yang kuat, sedangkan mereka masih berada jauh dari pantai. Ini memerangkap mereka untuk kembali ke pantai.

"Juga terdapat banyak tempat yang curam dan berpasir jerlus," tambahnya.

Kaharuddin berkata, pihaknya telah berkali-kali memaklumkan kepada orang ramai tentang bahaya yang menunggu di kawasan tersebut.

"Mereka tidak mengambil kisah dengan amaran yang di buat oleh bomba termasuk Pihak Berkuasa Tempatan menerusi papan-papan tanda yang dipasang di kawasan yang berisiko tinggi ini," katanya.

Antara 100 hingga 200 orang sering membawa keluarga masing-masing ke situ pada setiap cuti hujung minggu dan hari kelepasan am untuk berkelah sambil mencari kepah, seolah-olah ia sebagai satu pesta.


jongkomeng: Dalam berseronok mandi manda, kadang-kadang terlupa nak jaga keselamatan. Pepatah orang tua" Air yang tenang jangan disangka tiada buaya" "Jerat tak pernah lupakan kancil"

BILA AKAL DIKUASAI NAFSU

Setahun dirogol majikan

kosmo online 8feb2009
KAJANG - Tindakan polis menghebahkan nombor telefon melalui siaran radio berjaya menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia daripada terus menjadi mangsa nafsu ganas majikannya di sini semalam.

Pembantu rumah yang berusia 35 tahun itu mendakwa dirogol sebanyak tujuh kali sejak setahun yang lalu dan kali terakhir beliau dirogol ialah pada Khamis lalu.

Oleh sebab tidak tahan dengan sikap keji majikannya yang berlarutan sejak setahun lalu itu, mangsa meminjam telefon daripada seorang pekerja pengangkat sampah untuk menghubungi polis.

Satu sumber memberitahu bahawa sebelum itu mangsa mencatatkan nombor talian hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor selepas mendengar satu hebahan melalui radio.

Selepas mendapat laporan daripada pembantu rumah itu pihak polis kemudiannya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun yang merupakan majikan mangsa.


jongkomeng: Apabila ' nafsu amarah' menguasai diri, maka manusia akan lebih sesat daripada binatang ternakan. Untuk mendapat 'nafsu yang tenang' maka 'lorong-lorong' maksiat hendaklah ditutup.

Thursday 5 February 2009

BALA DARI ALLAH BERBAGAI BENTUK


LONDON - Salji lebat mencetuskan huru-hara di serata Britain ketika pihak berkuasa kehabisan garam untuk memastikan jalan raya dapat digunakan lalu lintas.

Jabatan kaji cuaca negara itu meramalkan hujan salji akan melanda selatan England pada pagi ini.

Landasan lapangan terbang di Midlands, Wales Selatan, tenggara England dan Scotland terpaksa ditutup berikutan salji setebal 15 sentimeter meliputi kawasan tersebut sekali gus menyebabkan banyak penerbangan ditangguh atau dibatalkan.

Semua pembedahan hospital, perkhidmatan bas serta kereta api di keempat-empat kawasan itu turut dibatalkan.

Persatuan Automobil Britain menyatakan banyak jalan raya dan lorong negara itu tidak selamat untuk dilalui berikutan pembentukan ais.

"Ditambah dengan ramalan cuaca bahawa salji dan cuaca beku bakal berterusan untuk lima hari lagi, banyak jalan raya akan menjadi perangkap maut," kata persatuan itu.

Setiausaha Pengangkutan, Geoff Hoon pula berkata, pihak berkuasa tempatan hanya dapat melakukan apa yang termampu berikutan musim sejuk kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh 18 tahun.

"Kita tidak dapat membuka setiap jalan di negara ini kerana keadaan cuaca buruk yang serius sejak beberapa hari lalu," katanya di radio.

Katanya, Agensi Lebuh Raya meletakkan 25,000 tan garam di jalan-jalan utama setiap hari manakala para pengilang hanya dapat membekalkan 30,000 tan garam seminggu. - Reuters

jongkomeng: Di tempat kita Allah menguji hambaNya dengan banjir, tanah runtuh dan sebagainya. Di London Allah turunkan salji.

Apa-apa pun, tujuannya untuk menguji sejauh mana keimanan, kesabaran, ketakwaan makhluk bergelar manusia terhadap 'Pencipta' nya.

Tuesday 3 February 2009

Iran lancar satelit


TEHERAN - Kerajaan Iran semalam mendakwa berjaya melancarkan satelit pertama buatan tempatan ke orbit, satu langkah yang dijangka mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa.

Menurut beberapa agensi berita, sebuah roket buatan tempatan, Safir 2 membawa satelit itu ke orbit pada malam kelmarin.

"Wahai warga Iran, anak-anak kita telah berjaya melancarkan sebuah satelit ke orbit.

"Dengan pelancaran satelit ini, Republik Islam Iran secara rasminya berada di angkasa," kata Presiden Mahmoud Ahmadinejad menerusi televisyen.

Mahmoud berkata, satelit itu membawa makna keamanan dan persaudaraan kepada dunia selain menghapuskan tanggapan bahawa program angkasanya untuk kegunaan ketenteraan.

"Dunia menolak kata-kata lapuk itu. Kita mempunyai pandangan tentang teknologi yang hebat dari Tuhan berbeza dengan kuasa-kuasa berpengaruh dunia yang menggunakan pendapat-pendapat syaitan," katanya.

Beliau memberitahu bahawa satelit itu dibina oleh saintis-saintis tempatan.

Pelancaran itu dilakukan sehari sebelum diplomat-diplomat kanan dari enam buah kuasa besar dunia bertemu di Jerman bagi membincangkan program nuklear Iran. - AFP

jongkomeng: Orang kafir memang tak pernah senang dengan kejayaan orang Islam. Hanya mereka yang boleh buat senjata nuklear, boleh buat satelit. Bagi mereka orang Islam ganas, yang sebenarnya merekalah yang ganas.

Monday 2 February 2009

Ramai wanita putus cuping telinga

LONDON - Dua pakar bedah memberi amaran subang bersaiz besar boleh membahayakan wanita yang memakainya, lapor sebuah akhbar semalam.

Aksesori itu kini menjadi popular selepas ramai selebriti Hollywood dilihat memakainya termasuk Beyonce Knowles, Kate Beckinsale, Kate Winslet dan Wanita Pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama.

Bagaimanapun, pakar bedah plastik Britain, James McDiarmid berkata, anting-anting besar boleh merosakkan cuping telinga sehingga menyebabkan bahagian itu putus.

"Selain cuping telinga putus, bahagian itu akan membengkak dan membentuk gumpalan sebesar sebiji guli," katanya.

Pakar-pakar bedah plastik melaporkan terdapat peningkatkan pemintaan di kalangan wanita yang mahu memulihkan cuping telinga mereka yang putus.

Seorang pakar bedah, David Gault berkata, satu pembedahan mungkin boleh dilakukan pada masa depan bagi memperkukuhkan cuping telinga.

Subang itu yang rata-ratanya bersaiz 7 hingga 15 sentimeter menjadikan keanggunan si pemakainya terserlah tetapi telinga manusia tidak dapat menahan beban berat aksesori tersebut. - Agensi

jongkomeng: Wanita memang 'gila' cantik sebab tu mereka tak kisah apa nak jadi dengan diri mereka. Untuk kelihatan cantik, wanita sanggup melakukanapa saja, pakai susuk, pembedahan plastik botox dsb. Mereka tak kira halal haram, yang penting cantik.

Sunday 1 February 2009

Kanak-kanak tonton TV 2,000 jam setahun


LONDON - Satu kajian membabitkan 3,000 kanak-kanak di Britain mendapati mereka menonton televisyen selama 1,934 jam atau 1,000 kali lebih banyak berbanding masa yang dihabiskan untuk belajar di sekolah, lapor sebuah akhbar semalam.

Kanak-kanak juga didapati menghabiskan masa selama lima jam 18 minit sehari untuk menonton rancangan kegemaran mereka.

Malah, kanak-kanak daripada keluarga berada turut mempunyai peti televisyen sendiri.

Menurut penyelidik Authors Ed Mayo dan Dr. Agnes Nairn, mereka mendapati kanak-kanak sekolah rendah mempunyai komputer peribadi manakala suku daripada mereka melayari Internet di bilik tidur.

"Pada masa lalu, kanak-kanak bergembira dengan buku di bilik tidur atau bermain dengan anak patung. Hari ini, kamar tidur kanak-kanak telah menjadi bilik berteknologi tinggi," kata Ed Mayo.- Agensi


jongkomeng: Walaupun kajian ini di negara barat, tetapi gejala ini telah menular ke negara kita terutama di kalangan kelas elit dan menengah.

Kondom, jarum percuma undang banyak kesan negatif

KOTA BHARU: Langkah memberi kondom dan jarum suntikan percuma kepada penagih dadah hanya mengundang lebih banyak kesan negatif seperti pembaziran, selain tidak efektif dalam usaha jangka panjang mencegah gejala penagihan dadah.

Dakwaan itu dibuat Persatuan Pengasih Malaysia yang sebaliknya menggesa kerajaan mengkaji semula pelaksanaan langkah itu.

Presidennya, Mohd Yunus Pathi, berkata pemberian kondom dan jarum suntikan itu turut membabitkan perbelanjaan banyak dan seharusnya digantikan dengan program pencegahan secara lebih berkesan.
selanjutnya:www.bharian.com.my

jongkomeng: Ini langkah menolong menjahanamkan penagih, bukan nak mencegah. Kalau orang nak mencuri tiada peralatan, diberi tukul, parang, gergaji dan sebagainya. Makin senanglah kerja mereka.

Bapa dalam kotak hadiah

kosmo online 1 feb 2009

DAYTON - Gabriel Hurles, 6, terkejut besar apabila menerima kotak hadiah gergasi daripada ibunya yang isinya ialah bapanya sendiri yang sudah lama tidak ditemui, Casey Hurles, 23.

"Bapa saya," katanya semasa membuka hadiah itu kepada rakannya di Sutro Elementary School, Carson City, Dayton, Amerika Syarikat.

Casey tidak berjumpa dengan anaknya sejak Jun tahun lalu. Dia merupakan mekanik tentera AS yang dihantar bertugas ke Iraq. Mengetahui hari jadinya sama tarikh dengan kepulangannya, Casey bercadang mengejutkan anaknya itu.

Selepas peristiwa itu, Casey makan kek bersama Gabriel. Guru anaknya, Dawn VanSickle menunjukkan kain rentang mengandungi kata-kata 'selamat pulang dan terima kasih kerana perkhidmatan anda', yang ditujukan kepada tentera itu.

"Apa yang sering dikongsi oleh (Gabriel) kepada kami ialah ayahnya di Iraq dan dia sangat menunggu kepulangan ayahnya dari sana," kata Dawn.

jongkomeng: Bagus juga idea ini. Tentunya si anak sangat gembira kerana telah lama menunggu kepulangan ayahnya.